Home Berita PAS Sarawak

Aku Dan Hari Gawai

1204
SHARE

Perkataan Dari Tuhan Menyeru Melakukan Kebaikan Sesama Manusia – Aku Dan Hari Gawai

Bismillahirrahmaanirrahim…

Perayaan Gawai pada tahun ini berlangsung di dalam bulan Ramadhan. Seperti tahun yang sudah, saya bersama AJK PAS kawasan menziarahi rumah-rumah panjang pilihan dan menyampaikan buah tangan tanda tulus ikhlas persahabatan yang melangkaui parti politik.

Tahun ini, saya berasa amat gembira kerana ziarah kali ini dikendalikan oleh AJK Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) Sarawak dan Bintulu sendiri. Memakai pakaian tradisi iaitu “Baju Burung” dalam istilah bahasa Iban.

Seperti kebiasaan juga, ziarah melalui parti politik ini tidak lari dari memberi ucapan kepada penduduk rumah panjang. Sebelum berucap, seorang “Ibuk” atau makcik yang hampir berumur usianya menghidangkan air tradisi Iban iaitu air tuak dan sedikit makanan ringan. Adat mereka, tetamu mesti dijamu air tuak tersebut. Bagi yang kali pertama bertandang ke rumah panjang atau tidak pernah malah hanya mendengar khabar angin sahaja, pelbagai persepsi diberikan untuk kita bersama menziarahi masyarakat Iban di rumah panjang. Ternyata persepsi negatiflah yang banyak menguasai diri kita selama ini terutama orang Islam. Rasa tidak selesa itu mungkin ada, jika anda kali pertama dan sekiranya niat anda bukan bertujuan untuk menghubungkan persahabatan. Ternyata orang-orang di rumah panjang sudah faham bahawa tidak perlu dijamu tetamu muslim dengan sesuatu yang tidak dibolehkan mengikut agama mereka. Baiklah, saya tidak mahu berceloteh panjang tentang perkara tersebut.

Di permulaan ucapan saya, saya membawa seluruh masyarakat Iban yang hadir untuk meneliti perkataan dari Tuhan seluruh manusia iaitu Allah S.W.T di dalam Kitab Al-Quran yang bermaksud:

“Allah tiada melarang kamu untuk berbuat baik (dalam urusan dunia) dan berlaku adil terhadap orang-orang (kafir) yang tiada memerangimu kerana agama dan tidak (pula) mengusir kamu dari negerimu. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berlaku adil.” 

(Al-Mumtahanah :8)” .

Saya jelaskan, tujuan kami adalah kerana tuntutan agama untuk melakukan kebaikan sesama manusia biarpun kepercayaan kita berbeza kerana permusuhan tidak akan menyelsaikan masalah diantara kita. Nyata sekali, keperluan untuk berbuat baik sesuai dengan batas agama masing-masing ini sangat perlu di Negeri kami yang tercinta iaitu Sarawak. Kepelbagaian lebih dari 20 etnik di Negeri ini tidak boleh sama sekali menindas antara satu sama lain. Kerukunan sebagai seorang warganegara yang merdeka ini harus dituruti melalui 5 prinsip rukun Negara.

Jika ditelusuri, hari ini apa jua salah dan silap seseorang individu itu sering dan terus di nisbahkan kepada silap kumpulan tertentu terutama agama. Maka tercalarlah imej sesuatu agama itu kerana perbuatan tersebut. Apatah lagi emosi, persepsi negatif sering berlaku dan prasangka menjadi bertambah di antara Muslim dan bukan Muslim di Negara kita. Saya juga tidak bersetuju untuk menundung jari kepada mana-mana individu dari luar Sarawak untuk dijadikan hujah bahawa Islam perlu di sekat di Sarawak. Saya sendiri yang berdarah campuran Iban juga tidak akan selesa dengan prasangka yang wujud kerana di sana saya perlu patuh kepada ajaran agama saya dan meraikan tradisi keturunan saya. Haruskah golongan seperti kami termasuk lain-lain kaum yang baru memeluk Islam disisih dan dinafikan hak? Di dalam Negara demokrasi ini, hormat menghormati antara satu sama lain itu perlu. Jika diteliti juga, kebanyakan individu yang menghina agama ini sebahagiannya dimanupulasi oleh media yang sengaja membuahkan pertelingkahan dan perpecahan demi mencapai matlamat politik dan kuasa. Hari ini saya juga ingin nyatakan bahawa Muslim berdepan cabaran imej buruk seperti teroris, ganas, tiada toleransi sedangkan Islam sendiri tidak membenarkan perkara ini, namun berapa ramai rakan bukan Muslim kami yang percaya bahawa itulah kami. Adilkah ia untuk Muslim bila mana propaganda sengaja dibuat demi memburukan Islam itu sendiri? Tidakkah waras kita memikirkan bahawa tidak mungkin Tuhan yang Islam percaya iaitu Allah sebagai tuhan sekalian Alam dan makhluk membenarkan kerja jahat ini? Maka, kerja jahat pihak tertentu ini mesti kita bendung bersama. Usah gadaikan maruah, toleransi dan kerukunan antara kita kaum bumiputera Sarawak terutamanya diracuni oleh pihak ketiga yang sering melagakan kita yang lahir di bumi bertuah Sarawak ini. Kerja jahat ini akan terhenti jika kewarasan digunakan dalam urusan harian kita.

Jikapun ada sesetengah Muslim yang masih salah faham akan kehidupan dan cara hidup yang bukan muslim di Negeri ini, anggaplah dia belum mengenali kita dan maafkanlah. Mereka tidak berada di Negeri kita yang aman ini dan mereka tidak merasa nikmat hidup bermasyarakat majmuk yang sangat berbilang. Kerana di sana juga ada hak dia sebagai penganut agama yang menjaga batas agamanya untuk tidak menziarahi dan menyambut perayaan anda. Perkara yang sama juga berlaku sekiranya tiba hari Raya Aidilfitri nanti, ianya adalah hak individu bukan Muslim untuk hadir atau tidak hadir menziarahi rakan-rakan Muslim sesuai dengan tuntutan kepercayaan anda. Namun, apalah erti hidup bermasyarakat majmuk yang terlalu ramai etnik di Negeri Sarawak ini jika kita gagal memahami antara satu sama lain sesuai dengan tuntutan perkataan Tuhan seperti yang saya nyatakan di atas. Saya juga percaya seruan untuk melakukan kebaikan ini adalah perkara asas dalam kehidupan kita semua.

Akhir sekali, bagi rakan-rakan yang menyambut perayaan Gawai sebagai perayaan tradisi kaum Dayak saya ucapkan Selamat Hari Gawai, Gayu Guru Gerai Nyamai. Berjimat meh ba Jalai.

-Zharudin Narudin-

 

 

{jathumbnail off}