Alhamdulillah Ramadhan tahun ini telah pun berjaya kita lalui walaupun dengan “Norma Baru”, keadaan yang berbeza daripada biasa.
Ada yang melaluinya dengan masalah kewangan, ada juga yang melaluinya dengan kelelahan bertugas di barisan hadapan, ada pula yang melaluinya dengan kerinduan kepada ahli keluarga yang jauh di mata.
Semoga semua ujian yang kita hadapi ini dapat meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dan lebih bersyukur atas kurniaanNya.
Buktikanlah juga bahawa kita adalah hamba Allah dan bukan hamba Ramadhan dengan melazimi amalan-amalan yang sudah mula kita biasakan seperti solat berjemaah dan bertadarus Al-Quran.
Hari raya ini juga mesti diraikan sebagai tanda kemenangan sebagaimana firmanNya dalam Surah Al-Baqarah ayat 185:
وَلِتُكۡمِلُوا۟ ٱلۡعِدَّةَ وَلِتُكَبِّرُوا۟ ٱللَّهَ عَلَىٰ مَا هَدَىٰكُمۡ وَلَعَلَّكُمۡ تَشۡكُرُونَ
Maksudnya: Dan juga supaya kanu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadhan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya, dan supaya kamu bersyukur.
Namun begitu, sambutlah ia selaras dengan SOP yang telah ditetapkan oleh kerajaan agar diri kita dan keluarga terpelihara dari wabak yang sedang menular.
Akhirnya, Badan Perhubungan PAS Wilayah Persekutuan (BPPWP) serta seluruh saff kepimpinan dengan tulus ikhlas mengucapkan Salam Aidilfitri dan Maaf Zahir Batin kepada seluruh rakyat Malaysia khususnya di Wilayah Persekutuan.
تقبل الله منا ومنكم
Semoga Allah menerima amalan kita semua.
Islam Memimpin Perpaduan
USTAZ AZHAR YAHYA
Pesuruhjaya
Badan Perhubungan PAS Wilayah Persekutuan
24 Mei 2020 l 1 Syawal 1441H