Home Minda Presiden

Al-Quran tetap dipelihara

140
SHARE


Minda Presiden PAS
AL-QURAN TETAP DIPELIHARA


 Firman Allah SWT:

﴿إِنَّا نَحۡنُ نَزَّلۡنَا ٱلذِّكۡرَ وَإِنَّا لَهُۥ لَحَٰفِظُونَ٩﴾

“Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan al-Quran, dan sesungguhnya Kami benar-benar memeliharanya.” (Surah al-Hijr: 9)

Mukjizat ilmu menjadi bukti kebenaran Rasul akhir zaman, ketika manusia berbangga dengan kemajuan ilmu, kajian dan pengalaman hidup mereka sepanjang sejarah, termasuk kemajuan dalam lapangan sains dan teknologi. Sehinggakan, tercipta pelbagai teori luar biasa dan alat-alat yang canggih dengan mendabik dada penuh kesombongan dan kebanggaan oleh kalangan mereka yang tidak beriman.

Justeru, Allah SWT mengurniakan mukjizat ilmu-Nya menjadi petunjuk kepada seluruh manusia supaya mereka menyedari kelemahan diri masing-masing, sekalipun mereka itu berakal dan berilmu. Allah SWT menyatakan sempadan yang menetapkan batas kemampuan yang menjadi sifat makhluknya.

Namun, mereka tetap berhajat kepada petunjuk Allah yang Maha Esa sebagai Pencipta alam. Allah SWT menyebutkan berulang kali dalam al-Quran, antaranya sebagaimana firman-Nya:

﴿إِنَّ هَٰذَا ٱلۡقُرۡءَانَ يَهۡدِي لِلَّتِي هِيَ أَقۡوَمُ وَيُبَشِّرُ ٱلۡمُؤۡمِنِينَ ٱلَّذِينَ يَعۡمَلُونَ ٱلصَّٰلِحَٰتِ أَنَّ لَهُمۡ أَجۡرٗا كَبِيرٗا٩﴾

“Sesungguhnya al-Quran ini memberikan petunjuk kepada (jalan) yang amat betul (agama Islam), dan memberikan khabar yang menggembirakan Mukmin yang mengerjakan amal-amal soleh, bahawa mereka beroleh pahala yang besar.” (Surah al-Isra’: 9)

Telah nyata bahawa sesungguhnya manusia itu mempunyai kelemahan dari segi akalnya, hasil daripada teori ciptaan mereka sendiri dan ciptaan sains dan teknologi. Akan tetapi, apabila perkara yang diciptakan itu melangkaui di luar sempadan fitrahnya, pasti ia akan membawa kemusnahan.

Oleh itu, seluruh manusia wajib kembali kepada petunjuk Allah SWT yang telah menetapkan sempadan kemampuan mereka. Hal ini penting supaya manusia terselamat dalam kehidupan di dunia sebelum mereka masuk ke alam akhirat yang telah dijanjikan.

Al-Quran yang menjadi petunjuk ini menetapkan petunjuk kepada semua ilmu yang terbahagi kepada dua jenis ilmu, iaitu ilmu agama dan ilmu dunia agar manusia tidak bersikap melampau.

Kesemua ilmu itu termasuk dalam kategori ilmu fardu ‘ain yang wajib ke atas setiap individu yang baligh (mencapai tahap umur kematangan) dan berakal. Begitu juga, ilmu fardu kifayah yang diwajibkan secara berjemaah atau kolektif, bagi membolehkan manusia bertugas dengan baik di alam dunia.

Allah SWT memelihara al-Quran secara riwayat dan dirayah, sama ada memelihara al-Quran itu dari segi tulisan, bacaan dan kefahaman secara langsung atau melalui pelaksanaan. Tugas bagi melaksanakan itu diberikan kepada Rasulullah SAW yang dilantik melalui teks hadis atau Sunnah yang menghuraikan inti pati al-Quran.

Walaupun kitab-kitab suci terdahulu seperti Taurat, Injil dan Suhuf sudah mengalami perubahan, sehingga berlaku penyelewengan akibat campur tangan oleh ciptaan manusia yang menyesatkan. Namun, al-Quran tidak boleh diperlakukan sebegitu, kerana ia dipelihara oleh Allah SWT dengan cara yang menakjubkan, sehingga menggagalkan usaha yang dilakukan oleh musuh-musuh Islam yang merancang secara langsung atau memperalatkan para ulama’ yang jahat.

Al-Quran diturunkan dalam bahasa Arab kerana mereka merupakan bangsa yang ditugaskan menjadi generasi awal yang dipertanggungjawabkan oleh Allah SWT memulakannya kepada seluruh manusia. Walaupun terdapat berbagai-bagai bangsa, bahasa dan agama, namun susunan ayat-ayat al-Quran, perkataan dan istilahnya tidak mampu dilawan oleh ahli bahasa Arab dan ahli bahasa lain.

Hal ini sekali gus menyebabkan mereka tergamam apabila mendengar bacaannya. Begitu juga, ilmuwan seluruh manusia dari segi ketepatan ilmunya, sehingga kini tidak mampu menjawab cabaran Allah SWT melalui firman-Nya:

﴿وَإِن كُنتُمۡ فِي رَيۡبٖ مِّمَّا نَزَّلۡنَا عَلَىٰ عَبۡدِنَا فَأۡتُواْ بِسُورَةٖ مِّن مِّثۡلِهِۦ وَٱدۡعُواْ شُهَدَآءَكُم مِّن دُونِ ٱللَّهِ إِن كُنتُمۡ صَٰدِقِينَ٢٣ فَإِن لَّمۡ تَفۡعَلُواْ وَلَن تَفۡعَلُواْ فَٱتَّقُواْ ٱلنَّارَ ٱلَّتِي وَقُودُهَا ٱلنَّاسُ وَٱلۡحِجَارَةُۖ أُعِدَّتۡ لِلۡكَٰفِرِينَ٢٤﴾

“Dan jika kamu (tetap) dalam keraguan tentang apa yang Kami turunkan (al-Quran) kepada hamba kami (Muhammad), maka cubalah kalian cipta dan datangkanlah satu surah yang sebanding dengan al-Quran itu, dan panggillah orang-orang yang kalian percaya boleh menolong kalian selain daripada Allah, jika betul kalian orang-orang yang benar. (23); Maka, kalau kalian tidak dapat menciptakannya, dan sudah tentu kalian tidak dapat melakukannya, maka peliharalah diri kalian daripada api neraka yang bahan-bahan bakarnya terdiri daripada manusia dan batu-batan (berhala), (iaitu neraka) yang disediakan untuk orang-orang kafir. (24)” (Surah al-Baqarah: 23-24)

Walaupun semua al-Quran cuba dibakar hangus bagi menghapuskannya, nescaya apa yang dilakukan itu masih menemui kegagalan.  Perkara yang sama terjadi kepada ilmu yang berkaitan secara khusus dalam aspek yang dinamakan agama, seperti ilmu tafsir, hadis, aqidah, fiqh dan tasawuf (akhlak dan pendidikan roh). Termasuklah ilmu dunia seperti sains dan teknologi dalam segala aspeknya yang berprinsip Islam melalui ketamadunannya, kerana al-Quran dan ilmunya tetap dipelihara oleh Allah SWT.

Kenyataan sejarah dan realiti hari ini telah membuktikannya.

Dari sudut sejarahnya, ia berlaku apabila kaum Tatar yang dipimpin oleh Genghiz Khan dan disambung oleh puteranya, Hulagu Khan berjaya menawan Baghdad iaitu ibu negara bagi Kerajaan Islam ‘Abbasiyah. Ketika itu, mereka telah memusnahkan penulisan para ulama’, sama ada dibakar atau dijadikan jambatan bagi menyeberangi Sungai Furat dan Sungai Dajlah, sehingga airnya berubah warna kesan daripada dakwat buku yang banyak diselamkan ke dalam air sungai itu.

Walau bagaimanapun, al-Quran dan ilmunya tetap gagal dihapuskan. Sebaliknya, kalangan kaum Tatar pula memeluk Islam dan mereka berjasa besar menegakkan Kerajaan Moghul yang bertamadun di Asia Tengah dan benua India.

Sepatutnya rakyat dan pemimpin wilayah yang dijajah terpengaruh dengan penjajah dari segi budaya, termasuk bahasanya, tetapi berlaku suatu perkara luar biasa apabila kaum Tatar yang menjajah gagal memadamkan cahaya Islam. Sebaliknya, cahaya Islam pula memasuki ke dalam hati mereka sehingga mereka pula berjasa kepada Islam.

Dalam pada itu, kita menyaksikan pula pada zaman mutakhir apabila penjajah Barat membawa agenda Perang Salib dan mereka berjaya menjatuhkan kerajaan Islam. Bahkan, juga mencuri hasil-hasil penulisan ilmu Islam, sama ada ilmu agama seperti aqidah, syariat dan tasawuf, di samping ilmu sains dan teknologi daripada tamadun Islam. Malah, hingga kini ada yang masih disimpan di London, Leiden, Paris dan lain-lain.

Khazanah ilmu tersebut banyak membantu Eropah untuk mencipta kemajuan mereka dahulu sehingga ke hari ini. Akan tetapi, kita dapat menyaksikan betapa tamadunnya kini sedang rosak memakan diri kerana ia dipisahkan daripada asas agama. Namun, Islam tetap dipelihara Allah SWT.

Secara khusus mereka mempergunakan Islam yang telah dipesongkan menjadi senjata peperangan pemikiran dan budaya terhadap umat Islam yang sedang lumpuh tanpa negara yang mampu melindunginya. Antara pendekatannya ialah mendidik dan membentuk kelompok para ulama’ dalam kalangan umat Islam sendiri yang mengikut acuan mereka, sama ada melalui para orientalis yang tersohor, atau pendidik yang tidak mursyid dan tidak beriman.

Tujuannya adalah bagi merosakkan kefahaman secara halus dan licik, khususnya kefahaman dalam ilmu agama seperti aqidah, fiqh dan tasawuf. Selain itu, juga bertujuan melumpuhkan jati diri umat Islam (melalui agenda yang digerakkan melalui RAND Corporation).

Diayah mereka diterima oleh kalangan umat Islam sehingga tertanam dalam roh dan akal mereka, bahawa semua yang berjenama bahasa penjajah itu adalah yang paling tinggi nilaiannya. Namun, apa yang dilaksanakan itu bertopengkan kesesatannya yang tidak mampu disembunyikan lagi.

Rahsianya ialah Allah SWT tetap memelihara al-Quran melalui kemurnian bahasa asalnya (bahasa Arab). Salah satu cara al-Quran itu terpelihara apabila banyak perkataannya tidak mampu diterjemahkan ke dalam bahasa lain, kerana tidak mampu mencapai maksud dan hikmahnya. Hal ini dijelaskan oleh firman Allah SWT:

﴿وَلَوۡ جَعَلۡنَٰهُ قُرۡءَانًا أَعۡجَمِيّٗا لَّقَالُواْ لَوۡلَا فُصِّلَتۡ ءَايَٰتُهُۥٓۖ ءَا۬عۡجَمِيّٞ وَعَرَبِيّٞۗ قُلۡ هُوَ لِلَّذِينَ ءَامَنُواْ هُدٗى وَشِفَآءٞۚ وَٱلَّذِينَ لَا يُؤۡمِنُونَ فِيٓ ءَاذَانِهِمۡ وَقۡرٞ وَهُوَ عَلَيۡهِمۡ عَمًىۚ أُوْلَٰٓئِكَ يُنَادَوۡنَ مِن مَّكَانِۢ بَعِيدٖ٤٤﴾

“Dan jikalau Kami jadikan al-Quran itu (bacaan) dalam bahasa selain Arab, tentulah mereka akan berkata: ‘Mengapa tidak dijelaskan ayat-ayatnya (dalam bahasa yang kami fahami)? Apakah (patut al-Quran) itu dalam bahasa asing sedangkan Rasul yang membawanya berbangsa Arab?’ Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Al-Quran itu ialah (cahaya) petunjuk dan penawar bagi Mukmin; dan sebaliknya orang-orang yang tidak beriman, (al-Quran itu) menjadi sebagai satu penyakit yang menyumbat telinga mereka (bukan penawar); dan ia juga merupakan gelap-gelita yang menimpa (pandangan) mereka (bukan cahaya yang menerangi). Mereka itu (dengan perbuatan melarikan diri dari ajaran al-Quran, tidak ubahnya seperti) orang-orang yang diseru dari tempat yang jauh.’” (Surah Fussilat: 44)

Ilmu bahasa Arab yang banyak cabangnya melebihi daripada semua bahasa, sama ada dari segi huruf dan perkataannya seperti ilmu nahu dan sorof atau ilmu balaghah berserta cabang ilmunya seperti ilmu bayan, ma‘ani dan badi‘, termasuk ilmu adab Arabi (sastera Arab). Manakala, ilmu tajwid dan qiraat dalam aspek bacaan, serta ilmu khat dan imla’ dalam penulisannya.

Ilmu yang khusus berkait dengan tafsirannya pula dari segi riwayat dan dirayah yang tidak mampu dikaji semuanya oleh diri para orientalis. Di samping itu, adab-adab ilmu yang menjadi rohnya yang beriman dan budiman itu tidak langsung wujud dalam diri para orientalis.

Apa yang menarik muncul kalangan orientalis yang menyerah kalah kepada Islam dan memeluk Islam. Malah, ulama’ yang dibentuk itu membela Islam dan berdakwah di negara penjajah, sehingga Islam menembusi gereja dan gerakan misionari.

Mereka yang berjaya diperalatkan pasti akan terdedah topengnya oleh kekuatan Islam yang tidak boleh dipadamkan cahayanya.

Negara kita mempunyai para mufti yang ramai, di samping ilmuwan secara khusus mempelajari ilmu-ilmu yang berkaitan dengannya, secara langsung dalam bahasa al-Quran yang terpelihara daripada para ulama’ yang berjasa dalam sejarah mempertahankan Islam di universiti-universiti yang tertua di dunia, maka kita tidak perlu kepada murid para orientalis yang sesat bagi menjadi panduan dalam perkara agama Islam. Maka, haram merujuk kepada para orientalis dan muridnya yang sesat itu kerana mereka merupakan kumpulan yang dirancang terhadap Islam dan umatnya bagi mencipta masalah yang merosakkan kemurnian Islam secara halus.

Allah SWT memberikan amaran dalam al-Quran melalui kisah yang berlaku kepada Bani Isra’il yang mengkhianati agama-Nya melalui ulama’ yang jahat lagi menyesatkan. Hal ini dinyatakan oleh firman Allah SWT:

﴿وَٱتۡلُ عَلَيۡهِمۡ نَبَأَ ٱلَّذِيٓ ءَاتَيۡنَٰهُ ءَايَٰتِنَا فَٱنسَلَخَ مِنۡهَا فَأَتۡبَعَهُ ٱلشَّيۡطَٰنُ فَكَانَ مِنَ ٱلۡغَاوِينَ١٧٥ وَلَوۡ شِئۡنَا لَرَفَعۡنَٰهُ بِهَا وَلَٰكِنَّهُۥٓ أَخۡلَدَ إِلَى ٱلۡأَرۡضِ وَٱتَّبَعَ هَوَىٰهُۚ فَمَثَلُهُۥ كَمَثَلِ ٱلۡكَلۡبِ إِن تَحۡمِلۡ عَلَيۡهِ يَلۡهَثۡ أَوۡ تَتۡرُكۡهُ يَلۡهَثۚ ذَّٰلِكَ مَثَلُ ٱلۡقَوۡمِ ٱلَّذِينَ كَذَّبُواْ بِ‍َٔايَٰتِنَاۚ فَٱقۡصُصِ ٱلۡقَصَصَ لَعَلَّهُمۡ يَتَفَكَّرُونَ١٧٦ سَآءَ مَثَلًا ٱلۡقَوۡمُ ٱلَّذِينَ كَذَّبُواْ بِ‍َٔايَٰتِنَا وَأَنفُسَهُمۡ كَانُواْ يَظۡلِمُونَ١٧٧﴾

“Dan bacakanlah kepada mereka (wahai Muhammad), berita seorang yang telah Kami berikan kepadanya (pengetahuan mengenai) ayat-ayat (Kitab) Kami. Kemudian ia menjadikan dirinya terkeluar dari mematuhi ayat-ayat itu, lalu ia diikuti oleh syaitan (dengan godaannya), maka jadilah dia daripada kalangan orang-orang yang sesat. (175); Dan kalau Kami menghendaki, nescaya Kami tinggikan (darjatnya) dengan (sebab mengamalkan) ayat-ayat itu. Tetapi dia bermati-matian cenderung kepada dunia dan menuruti hawa nafsunya; maka bandingannya adalah seperti anjing, jika kamu menghalaunya, ia menghulurkan lidahnya termengah-mengah; dan jika engkau membiarkannya, ia juga menghulurkan lidahnya termengah-mengah. Demikian itulah bandingan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami. Maka, ceritakanlah kisah-kisah itu supaya mereka berfikir. (176); Amatlah buruknya bandingan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami, dan mereka pula berlaku zalim kepada diri merela sendiri. (177)” (Surah al-An‘am: 175-177)

Para ulama’ tafsir menegaskan cerita ini berkaitan dengan seorang ulama’ Bani Isra’il yang tinggi ilmu tasawufnya, sehingga dianggap setiap doanya dimakbulkan oleh Allah SWT. Akhirnya, tercabut imannya kerana ilmunya tidak menepati Kitab Taurat dan petunjuk para rasul. Lantas, terdedah bahawa dia sebenarnya diperalatkan oleh syaitan.

Para ilmuwan Islam (ulama’) membahagikan ilmu Islam kepada tiga bahagian, iaitu ilmu aqidah, syariat dan tasawuf. Pembahagian ini adalah berpandukan soalan Malaikat Jibrail di hadapan para sahabat RA berkenaan Islam, iman dan ihsan, ketiga-tiganya yang tidak boleh dipisahkan laksana roh dan jasad, juga kepala dan badan. Sebarang pemisahan antara ilmu tersebut dalam pengajian dan dari segi amalannya akan merosakkan wajah Islam.

Antara agenda perosak orientalis ialah mengasingkan setiap satunya menjadi kajian secara serpihan yang merosakkan wajah kesempurnaan Islam seperti mengkaji aqidah tanpa fiqh atau mengkaji fiqh tanpa aqidah. Begitu juga, aspek tarekat dan tasawuf yang diasingkan, sehingga membawa ajaran tanpa riwayat yang sahih dan dirayah yang sebenar.

Maka, budaya ilmu Islam dipelihara oleh Allah SWT daripada semua gangguan dengan dua aspek yang penting, iaitu riwayat dan dirayah.

Riwayat ialah mengetahui bahawa ilmu itu daripada guru yang beriman, berilmu dalam lapangannya dengan ingatan yang kuat, faham dan bijak, serta tidak fasiq (jahat). Pada masa yang sama, beramal dan beristiqamah dengan Islam daripada sumbernya yang sahih, khususnya daripada al-Quran, hadis dan ulama’ yang muktabar dari sudut iman, ilmu dan akhlaknya.

Adapun dirayah pula memahami isi kandungan ilmu itu khususnya melalui bahasa al-Quran (bahasa Arab). Bukannya bahasa asing atau bahasa para orientalis yang tidak beriman, bahkan itu yang paling membahayakan jika ia dituruti.

Namun begitu, akan tetap ada kalangan para ulama’ yang benar-benar menerima pusaka ilmu daripada para anbiya’ yang dinyatakan oleh sabda Rasulullah SAW:

إِنَّ الْعُلَمَاءَ هُمْ وَرَثَةُ الأَنْبِيَاءِ إِنَّ الأَنْبِيَاءَ لَمْ يُوَرِّثُوا دِينَارًا وَلاَ دِرْهَمًا إِنَّمَا وَرَّثُوا الْعِلْمَ فَمَنْ أَخَذَهُ أَخَذَ بِحَظٍّ وَافِرٍ.

“Sesungguhnya para ulama’ ialah pewaris para anbiya’. Sesungguhnya nabi-nabi tidak meninggalkan pusaka dinar dan dirham (harta benda), tetapi yang mereka wariskan hanyalah pusaka ilmu. Maka, sesiapa yang mengambil ilmu tersebut, nescaya dia mendapat bahagian yang banyak dan mahal harganya.” (Riwayat al-Tirmizi 2682, Ibn Majah 223 dan lain-lain)

Ilmu itu diambil secara riwayat dengan sanad yang tidak boleh ditipu, kerana setiap orang yang meriwayatkan dikenali peribadi dan kemampuan ilmunya malah akhlaknya. Sekiranya tidak dikenali atau diragui kemampuan ilmu dan kemurnian peribadinya, maka perkara itu dianggap tidak sah dan bohong lagi menyesatkan.

Semua ilmu agama merangkumi ilmu aqidah, syariat dan tasawuf disahkan menepati al-Quran dan hadis dari segi riwayat daripada setiap orang yang dikenali, sama ada ia sahih atau tidak. Manakala, dari sudut dirayah pula, suatu ilmu itu adalah mengikut bahasa al-Quran bukannya bahasa asing yang tidak menepati maksudnya yang asal.

Oleh itu, berwaspadalah khususnya pada akhir zaman yang penuh dengan fitnah dan pembohongan yang telah diberikan amaran oleh Rasulullah SAW. Tatkala banyaknya pembohong yang mengelirukan Islam, namun Islam tetap dipelihara Allah SWT dan penipunya tidak mampu berlagak buat selama-lamanya.

Islam menggalakkan umatnya agar menuntut ilmu dalam segala bidang di mana sahaja sehingga ke negeri China dan Eropah. Akan tetapi, menuntut ilmu agama Islam secara khusus ditetapkan syarat-syarat dan adab-adab yang khusus bagi memelihara istiqamahnya mengikut ketetapan Allah SWT.

Penjajah tidak berani menghapuskan al-Quran dan Islam. Malah, di negara kita telah dimaktubkan kewajipan untuk menjaga agama Islam kepada umara’ (raja-raja) dan ulama’ dengan kuasa yang terbatas. Namun, dua pihak ini yang berkewajipan dibangkitkan kedaulatannya setelah dilumpuhkan pada zaman penjajah dan wajib diperkasakan pada zaman kita sudah mengecapi kemerdekaan.

Janganlah dipecahbelahkan antara raja dan ulama’, mahupun sesama raja-raja atau sesama para ulama’ kerana masalah cabang dan sampingan. Allah SWT memberikan suatu petunjuk dengan firman-Nya:

﴿يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ أَطِيعُواْ ٱللَّهَ وَأَطِيعُواْ ٱلرَّسُولَ وَأُوْلِي ٱلۡأَمۡرِ مِنكُمۡۖ فَإِن تَنَٰزَعۡتُمۡ فِي شَيۡءٖ فَرُدُّوهُ إِلَى ٱللَّهِ وَٱلرَّسُولِ إِن كُنتُمۡ تُؤۡمِنُونَ بِٱللَّهِ وَٱلۡيَوۡمِ ٱلۡأٓخِرِۚ ذَٰلِكَ خَيۡرٞ وَأَحۡسَنُ تَأۡوِيلًا٥٩﴾

“Wahai orang-orang yang beriman! Taatilah kalian kepada Allah dan taatilah kalian kepada Rasulullah dan kepada Ulil Amri (orang-orang yang berkuasa) daripada kalangan kalian. Kemudian, jika kalian saling berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kalian mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (al-Quran) dan (Sunnah) Rasul-Nya; jika kalian benar-benar beriman kepada Allah dan Hari Akhirat. Oleh yang demikian adalah lebih baik (bagi kalian), dan lebih elok pula kesudahannya.” (Surah al-Nisa’: 59)

Maka hubungan antara istana dan ulama’, istana dan istana, ulama’ dan ulama’ perlu dijaga perpaduannya. Ilmu dan hukum Islam juga perlu dirujuk kepada ulama’ dan mufti, bukan berkiblatkan kepada orientalis yang sesat.

Semoga Al-Quran dan Sunnah tetap dipelihara dengan kukuh dan beristiqamah.

ABDUL HADI AWANG

Presiden PAS
Bertarikh: 21 Ramadan 1443 / 23 April 2022