Home Berita PAS Terengganu

Sultan Terengganu Iktiraf Pemenang SMUPA 2024

15
SHARE

KUALA TERENGGANU – Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan mencemar duli menyampaikan hadiah Sultan Mizan Underwater Photography Awards (SMUPA) 2024 kepada para pemenang terpilih.

Dalam majlis yang berlangsung di Taman Tamadun Islam (TTI) itu, sebanyak lima kategori dipertandingkan iaitu Wide Angle dan Macro bagi jelas Grand Awards yang melibatkan jurugambar profesional.

Manakala, Ocean Spirit Awards pula dikhaskan kepada jurugambar pemula menerusi kategori Wide Angle, Macro dan Short Video.

SMUPA 2024 berjaya menarik sebanyak 125 penyertaan jurugambar bawah air dengan penawaran hadiah keseluruhan berjumlah RM39,000.

Rakaman dan foto telah dilakukan di 128 tapak selaman dan tujuh buah pulau utama di perairan Terengganu, sekali gus membuka ruang peserta menyerlahkan kreativiti mengabadikan khazanah laut negeri itu.

Terdahulu, keberangkatan tiba Baginda pada jam 2.40 petang ke majlis tersebut, diiringi DYTM Yang di-Pertuan Muda Terengganu dan YAM Tengku Sri Setia Mahkota Raja.

Keberangkatan tiba Baginda disambut Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, Setiausaha Kerajaan Terengganu, Dato’ Nara Setia, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Terengganu, Datuk Razali Idris.

Sultan Mizan kemudian berkenan meneliti sendiri foto dan video para pemenang sebelum menyempurnakan majlis penyampaian hadiah kepada pemenang.

Baginda diiringi Yang di-Pertuan Muda Terengganu dan Tengku Sri Setia Mahkota Raja berangkat pulang pada jam 4.30 petang.