KUALA TERENGGANU – Menteri Besar Terengganu kini bergelar Brigedier Jeneral Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.
Beliau menerima pangkat tersebut atas pelantikannya sebagai Penaung Jawatankuasa Pendukung Askar Wataniah (JAKPAW) Negeri Terengganu.
“Terima kasih kepada pucuk kepimpinan tertinggi Tentera Darat Malaysia (TDM) di atas kepercayaan, pemakaian dan penganugerahan pangkat yang diberikan,” ujarnya.
Majlis Pemakaian Pangkat Pegawai Kanan Tauliah Kehormat Askar Wataniah telah disempurnakan oleh Menteri Pertahanan, Dato Seri Mohamed Khaled Nordin di Wisma Pertahanan, Kem Kementah, Kuala Lumpur, di sini hari ini.
Pelantikan ini telah diperkenankan oleh Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong berdasarkan syor Majlis Angkatan Tentera Ke-580.