Home Berita PAS Pahang

Airmata ‘As-Sabiqat’ mengimbau kenangan silam

220
SHARE

Oleh: HABSAH ALI

INDERA MAHKOTA :: Islam sangat menggalakkan umatnya ziarah-menziarahi kerana dapat menguatkan dan mengeratkan hubungan silaturahim  kekeluargaan serta persahabatan di kalangan umatnya.

Selain itu, budaya ziarah-menziarahi ini juga menjadi platform untuk memupuk sifat terpuji dan akhlak murni dengan menghormati orang tua, tolong-menolong, menjaga adab dan sopan santun ketika bergaul.

10 orang Ahli Jawatankuasa Muslimat PAS Cawangan Beserah Tengah yang diketuai Asmah Awang telah mengunjungi rumah Ketua Kelab As-Sabiqat Dewan Muslimat Kawasan Indera Mahkota, Hasnah Arshad (75) di Kampung Balok Kuantan baru-baru ini.

“Program ziarah adalah program rutin kami secara berkala untuk menghampiri masyarakat, namun ziarah kami kali ini adalah mengunjungi sesama jemaah yang ditimpa musibah.

“Suaminya Abdul Aziz Mohamad (87) sedang dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan kerana kekurangan gula dalam darah, manakala anak perempuannya  menghadapi komplikasi buah pinggang yang terpaksa menjalani hemodialisis tiga kali seminggu di Hospital Putrajaya,” ujar Asmah lagi.

Sebelum itu, Ketua Dewan Muslimat PAS Kawasan Indera Mahkota, Salwani Saleh telah melancarkan kutipan derma di cawangan Indera Mahkota bagi menampung kos hemodialisis tersebut sebanyak RM750 seminggu.

“Kita cuba membantu dengan menghubungi pihak zakat di Jabatan Agama Islam Selangor dan PERKESO, mengikut kelayakan yang pesakit layak untuk memohon.

“Semua dokumen yang diperlukan telah uruskan oleh ahli keluarganya di sana sebagaimana yang dikehendaki oleh pihak zakat dan kita mengharapkan bantuan segera akan diperolehinya,” kata Salwani Saleh.

Hasnah Arshad, seorang pesara guru, menerima ujian yang dihadapinya dengan hati yang redha dan bersyukur dapat merasai kasih sayang Allah dengan kunjungan ahli jemaah semenjak suaminya berada di hospital.

Semasa kunjungan tersebut Hasnah mengalirkan air mata kerana keupayaan tenaganya untuk bergerak cergas seperti dahulu untuk membantu jemaah telah terbatas ketika ini, namun bersyukur masih berpeluang untuk bergerak secara maya dengan program Skuad Munajat yang diketuainya sekarang di peringkat Dewan Muslimat Negeri Pahang (DMPNP) juga Dewan Muslimat PAS Kawasan Indera Mahkota (DMPIM).

Mengimbau masa lampau, beliau pernah memegang jawatan Bendahari DMPNP selain Ketua Lajnah Penerangan juga Lajnah Pendidikan, manakala di DMPIM pula jawatan Timbalan Ketua Muslimat, Ketua Penerangan, Pengarah Jentera Piliharaya Muslimat (HalWa), Ketua Lajnah Ekonomi, dan Bendahari.

Menurutnya, semua pengalaman semasa memegang jawatan-jawatan tersebut dikongsikan kepada jemaah sebagai panduan untuk penambahbaikan dan memperkasakan parti.

Suaminya Abdul Aziz Mohamad seorang pesara guru juga bergiat aktif dalam PAS ketika usia mudanya namun setelah menggamit usia  87 tahun, beliau masih mampu mengedar harakah  kepada pelanggan yang setia, kerana bertindak sebagai agen penerangan selagi tenaga masih ada.

“Perjuangan kami ini tiada noktahnya selagi tenaga kami diperlukan demi memperkasakan Parti PAS yang telah sebati dalam jiwa kami,” begitulah harapan Hasnah Arshad dipenghujung bicaranya.

Program ziarah diakhiri dengan penyampaian buah tangan dalam bentuk makanan basah dan sedikit kutipan wang dari JMC Beserah Tengah.