Home Berita PAS Perlis

ADUN PAS tinjau Program Jualan Keluarga Malaysia

107
SHARE

Oleh NUR ‘IFFAH

ARAU, 20 Dis: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sanglang, Mohd. Shukri Ramli dan ADUN Guar Sanji, Ustaz Mohd. Ridzuan Hashim mengadakan lawatan ke tapak Program Jualan Keluarga Malaysia (PKJM) di Pauh, di sini semalam.

Lawatan bertujuan meninjau pelaksanaan program berkenaan di samping mendapatkan gambaran berkenaan sambutan masyarakat terhadap program tersebut.

Turut hadir, ADUN Tambun Tulang, Dato’ Ismail Kassim dan Pengarah Pejabat Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Perlis, Norazah Jaapar.

Sejak awal pagi, kelihatan orang ramai berpusu-pusu memasuki tapak program berkenaan yang diadakan di Tapak Pasar Malam Pauh.

Mohd. Shukri ketika ditemui berkata, kehadiran orang ramai yang tidak putus-putus meskipun dalam suasana hujan renyai-renyai membuktikan program berkenaan mendapat sambutan yang cukup baik.

“Walaupun berlangsung dalam keadaan hujan renyai-renyai, ia tidak menghalang orang ramai untuk hadir membeli barangan yang mereka perlukan pada hari ini (semalam).

“Apa yang kita harapkan ialah rakyat dapat menikmati jualan barangan harian dengan harga yang lebih murah,” katanya.

Program Program Jualan Keluarga Malaysia (PKJM) dirasmikan oleh YAB Perdana menteri Malaysia, Dato’ Sri Ismail Sabri pada 2 Disember 2021 yang lalu, bertujuan membantu rakyat yang terbeban akibat isu kenaikan harga barang yang berlaku sejak akhir-akhir ini.

PKJM yang diadakan dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) serta Kementerian Kewangan itu menawarkan harga barangan lebih rendah untuk rakyat, berbanding harga pasaran semasa.