Home Berita PAS Wilayah

AGM PAS KAWASAN BANDAR TUN RAZAK 2025 BERLANGSUNG MERIAH, PENUH DEBARAN DAN SEMANGAT JEMAAH

2
SHARE

KUALA LUMPUR, 25 MEI 2025 – Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) PAS Kawasan Bandar Tun Razak yang berlangsung pada 25 Mei lalu menyaksikan suasana penuh semangat, keterujaan dan debaran apabila ahli-ahli PAS dari seluruh kawasan turun padang beramai-ramai dalam satu himpunan tahunan yang sangat dinanti-nantikan.

Mesyuarat yang berjalan dengan lancar ini dirasmikan oleh Naib Presiden PAS, Dato’ Mohd Amar Abdullah, yang turut menyampaikan amanat penuh semangat kepada seluruh perwakilan yang hadir.

Beliau menekankan kepentingan kesatuan, istiqamah dalam perjuangan dan meningkatkan prestasi jemaah di peringkat kawasan bagi menghadapi cabaran semasa.

Lebih bermakna, sempena AGM ini juga, Dato’ Mohd Amar turut merasmikan Pusat Khidmat PAS Kawasan Bandar Tun Razak, yang bakal menjadi pusat sehenti bagi penduduk setempat memohon bantuan, mendapatkan maklumat serta menyuarakan keperluan mereka.

Penubuhan pusat khidmat ini menzahirkan komitmen PAS untuk terus dekat dengan rakyat dan menjadi jambatan kepada keperluan serta kebajikan masyarakat Bandar Tun Razak.

Apa yang menjadikan AGM kali ini begitu menarik dan luar biasa adalah penyertaan aktif para ahli dalam sesi soal jawab.

Pelbagai persoalan dibangkitkan, menunjukkan betapa ahli-ahli PAS kawasan Bandar Tun Razak cakna, kritis dan peduli terhadap hala tuju serta masa depan jemaah.

Suasana dewan berkali-kali bergema dengan tepukan dan sorakan apabila soalan-soalan tajam dan berani dikemukakan, menandakan wujudnya check and balance yang matang dalam kalangan ahli.

Beberapa jawatan turut dipertandingkan dalam suasana demokrasi yang harmoni.

Walaupun ada detik-detik mendebarkan, keseluruhan proses pemilihan berjalan dengan sangat lancar – tanpa sebarang insiden yang tidak diingini.

Ini membuktikan kematangan politik dan disiplin tinggi ahli-ahli PAS di kawasan ini.

AGM kali ini turut menyaksikan beberapa usul penting diangkat dan dibahaskan secara terbuka dan penuh konstruktif.

Usul-usul tersebut bertujuan untuk memperkukuh pentadbiran parti di peringkat kawasan serta memperhebat gerak kerja dakwah dan kebajikan kepada masyarakat setempat.

Setinggi-tinggi ucapan tahniah dan takziah turut diucapkan kepada semua Ahli Jawatankuasa PAS Kawasan yang telah terpilih untuk penggal baharu ini.

Sesungguhnya, jawatan bukanlah satu keistimewaan untuk dibanggakan, tetapi amanah besar yang wajib digalas dengan penuh tanggungjawab, keikhlasan dan kejujuran.

Seluruh ahli dan penyokong PAS diingatkan untuk terus memberikan sokongan dan dokongan kepada saf kepimpinan yang baharu agar jemaah ini terus kuat, tersusun dan bergerak lebih maju ke hadapan demi mendaulatkan Islam di bumi Bandar Tun Razak ini.

Dengan kehadiran yang memberangsangkan, perbahasan yang hidup, perasmian pusat khidmat yang bermakna dan pemilihan yang telus – AGM kali ini sememangnya mencerminkan kekuatan sebuah jemaah yang bersatu, matang dan bersedia membawa perubahan.