Home Berita PAS Terengganu

Aktiviti Kampung meriahkan Kuala Abang, Cakna Komuniti terus dekat di hati rakyat

2
SHARE

DUNGUN, 17 November Program Cakna Komuniti UDM Kuala Abang berlangsung dengan penuh warna-warni meskipun pada awalnya hujan turun membasahi kawasan program.

Keadaan hujan walau bagaimanpun tidak mematahkan semangat penduduk kampung yang tetap hadir beramai-ramai bagi memeriahkan penganjuran edisi kali ini.

Program Cakna Komuniti merupakan inisiatif yang menghimpunkan seluruh lapisan masyarakat kampung, merangkumi kanak-kanak, belia, ibu bapa serta warga emas. Pelbagai acara menarik disusun bagi memastikan setiap kelompok masyarakat dapat terlibat dan merasai kemeriahan program.

Antara pertandingan yang mencuri perhatian ialah pertandingan mewarna khas untuk para ibu, permainan baling buah kelapa, dan pertandingan motorsikal paling lambat, selain beberapa aktiviti santai yang menguji kreativiti, ketangkasan dan kerjasama ahli keluarga.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Mohd Fadhli Rahmi, ketika ditemui berkata bahawa Program YB Cakna Komuniti kini memasuki penganjuran kali keempat, dengan pelaksanaannya dilakukan secara bergilir di kampung-kampung berbeza dalam kawasan Rantau Abang.

“Walaupun hujan renyai di awal program, alhamdulillah sambutan masyarakat tetap sangat menggalakkan. Semangat inilah yang kita mahu semangat kekitaan dan kebersamaan. Harapan saya agar program seperti ini terus menguatkan ukhuwah dan memberi manfaat kepada seluruh penduduk,” ujar beliau.

Mohd Fadhli turut merakamkan penghargaan kepada para sukarelawan serta penduduk yang sentiasa memberikan sokongan, menjadikan program ini sebuah platform penting dalam memupuk perpaduan dan keharmonian komuniti setempat.

Program Cakna Komuniti UDM Kuala Abang sekali lagi membuktikan bahawa hujan bukanlah halangan apabila seluruh masyarakat bersatu hati, menjadikan penganjuran ini bukan sekadar meriah tetapi sarat dengan nilai kekeluargaan dan semangat kejiranan. Semoga ia terus menjadi wadah mengeratkan hubungan penduduk kampung pada masa akan datang.