Home Berita Dewan Muslimat PAS Malaysia

Al-Marhum Dr. Naim : Contoh Anak Mitsali yang Berbakti kepada Si Ibu

2971
SHARE

“……dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang atau keduanya sekali sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan “Ha”, dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun)” [ Q:S. Al Israa : 23 ]

Seorang Doktor pelatih di Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) berusia 26 tahun telah terkorban dalam kemalangan menuju ke tempat kerja pagi semalam.

Beliau dikhabarkan berulang-alik Kajang ke Kuala Pilah hanya untuk menjaga ibunya yang baru kematian suami pada Julai lalu.

Atas dasar penuh tanggungjawab sebagai anak bongsu yang masih tiada komitmen lain selain sebagai seorang Doktor, beliau sanggup berulang-alik sejauh 160 km lebih kurang 4 kali dalam seminggu.

Kami seluruh kepimpinan Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM) menyatakan rasa simpati dan penuh takziah buat ibu Al-Marhum Naim Zafri Che Yusoff serta seluruh keluarga atas pemergian dan kepulangannya.

Kami Muslimat PAS berasa sangat terharu atas pengorbanan anak muda ini kerana realiti pada hari ini telah banyak kepincangan dalam keluarga yang berlaku, anak-anak derhaka kepada ibu bapa yang telah banyak berkorban sedari kecil hingga dewasa.

Al-Marhum Naim Zafri wajar dijadikan contoh buat semua anak muda terutamanya yang masih lagi mempunyai ibu bapa agar sentiasa meneruskan bakti dan jasa selagi hayat dikandung badan, agar tidak menyesal di kemudian hari.

Muslimat PAS sebelum ini melalui Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan DMPM telah mengadakan ‘Kempen Birrul Walidain’, iaitu kempen mengajak anak-anak membuat kebaikan dan bakti kepada kedua ibu bapa.

Semoga kita semua tergolong dalam golongan yang sentiasa menghormati, menjaga adab dan berbakti kepada ibu bapa sepanjang hayat mereka. Di samping sentiasa mendoakan kesejahteraan mereka jika keduanya telah meninggal dunia.

Ustazah Nuridah Mohd Salleh
Ketua
Dewan Muslimat PAS Malaysia
10 April 2018 bersamaan 23 Rejab 1439