Home Berita PAS Pahang

Ahli PAS disaran anjur aktiviti bimbing dan hidupkan kampung-kampung sepi

148
SHARE

Oleh HABSAH ALI

INDERA MAHKOTA, 23 Ogos : Kampung-kampung kecil yang mempunyai penduduk sekitar satu ribu orang dan yang kebanyakannya dihuni oleh warga yang telah berusia hendaklah dibantu pengurusannya dan jangan dibiarkan sepi.

Orang-orang muda yang tinggal hanya sedikit di kampung-kampung tersebut bersama-sama dengan ‘orang-orang lama’ yang masih berkebolehan hendaklah dibimbing dan dipandu untuk mengurus tadbir kampung mereka supaya jadi lebih bermaya dan tidak sepi.

Demikian kata Ahli Dewan Negeri (ADN) Beserah, YB Andansura Rabu, ketika diminta mengulas program Jalinan Jiran Mesra (JJM) yang telah diadakan di perkarangan Masjid Alor Batu, Jabor, dekat sini baru-baru ini.

“Orang muda ramai keluar, yang tinggal hanya sedikit sahaja, jadi yang sedikit inilah yang kita harapkan untuk tampil menerajui, mengambil alih dan mempelajari selok belok mengurus tadbir kampung mereka,” kata Andansura yang turut menghadiri program itu.

Menurut beliau, program seumpama JJM itu amat penting, selain dari merapatkan hubungan ukhuwah dengan masyarakat setempat, juga dapat membantu menyampaikan maklumat-maklumat terkini.

“Dalam masa yang sama penduduk di situ boleh menyuarakan apa jua permasalahan mereka. Saya terbuka untuk menerima aduan dan cuba untuk mencari jalan penyelesaian. Mungkin kita tidak dapat menyelesaikannya dalam masa yang singkat, tetapi sekurang-kurangnya kita faham ada masalah setempat yang perlu diselesaikan,” tambah Andansura lagi.

Sabtu lalu program Jalinan Jiran Mesra yang dianjurkan oleh Dewan Muslimat PAS Parlimen Indera Mahkota bersama Pusat Khidmat DUN Beserah telah berlangsung dengan meriah, dipenuhi dengan pelbagai acara seperti perkhidmatan rawatan kesihatan percuma, sumbangan ayam percuma kepada golongan yang kurang mampu dan juga jualan ayam murah serendah RM10 seekor.

Beraneka aktiviti menarik diadakan seperti teka rempah, dam ular, urutan refleksologi, cabutan bertuah, pakaian tradisional termasuk untuk kanak-kanak seperti pertandingan azan dan mewarna.

Penduduk kampung juga diberi peluang menambah pandapatan dengan membuka gerai-gerai jualan.

Kemuncak program adalah acara potong kek bersama Andansura meraikan penduduk yang lahir pada bulan Julai dan Ogos, juga bagi mereka yang menyambut ulang tahun perkahwinan dalam bulan yang sama.