Home Berita PAS Sabah

Aidiladha peluang bantu golongan terjejas

134
SHARE

Oleh : Nursam Mohammad
24 Julai 2021

PUTATAN : Sebanyak 9 ekor lembu bersamaan hampir 600 bungkus sumbangan korban diusahakan PAS Kawasan Putatan diagihkan kepada asnaf terutama golongan terjejas sumber pendapatan harian sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Agihan daging korban diketuai oleh Timbalan Yang Dipertua PAS Putatan, Zulzaim Hilmee Abidin diadakan sepanjang tiga hari dalam Parlimen Putatan seperti di Kampung Meruntum, Kampung Sembulan, Pulau Gaya, Kampung Petagas, Kampung Serigai dan Kampung Ketiau.

Menurutnya, program korban dan agihan daging ini adalah salah satu aktiviti tahunan anjuran PAS Putatan bersama anggota masyarakat setempat bagi meringankan sedikit beban kos sara hidup yang kian meningkat hari ini.

“PAS Putatan sentiasa komited dalam menjalankan gerak kerja yang bersifat kebajikan khususnya program seperti ini dan berharap agar ia dapat dilaksanakan pada masa akan datang”, Ujarnya.

Tambahnya lagi, PAS Putatan juga mengucapkan ribuan terima kasih kepada penyumbang yang memberikan kepercayaan secara menyeluruh untuk menguruskan ibadah korban ini bagi pihak mereka.

Salah seorang wakil penerima di Kampung Ketiau, Zalli Shaie mengucapkan jutaan terima kasih dan akan turut memberi kerjasama untuk mengagihkan daging korban tersebut kepada komuniti setempat.

Terdahulu, Zulzaim bersama para petugas bergotong-royong melaksanakan proses sembelihan daging korban dengan mengikut syarat dan prosedur yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa.