Home Kenyataan Media Dewan Ulamak PAS Pusat

Al-Syahid Dr. Mursi Tokoh Yang Sukar Dicari Ganti

560 views
SHARE

AL-SYAHID DR. MURSI TOKOH YANG SUKAR DICARI GANTI

1. Dunia dikejutkan dengan pemergian Dr. Mohamed Mursi, Presiden Mesir yang telah digulingkan oleh puak Thaghut. Beliau telah syahid setelah rebah di dalam Mahkamah sewaktu perbicaraan semalam. Seksaan terhadap beliau semasa di penjara serta penafian hak untuk menerima rawatan menyebabkan kesihatannya semakin teruk. Inilah cara pembunuhan senyap pihak thaghut demi melenyapkan tokoh Islam yang berkaliber.

2. Al-Syahid Dr. Mursi adalah seorang Hafiz Al-Quran, bahkan isteri dan kesemua anaknya juga adalah Huffaz Al-Quran. Beliau sebelum dilantik sebagai kepimpinan Ikhwan Muslimin merupakan pensyarah di Universiti Southern California. Setelah itu, beliau menjadi pembantu Prof. di Universiti California-North Ridge. Setelah kembali dari Amerika Syarikat, beliau ditawarkan sebagai Profesor dan Ketua di Jabatan Fakulti Kejuruteraan Material pada tahun 1985 hingga tahun 2000 di Universiti Zaqaziq, Mesir.

3. Al-Syahid seorang yang aktif dalam gerakan siyasi dan merupakan Ahli Maktab Irsyad (Dewan Syura) Ikhwanul Muslimin. Beliau telah terpilih sebagai ahli parlimen untuk tempoh 2000-2005. Pasca revolusi Mesir, Majlis Syura Ikhwanul Muslimin telah memilih beliau sebagai Presiden Parti Kebebasan dan Keadilan (FJP) iaitu sebuah parti yang ditubuhkan oleh Ikhwanul Muslimin.

4. Jasa beliau semasa menjawat Presiden Mesir terlalu besar. Rakyat Mesir dapat disatukan dan beliau turut menyeru seluruh parti politik dan badan bukan kerajaan agar sama-sama membangunkan Mesir serta menjadikannya contoh kepada dunia. Kematiannya ditangisi oleh pejuang-pejuang Islam seluruh negara. Jenazahnya diperlakukan sebagaimana Al-Syahid Hasan Al-Banna, tiada siapa dibenarkan hadir pengkebumian jenazahnya melainkan hanya keluarganya.

5. Dewan Ulamak PAS Pusat mengutuk segala kezaliman yang dilakukan oleh rejim Al-Sisi dan pihak yang bertanggungjawab mesti dihadapkan ke muka pengadilan. Saya turut menyeru seluruh umat Islam untuk melaksanakan solat jenazah ghaib kepada Al-Syahid Dr Mursi di lokasi masing-masing. Semoga Allah melahirkan lebih ramai Mursi dalam Harakah Islamiah.

“Islam Memimpin”

“Islam Jalan Penyelesaian”

USTAZ DATO’ DR. HAJI MAHFODZ MOHAMED
Ketua
Dewan Ulamak PAS Pusat