Oleh : Susilah Charles
20 Mei 2019
SANDAKAN : Agihan bantuan kebajikan siri ketiga dalam bulan Ramadan pada kali ini yang juga merupakan program tahunan PAS Libaran telah berjaya dilaksanakan di Kampung Kuala Gum-Gum dan Taman Cahaya, Batu 12 semalam.
Bantuan yang mensasarkan golongan asnaf dan orang kurang upaya (OKU) telah disampaikan sendiri oleh Yang Dipertua PAS Kawasan Libaran, Abdul Waheed Mohd.
“Walaupun PAS bukanlah parti pemerintah di Sabah ini, tapi kami akan berusaha untuk membantu mengurangkan bebanan yang ditanggung oleh rakyat lebih-lebih lagi perkara yang melibatkan isu kebajikan.” Jelas Abdul Waheed.
Tambahnya lagi, penduduk Kampung Kuala Gum-Gum perlu diberikan perhatian yang sewajarnya dalam isu kemudahan fasiliti terutamanya berkaitan bekalan air dan jalan raya yang jauh ketinggalan berbanding kampung-kampung yang berdekatan.
Dalam program agihan tersebut juga, imam masjid Kampung Kuala Gum-Gum, Azrin Galundang turut mengucapkan terima kasih atas kesudian PAS Libaran menyampaikan sumbangan di kampung itu.
“Walaupun kampung kami ini terletak agak jauh daripada kawasan bandar, tapi PAS Libaran tetap sudi menghantar sumbangan pada hari ini. Terima kasih semuanya.” Tambah Azrin
Setelah menyampaikan lebih kurang 35 set sumbangan kebajikan di Kampung Kuala Gum-Gum, PAS Libaran meneruskan agihan di Taman Cahaya pula yang merupakan kawasan kediaman bagi mereka yang cacat penglihatan dan menyampaikan 5 set lagi.
Turut hadir dalam agihan sumbangan pada kali ini adalah Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan Libaran, Zulkifli Mohamad serta beberapa pimpinan PAS Libaran, pemuda PAS Libaran dan juga muslimat PAS Libaran.