Home Minda Presiden

Gelombang hijau bertujuan Islamofobia

81
SHARE

Minda Presiden PAS
[Bil: 51 / 2023]
GELOMBANG HIJAU BERTUJUAN ISLAMOFOBIA


Kalangan mereka yang memberi jenama gelombang hijau terhadap kemajuan PAS dalam PRU-15 khususnya DAP, ternyata mempunyai tujuan yang nyata songsangnya terhadap Islam. Hal ini demikian kerana, Islam itu menjadi dasar dan matlamat perjuangan PAS, sebagaimana yang telah dinyatakan kepada umum dalam Perlembagaan PAS bahawa hukum tertingginya ialah al-Quran, Sunnah, Ijmak dan Qiyas yang nyata.

Kejayaan PAS dianggap negatif kerana Islamnya, sehinggakan PAS boleh mencapai kerusi terbanyak dalam kalangan semua parti politik, di samping berjaya menawan dan mentadbir beberapa kerajaan negeri, walaupun dalam bidang kuasa yang terbatas mengikut konsep federalisme yang banyak kecacatannya. Namun demikian, sedikit konsep pentadbiran Islam telah menunjukkan PAS sebagai sebuah parti yang paling berintegriti. Adakah itu alasan yang dianggapnya adalah berbahaya?

Mereka sengaja menunjukkan kekaburan terhadap membarahnya segala salah laku, rasuah, kebocoran, menipu dan sebagainya dalam diri mereka sendiri, sehinggakan mereka boleh berpakat menubuhkan kerajaan yang dinamakan perpaduan sesama mereka. Sedangkan mereka bersama-sama bersifat dengan perkara yang diisytiharkan perang oleh mereka sendiri dengan ucapan yang berkobar-kobar. Hakikatnya, istilah Kerajaan Perpaduan yang dicipta olehnya sendiri adalah berlainan daripada istilah sebenar ilmu politik dalam semua bahasa.

Kini, berlaku tuduh-menuduh sesama mereka, laksana kalangan pencuri yang meneriakkan pencuri bersama pemburu yang ramai jumlahnya bagi mengelirukan, atau penipu yang melaungkan penipu dalam kalangan mereka yang sama-sama menipu. Segala rasuah dan salah laku bersama mereka semua didedahkannya.

Majoriti besar anak muda yang menyokong Perikatan Nasional (PN) dianggap tiada pelajaran, kerana tiada sijil atau ijazah. Apalah guna ijazah dan gelaran akademik berjela-jela, kalau akalnya berada dalam perut. Maka, lebih baik anak muda yang akalnya di kepala. Ibn Khaldun RH menyifatkan perubahan secara madani berlaku daripada kalangan anak muda yang bersih akalnya dan kawasan pedalaman yang jauh daripada maklumat bohong.

Menegakkan Islam dianggap satu kesalahan yang menakutkan, tanpa melihat secara benar dan ikhlas mencari kebenaran dengan mengkaji Islam mengikut budaya ilmu, serta membaca sejarah keemasannya ketika hukum Islam diamalkan dengan sempurna yang menyerlahkan keadilannya kepada semua manusia. Maka, kedatangan Islam disambut oleh seluruh rakyat menjadi penyelamat, bukan penjajah.

Sikap salah terhadap Islam pernah ditunjukkan oleh penjajah dahulu pada zamannya, keadaan ini nyata dilakukan oleh para orientalis yang mengkaji Islam bersama semangat permusuhan hasil Perang Salib yang zalim. Kini, perkara itu disambung oleh para pemimpin bekas penjajah melalui kenyataan yang terbuka anti-Islamnya, bersama Perang Salib baharu yang menjajah seluruh benua bagi mencuri dan merompak harta negara lain, sama sekali berbeza dengan kedatangan Islam yang menyelamatkan manusia.

Perbandingan yang maha zalim dengan bandingan yang salah terhadap kumpulan Taliban di Afghanistan yang menghalau semua penjajah yang datang menakluk tanah air mereka. Kumpulan itu dianggapnya sebagai pengganas kerana telah berjaya menentang semua kuasa besar penjajah dan menghalaunya.

Adapun penjajah yang datang menceroboh dan membunuh berjuta-juta nyawa rakyat pula dianggap sebagai pejuang demokrasi dan hak kemanusiaan yang adil. Bagaimana akalnya boleh berfikir sebegitu rupa? Benarlah firman Allah SWT:

﴿وَدَّ كَثِيرٞ مِّنۡ أَهۡلِ ٱلۡكِتَٰبِ لَوۡ يَرُدُّونَكُم مِّنۢ بَعۡدِ إِيمَٰنِكُمۡ كُفَّارًا حَسَدٗا مِّنۡ عِندِ أَنفُسِهِم مِّنۢ بَعۡدِ مَا تَبَيَّنَ لَهُمُ ٱلۡحَقُّۖ فَٱعۡفُواْ وَٱصۡفَحُواْ حَتَّىٰ يَأۡتِيَ ٱللَّهُ بِأَمۡرِهِۦٓۗ إِنَّ ٱللَّهَ عَلَىٰ كُلِّ شَيۡءٖ قَدِيرٞ١٠٩﴾

“Sebahagian besar Ahli Kitab menginginkan agar mereka dapat menyesatkan kamu kepada kekafiran setelah kamu beriman, kerana hasad dengki yang (timbul) daripada diri mereka sendiri, setelah nyata bagi mereka kebenaran. Maka, maafkanlah dan biarkanlah mereka hingga Allah mendatangkan perintah-Nya. Sesungguhnya, Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu.” (Surah al-Baqarah: 109)

Ternyata kezalimannya kerana dengki terhadap Islam dan penganutnya. Namun, Allah SWT memerintahkan supaya bersabar dan memberi maaf kerana diberikan peluang kepada mereka untuk berfikir dengan akal yang sihat, mencari kebenaran dan bertaubat. Kitab suci agama mereka sendiri telah mendedahkannya, tetapi malangnya mereka juga tidak beriman kepadanya dan memindanya mengikut akal yang hanya berhawa nafsu.

Ternyata bahawa jenama Islamofobia yang dijaja di beberapa negara Barat gagal menghalang perkembangan Islam, kerana akhirnya ia membuka jalan kepada mereka yang berfikir untuk mengkaji Islam secara langsung.

Adapun di negara ini, berbagai-bagai saluran media digunakan secara tidak bermaruah dan tidak ada rasa malu dengan mencari dan memaparkan segala kelemahan kerajaan negeri di bawah pentadbiran PAS. Perbuatan yang lebih dahsyat daripada binatang yang tidak berakal, kerana binatang pun memilih buah yang baik-baik untuk dimakan.

Adapun mereka sengaja mencari isu-isu buruk yang berlaku akibat kezaliman hasil sekatan terhadap negeri tanpa menghormati prinsip demokrasi yang menjadi pilihan rakyat dan konsep federalisme mengikut Perlembagaan Persekutuan. Termasuklah segala perjanjian yang telah dimeteraikan seperti dinafikan royalti, atau dibatalkan projek yang telah diberikan, dilambatkan peruntukan kerana jenama Islam yang ada pada PAS. Tindakan yang tidak dilakukan terhadap negeri yang tidak berjenama PAS walaupun mereka juga pembangkang.

Selain itu, dipilih hukum-hukum Islam yang dianggap lemah dan zalim tanpa beriman kepada Allah yang Maha Adil. Mereka juga mempertahankan undang-undang ciptaan manusia yang ternyata lemah dan zalimnya sehingga terpaksa dan mengaku perlu diubah seperti hukuman mandatori secara mutlak tanpa pilihan, hukuman bunuh menjerut leher di tali gantung dan hukuman sebatan yang menyeksa tetapi tidak mendidik.

Malah, ada juga yang mendedahkan sikap mereka yang buta al-Quran apabila mempertikaikan tindakan politik PAS yang sentiasa berubah-ubah, sekali gus menandakan kejahilannya terhadap pembahagian ajaran Islam kepada perkara thawabit (dasar dan nas yang tetap tidak berubah) seperti halal dan haram serta perkara mutaghayyirat (situasi dan realiti yang mengalami perubahan) yang diizinkan ijtihad. Terlalu banyak contoh daripada al-Quran dan Sirah Nabawiah yang meletakkan Islam mampu mentadbir sepanjang zaman dan di semua tempat, walaupun berbeza keadaannya. Suatu konsep yang tidak terdapat pada agama dan ideologi yang lain. Kini terlalu banyak kegagalannya, maka jangan pula Islam yang disalahkan.

Islam membuktikan kemampuannya dalam menghadapi kuasa besar dunia pada zaman silam dengan sikap yang berbeza, dan akhirnya semua kuasa besar itu berjaya dijatuhkan kerana zalimnya dan ditolak oleh rakyatnya sendiri.

Firman Allah SWT:

﴿الٓمٓ١ غُلِبَتِ ٱلرُّومُ٢ فِيٓ أَدۡنَى ٱلۡأَرۡضِ وَهُم مِّنۢ بَعۡدِ غَلَبِهِمۡ سَيَغۡلِبُونَ٣ فِي بِضۡعِ سِنِينَۗ لِلَّهِ ٱلۡأَمۡرُ مِن قَبۡلُ وَمِنۢ بَعۡدُۚ وَيَوۡمَئِذٖ يَفۡرَحُ ٱلۡمُؤۡمِنُونَ٤﴾

“Alif Lam Mim. (1) Telah dikalahkan bangsa Rom. (2) Di negeri yang dekat sekali dan mereka sesudah mengalami kekalahan itu akan beroleh kemenangan. (3) Dalam masa beberapa tahun lagi. Bagi Allah jualah segala urusan sebelum dan setelah (mereka mendapat kemenangan). Dan pada hari (kemenangan bangsa Rom) itu bergembiralah orang-orang yang beriman. (4)” (Surah al-Rum: 1-4)

Sejarah mencatatkan bahawa Rom juga dijatuhkan kerana telah menceroboh negara Islam.

Adakah sejarah ini menjadi sebab permusuhan mereka terhadap Islam sehingga mencipta Islamofobia? Disebabkan kebimbangan mereka jika Islam kembali berkuasa semula. Adakah kerana buta sejarah atau kejahilannya?

Sejarah mencatatkan bahawa Islam telah berjaya menyelamatkan ilmu dan para ilmuwan, ketika banyak kerajaan membunuh para ilmuwan yang bijak kerana dianggap mencabar kuasa mereka yang zalim.

Islam telah berjaya membetulkan sains dan teknologi daripada tamadun bangsa yang menyalahgunakannya bagi tujuan menceroboh dan meruntuhkan akhlak.

Kerajaan China pada zaman keemasan Islam mengambil sikap berdamai terhadap Islam, sehingga Islam bebas berkembang di China sejak permulaannya. Bahkan, jumlah penganut Islam di China lebih ramai daripada jumlah penganut Islam di Malaysia, menunjukkan bahawa Cina DAP sememangnya jahil terhadap sejarah negara asalnya.

Jawaharlal Nehru yang beragama Hindu memuji peranan Islam dalam Tamadun India dan berjaya meringankan tekanan berkasta dalam agama Hindu. Apakah penganut Hindu dalam DAP juga jahil terhadap sejarah negara asalnya?

Pembunuh Ghandi, Indera Ghandi, Rajiv Ghandi semuanya bukan Islam. Mengapa Islam pula dianggap ganas.

Raja England, King Charles III juga pernah memuji sejarah Tamadun Islam. Apakah DAP yang kuat sifat Inggerisnya itu buta sejarah Islam sehingga tidak mengenangkan jasanya?

Islam ini masih bercahaya dan ajarannya masih terpelihara, sehingga Prof. Samuel P. Huntington menyanggah teori tamadun tunggal Barat sahaja yang dikemukakan oleh Prof. Francis Fukuyama. Beberapa kenyataan tokoh Barat seperti Henry Kissinger dan lain-lain juga membuat kenyataan bahawa Islam sangat mencabar Tamadun Barat. Inilah sikap DAP yang berimamkan kepadanya.

PAS pernah beberapa kali berdialog dengan pemimpin besar DAP berkenaan Islam, namun mereka tetap mahu memaksa PAS agar tidak bercakap banyak berkenaan Islam bagi menjaga pengaruh DAP. Maka, tinggallah bersama DAP sebahagian golongan yang mendengar nasihat yang salah itu.

Ada juga dalam kalangan pemimpin DAP yang menentang sikap DAP bertindak campur tangan dalam urusan agama Islam yang telah ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan dan sudah terdapat hak bagi penganut agama lain. Namun, mereka itu disingkirkan.

Malah, campur tangan DAP dalam urusan pengharaman arak di Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis, walhal ia dikuatkuasakan kepada penganut Islam sahaja dan dikecualikan penganut bukan Islam. Bahkan, pengharaman judi yang juga disokong oleh sebahagian bukan Islam tidak menyenangkan DAP dan angkatannya.

Adakah semua ini termasuk alasan bahaya gelombang hijau? Walaupun Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz pernah mempelawa golongan bukan Islam untuk meminum arak sehingga pecah perut.

Antara yang mereka tentang juga termasuklah arahan berpakaian menutup aurat yang diwajibkan kepada penganut Islam. Adapun kalangan bukan Islam pula mesti berpakaian sopan mengikut sifat kemanusiaan yang bermaruah dan dihormati oleh semua agama serta bangsa yang beradab. Tidak bersikap liberal sehingga tidak ada rasa malu seperti binatang yang tidak berakal dan tidak bermaruah yang sedang melanda negara Barat sekarang.

Kini, PAS berjaya memberikan kefahaman kepada golongan bukan Islam tanpa paksaan mereka menganut agama Islam, sehingga berjaya ditubuhkan Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) daripada kalangan mereka sendiri.

Kenyataan bahaya gelombang hijau sangatlah ‘double standard’ terhadap Islam, dalam keadaan mereka boleh menerima segala ideologi ciptaan manusia termasuk ideologi paling ekstrem seperti liberalisme dan komunisme. Sehinggakan, negara Barat boleh mengiktiraf negara Komunis dan negara yang paling liberal, tiba-tiba menentang sekeras-kerasnya di mana-mana sahaja kewujudan negara Islam. Bahkan, kemenangan parti Islam melalui demokrasi dianggap tidak sah dan ia ternyata satu sikap yang maha zalim.

Allah SWT memberikan semangat kepada umat Islam dengan firman-Nya:

﴿وَسَيَعۡلَمُ ٱلَّذِينَ ظَلَمُوٓاْ أَيَّ مُنقَلَبٖ يَنقَلِبُونَ٢٢٧﴾

“Dan (ingatlah) orang-orang yang zalim itu kelak akan mengetahui ke tempat mana mereka akan kembali.” (Surah al-Shu‘ara’: 227)

ABDUL HADI AWANG

Presiden PAS
Bertarikh: 9 Zulhijjah 1444 / 28 Jun 2023