Akan datang kepada kita bulan Ramadhan yang dinanti-nantikan seperti firmanNya dalam Surah Al-Baqarah ayat 185:
شَهْرُ رَمَضَانَ ٱلَّذِىٓ أُنزِلَ فِيهِ ٱلْقُرْءَانُ هُدًى لِّلنَّاسِ وَبَيِّنَٰتٍ مِّنَ ٱلْهُدَىٰ وَٱلْفُرْقَانِ ۚ فَمَن شَهِدَ مِنكُمُ ٱلشَّهْرَ فَلْيَصُمْهُ ۖ
Maksudnya: (Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu, sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah ia berpuasa bulan itu;
Ramadhan kali ini sudah tentu berbeza dengan yang sebelumnya kerana tahun ini kita sedang diuji dengan penularan wabak Covid-19.
Justeru, Dewan Muslimat PAS Wilayah Persekutuan menyeru kepada semua agar mengambil peluang di bulan yang mulia ini untuk bermuhasabah akan dosa-dosa kita dan terus berusaha memperbaiki diri.
Marilah kita berdoa agar Allah SWT mengurniakan ketenangan dalam menghadapi ujian ini sehingga ia diangkat daripada kita.
Ambillah kesempatan dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini juga untuk saling membantu mereka yang memerlukan di samping masih mengamalkan langkah-langkah pencegahan Covid-19 seperti menjaga kebersihan dan penjarakan sosial.
Akhir kata, Dewan Muslimat PAS Wilayah Persekutuan dan seluruh saff kepimpinan ingin mengucapkan Ramadhan Kareem kepada semua umat Islam khususnya di Malaysia.
Semoga Allah SWT memudahkan urusan kita untuk mengimarahkan Ramadhan tahun. Amin.
“Islam Memimpin, Wanita Sejahtera”
DEWAN MUSLIMAT PAS WILAYAH PERSEKUTUAN