Alam Ria Acara Tahunan Mencukil Bakat Murid PASTI
Oleh : Tinta Tebrau
Tebrau, 21 July – Alam Ria PASTI Al-Irfan Tebrau melabuhkan tirainya pada tahun ini jam 12.30 petang, 20 Julai 2019 yang lalu. Program tahunan ini telah berlangsung di PASTI Al-Irfan 8, Ulu Tiram Bandar iaitu salah sebuah cawangan PASTI Al-Irfan Tebrau. PASTI Al-Irfan 7, Taman Puteri Wangsa menjadi Johan Keseluruhan, diikuti oleh PASTI Al-Irfan 9, Taman Bukit Mutiara yang menjadi Naib Johan Keseluruhan untuk acara yang dipertandingkan kali ini.
Acara bermula pada jam 8.30 pagi itu berjalan serentak setelah diberi taklimat ringkas tentang peraturan pertandingan kepada para hakim oleh pengacara program. Sebanyak 8 acara dipertandingkan dengan penglibatan peserta seramai 96 orang, berlangsung meriah dengan kehadiran dan sokongan daripada ibubapa/penjaga peserta.
Majlis perasmian penutup program bertambah meriah dengan kehadiran Dif Jemputan terdiri daripada Encik Zaini Hussin, Setiausaha Politik Pesuruhjaya PAS Johor, Ustaz Dr Ezwan Rafiq Hussin, Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Tebrau dan Puan Lili Japri, AJK Dewan Muslimat PAS Kawasan Tebrau.
“Pertandingan kali ini berbeza kerana kita fokus terus kepada bakat murid mengikut kategori. Jadi, penyertaan berkurangan berbanding tahun-tahun sudah,” ujar Ustaz Mohd Ihsan Md Halid, Pengerusi PASTI Al-Irfan Tebrau dalam ucapan aluannya. “Ini supaya dapat memberi ruang dan tumpuan sebaiknya kepada para guru untuk melatih peserta,” tambah beliau lagi sebelum mengakhiri ucapannya itu. Beliau sempat mengucapkan jutaan terima kasih kepada ibubapa/penjaga kerana terus mempercayai pendidikan pra-tahfiz PASTI Al-Irfan Tebrau ini.
“Tahniah diucapkan kepada PASTI Al-Irfan Tebrau atas penganjuran program sebegini setiap tahun. Tahniah kepada para guru kerana selain menjadi pendidik, mampu untuk menjadi pelatih mencungkil bakat terpendam murid. Itulah antara pengorbanan yang tiada ternilai”, antara kata-kata Encik Zaini Hussin dalam awal ucapannya. “Sejujurnya saya terhibur dan berpuas hati dengan persembahan dari para peserta. Kalah menang adat pertandingan. Tahun depan masih berpeluang untuk mencuba,” sebagai mengakhiri ucapan sebelum merasmikan Majlis Penutup program Alam Ria PASTI Al-Irfan Tebrau.
Di akhir program, para guru diberi kejutan istimewa dengan kemunculan Al-Fadhil Ustaz Ahmad Dusuki Abd Rani. Ruang yang ada diberikan kepada Al-Fadhil Ustaz untuk menyampaikan tazkirah ringkas, sebagai bekalan ilmu demi meneruskan perjuangan sebagai seorang pendidik dan pendakwah. “Sabar dan solat. Itu kunci dalam menghadapi kerenah anak-anak murid dan segala bentuk ujian sebagai pendidik. Para guru perlu meletakkan Syurga Allah sebagai fokus. Jika meletakkan fokus kepada jawatan, kecantikan, atau harta, itu semua tidak kekal dan akan hilang. Guru PASTI mesti jadi ahli PAS dan mesti sebarkan dakwah. Dakwah merupakan elemen penting dalam perjuangan kita terutama dalam perjuangan PAS”, antara pesanan beliau dalam tazkirahnya itu.
Terdahulu, Al-Fadhil Ustaz menyampaikan mutiara ilmunya di dalam Kuliah Dhuha bertempat di Balai Islam TGNA, Taman Kota Masai sebelum bergegas ke sini.