Home Berita PAS Pulau Pinang

Alam Ria PASTI Cungkil Bakat Cilik

1081
SHARE

Oleh : Lea Baiduri

Permatang Pauh, 14 Ogos 2018 : Alam Ria PASTI peringkat Pulau Pinang telah berlangsung dengan jayanya pada Ahad yang lalu di Kompleks Yayasan An-Nadhoh, Kubang Semang.

Pengarah program, Mohd Kamil Ab Halim berkata, Alam Ria adalah untuk menyerlahkan kemampuan serta pencapaian pelajar-pelajar Pasti sepanjang mendapat asuhan di institusi PASTI yang diuruskan oleh Pemuda PAS di semua peringkat.

Selain itu, menurutnya lagi, ia juga menjadi medan yang terbaik bagi mencungkil bakat yang ada di kalangan para pelajar PASTI di samping memupuk keyakinan diri untuk tampil di depan umum sebagai dai’e cilik.

Ustaz Afnan Hamimi selaku Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Pulau Pinang (DPPNPP) merangkap Pengarah PASTI Pulau Pinang dalam ucapan beliau turut mengucapkan tahniah buat semua kontijen yang terpilih untuk mewakili kawasan masing-masing dalam perhimpunan temasya anak-anak PASTI di peringkat negeri. Ucapan beliau telah dibacakan oleh Ir Ahmad Rafaie Dato Ir A Rashid selaku Timbalan Ketua DPPNPP.

Antara tetamu terhormat yang hadir ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penaga Yang Berhormat Ustaz Mohd Yusni Mat Piah, Timbalan Pengarah PASTI Pulau Pinang, Ustaz Hafiz Kasim dan Cikgu Saadiah Abu Bakar ketua Majlis Guru PASTI Malaysia.

Ustaz Mohd Yusni Mat Piah dalam ucapan perasmiannya turut mengharapkan agar cita-cita untuk membangunkan kompleks PASTI negeri akan menjadi kenyataan suatu hari nanti.

Alam Ria PASTI pada tahun ini mencatatkan penyertaan seramai 350 pelajar berumur 5 dan 6 tahun yang melibatkan diri dalam pertandingan hafazan, khutbah, azan, pidato, deklamasi sajak dan bercerita serta nasyid dan kalam jamaie.


Juara keseluruhan untuk Alam Ria 2018 telah dirangkul oleh PASTI Kawasan Tasek Gelugor yang telah mendapat johan bagi acara azan, nasyid, kalam jamaie, sajak lelaki dan khutbah.

Johan untuk acara hafazan lelaki dan sajak perempuan dimenangi oleh PASTI Permatang Pauh A, hafazan perempuan dan bercerita lelaki dari PASTI Kepala Batas, manakala bercerita perempuan dari PASTI Balik Pulau sekaligus melayakkan mereka ke peringkat Alam Ria PASTI Pusat yang akan berlangsung pada 31 Ogos dan 1 September di Taman Melewar.