Home Berita PAS Perak

Agresif pertahan parti di media baharu – Naib Presiden PAS

123
SHARE

Oleh : Aisy Sufi Ahmad & Shahril Jamil

IPOH, Medan peperangan kini tertumpu kepada media baharu dan amat memerlukan tindakan agresif setiap ejen penerangan dalam menerang kerja buat dan pendirian PAS.

Walau bagaimanapun hendaklah dipastikan bahan yang disebar itu berfakta dan terbukti keabsahannya dalam mempertahan pimpinan dan parti dari serangan hujah dangkal musuh.

Naib Presiden PAS, Senator Ustaz Idris Ahmad berpesan demikian agar peranan #KitaEjenPenerangan dapat dimainkan sebaiknya dalam ucapannya di hadapan peserta Konvensyen Penerangan dan Media Baharu PAS Perak baru-baru ini.

“Kita mungkin tak pandai banyak, tapi sedaya upaya kita perlu gunakan kemahiran dan kepandaian yang dimiliki bagi menyebarkan maklumat khususnya ke ‘group’ yang disertai.

“Jika tidak mampu menulis atau menghasilkan bahan dari sudut infografik dan sebagainya, sekurang-kurangnya kita menjadi orang yang berperanan menyebar maklumat,” ujar Ustaz Idris.

Konvensyen yang berlangsung secara maya berjaya mencapai matlamat penganjuran dan membentangkan halatuju Lajnah Penerangan dan Media Baharu di peringkat negeri, kawasan dan cawangan.

Sementara itu, beliau yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah Harakah melancarkan kempen langganan eHarakah peringkat Negeri Perak di samping galakan kempen 3B (Baca, Beli, Beri) Harakah sedia ada.

Jelasnya lagi, Harakah kini adalah untuk bacaan oarang ramai dan bukan lagi terhad kepada ahli PAS sahaja serta dengan adanya eHarakah ianya lebih mudah diakses melalui pelbagai jenis peranti.

“Selain harga yang menjimatkan eHarakah dapat diakses secara digital amat bersesuaian mengikut era teknologi dan lebih cepat berbanding edaran Harakah cetak yang dijual di pasaran.

“Maklumat kini boleh dicapai dihujung jari. Semua ahli PAS dan orang ramai diseru untuk melanggan eHarakah bagi mendapatkan maklumat tepat PAS seterusnya disampaikan kepada masyarakat,” kata beliau lagi

Turut hadir membentang dalam Konvensyen, Ketua Penerangan PAS Pusat, Kamaruzaman Mohamad, Ketua Penerangan PAS Perak, Ustaz Hafez Sabri dan ADUN-ADUN PAS Negeri Perak.