Home Artikel PAS Perlis

Tadarus Tingkat Kefahaman Al-Quran Muslimat Padang Besar

40 views
SHARE

Oleh: Haszuwa Ramli

PADANG BESAR : Bertadarus bukan sekadar menjadi budaya yang diamalkan dalam bulan Ramadhan semata-mata, sebaliknya aktiviti berkenaan mampu meningkatkan kefahaman serta keyakinan umat Islam terhadap Al-Quran sebagai panduan kehidupan.

Menyedari akan hal yang demikian, Dewan Muslimat PAS Kawasan Padang Besar turut mengadakan program Tadarus Al-Quran dan Khatam Al-Quran Peringkat Kawasan Padang Besar, pada 18 Mei yang lalu.

Bertempat di Kompleks PAS Kawasan Padang Besar (KOMTAR) dekat sini, lebih 50 orang muslimat terdiri daripada ahli muslimat PAS kawasan serta penduduk sekitar telah menyertai majlis berkenaan.

Turut hadir, Naib Ketua Muslimat PAS Negeri Perlis Ustazah Rosmawar Amin serta Ketua Muslimat PAS Kawasan Padang Besar, Amnah Abdul Rahman.

Majlis bermula dengan acara bertadarus secara berpasangan, disusuli dengan slot tazkirah serta majlis khatam Al-Quran.

Tazkirah disampaikan oleh Naib Ketua Muslimat PAS Negeri Perlis Ustazah Rosmawar Amin.

Dalam tazkirahnya, beliau mengajak para peserta tadarus agar sentiasa melazimi membaca Al-Quran serta berusaha memahaminya ke arah meningkatkan ketaqwaan kepada Allah S.W.T.

Pada masa yang sama, beliau turut menggesa para peserta agar menjadikan Al-Quran sebagai panduan dalam melaksanakan kerja-kerja jemaah, termasuk berdakwah kepada masyarakat, sepertimana yang diamalkan oleh Rasulullah S.A.W.