Home Berita PAS Kedah

ADUN Pembangkang Kedah dinafikan hak sebagai wakil rakyat

5307
SHARE

Dalam Mesyuarat keempat Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Kedah ke-14, hari kedua hari ini, 16 April 2019, ADUN Merbau Pulas, YB Dato’ Siti Ashah Hj Ghazali berpeluang mengajukan soalan tambahan kepada YB Halimaton Shaadiah Saad, Exco Pembangunan Wanita, Kebajikan Masyarakat dan Pembasmian Kemiskinan berkisar beberapa isu berbangkit mengenai prosidur pengurusan Tabung Khas Wanita.

Tabung Khas Wanita Negeri Kedah merupakan satu bentuk bantuan kewangan yang diwujudkan bagi membantu golongan wanita yang kurang berkemampuan bagi tujuan memulakan kehidupan atau perniagaan atau apa-apa sahaja keperluan lain.

Sumbangan secara ‘on-off’ bernilai maksima RM1,000 ini diberi melalui pejabat ADUN dan Pejabat Penyelaras ADUN bagi kawasan pembangkang.

Antara kategori penerima adalah wanita yang ditinggalkan suami, ibu tunggal, wanita yang menjaga ibu/bapa/pesakit terlantar, wanita yang tidak berkahwin tetapi mempunyai anak tanggungan dan lain-lain lagi.

Semasa sesi pembentangan oleh Exco Pembangunan Wanita, Kebajikan Masyarakat dan Pembasmian Kemiskinan, ADUN Merbau Pulas mencelah bagi memohon penjelasan, “Puan Exco, adakah benar terdapat di sesetengah tempat, pemohon yang mahu mengisi borang Tabung Khas Wanita, perlu mengisi borang parti-parti tertentu dahulu?”.

Ditambah lagi persoalan mengenai kesungguhan kerajaan PH untuk bersikap adil terhadap wakil rakyat yang dipilih rakyat dalam menguruskan rakyat di kawasan masing-masing.

ADUN Merbau Pulas mewakili semua barisan wakil rakyat pembangkang memohon penjelasan mengenai isu pengesahan borang Tabung Khas Wanita tersebut.

YB menyatakan, “Sila jelaskan mengapa tandatangan wakil rakyat Pembangkang tidak laku untuk borang Tabung Khas Wanita ini?

Kedua-dua persoalan yang dibangkitkan ini walaubagaimana pun tidak diberi jawapan dengan terang dan jelas oleh Exco Pembangunan Wanita, Kebajikan Masyarakat dan Pembasmian Kemiskinan.

Wakil rakyat dan sidang dewan keseluruhannya masing-masing menantikan sebarang maklum balas terhadap isu ini.