Home Berita PAS Pahang

“Ala, kerja guru TASTI je pun..” – Nuridah

535
SHARE

Oleh : HABSAH ALI

INDERA MAHKOTA, 28 Jun ♦ “Ala kerja guru TASTI je pun…,” kata Ketua Dewan Muslimat PAS (DMP) Malaysia Ustazah Nuridah Mohd Salleh semasa lawatan kerjanya ke Taman Asuhan Tunas Insan (TASTI) di Kotasas Kuantan di sini semalam.

“Jangan merasa rendah diri dengan ungkapan oleh sesetengan orang dengan karier sebagai guru TASTI.

“Pendidikan awal kanak-kanak dengan alunan nama-nama Allah sangat memberi kesan dalam pendidikan anak-anak.

“Jadi cikgu-cikgu ni secara tak langsung sedang melabur masa mendidik mereka dengan menyebut nama-nama Allah, bila dah terbiasa dan terngiang-ngiang di telinga, In Sha Allah akan menjadikan mereka anak yang soleh, itu yang kita harapkan,” ujar Nuridah lagi.

Tambah beliau, mengajar ilmu merupakan salah satu amalan soleh yang berpanjangan pahalanya walaupun anak Adam telah meninggal.

Oleh itu berjuanglah mengikut lapangan masing-masing dengan mengikhlaskan hati kerana Allah supaya mendapat pahala yang kekal abadi.

Sempena Hari Raya Qurban, beliau telah menghulur sedikit sumbangan tanda ingatan dari DMP Malaysia sebagai penghargaan dan terima kasih di atas perkhidmatan sebagai guru TASTI.

Dalam pada itu, beliau mengucapkan tahniah kepada Dewan Muslimat PAS Indera Mahkota (DMPIM) yang telah berjaya membuka empat buah TASTI bagi anak-anak khususnya anak-anak Islam.

Tiga buah TASTI As-Solihin bertempat di Kotasas Kuantan, manakala sebuah TASTI Al-Khulafa di Indera Mahkota 15 Kuantan.

Turut hadir dalam lawatan kerja berkenaan adalah Timbalan Ketua DMPIM Azmoni Mohamed, Ketua Lajnah Pembangunan Wanita DMPIM Wan Anis Masila Wan Abdullah Sani, dan Ketua Muslimat PAS Cawangan Kotasas Raihana Tahir.