Home Berita PAS Sabah

Adun PAS Sabah terima anugerah buku sempena ABN 2022

99
SHARE

Oleh: Fadilah Nordin
27 Ogos 2022

KOTA KINABALU: ADUN lantikan Sabah, Dr Aliakbar Gulasan menerima Anugerah Buku Negara (ABN) Kategori Sains Sosial daripada Yayasan Pembangunan Buku Negara pada Rabu.

Buku terbitan Penerbit Universiti Malaysia Sabah (UMS) berjudul Perpindahan Ibu Kota Indonesia ke Kalimantan; Implikasinya ke atas Negeri Sabah, Malaysia itu merupakan hasil karya dan suntingan oleh Dr Aliakbar Gulasan, Dr. Ramli Dollah, Amrullah Maraining dan Profesor Madya Dr. Marsitah Mohd Radzi.

Anugerah dan sijil disampaikan oleh Timbalan Setiausaha (Dasar) Kementerian Pengajian Tinggi, Datuk Dr Megat Sany Megat Ahmad Supian dalam majlis yang berlangsung di Dewan Besar UPM, Serdang.

Menurut Dr Aliakbar, biasanya penulis buku dan ahli akademik tidak meletakkan sasaran untuk mendapat apa-apa anugerah daripada sebarang usaha penyelidikan dan penulisan.

“Sebahagian besar kalangan mereka melaksanakan tugasan hakiki ini untuk keperluan masa depan negara.

“Apapun kami sentiasa menghargai sebarang pengiktirafan yang diberikan kerana ia sebagai motivasi untuk maju ke depan.

“Walaupun saya tidak lagi sebahagian daripada ahli akademik lagi, tetapi ilmu dan pengalaman sebagai pensyarah tetap boleh digunakan dalam dunia politik,” ujar beliau dalam kenyataan di media sosial.

Menurut beliau lagi, sebagai ahli politik, Dr Aliakbar mencadangkan kepada semua pembuat dasar, jangan sesekali mengetepikan pandangan ahli akademik.

“Mereka turun ke lapangan, bertemu masyarakat dan membuat analisis untuk mendapatkan keputusan bagi menilai keperluan mendatang.

“Sebolehnya, sebelum sesuatu dasar dilaksanakan, buat kajian dan rancanglah sebaiknya. Pandangan ahli akademik antara yang mesti diutamakan,” ujar beliau lagi.

Dalam buku tersebut, para penulis mengulas mengenai perpindahan ibu kota Indonesia dari Jakarta ke Kalimantan bakal merubah geopolitik, geostrategik dan geoekonomi wilayah Borneo khususnya.

Buku yang dilancarkan oleh Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor Disember lepas itu dihasilkan bertujuan untuk memahami dan melihat proses perpindahan tersebut dari pelbagai perspektif serta implikasi kepada negeri Sabah dan Borneo keseluruhannya.

Majlis ABN 2022 berlangsung pada 22-25 Ogos
2022 bersempena Persidangan Buku Antarabangsa, Ekspo Buku Malaysia dan Forum Kelab Penulis.

ABN 2022 dianjurkan Yayasan Pembangunan Buku Negara, menyaksikan sebanyak 55 kategori anugerah dipertandingkan melibatkan penyertaan lebih 30 penerbit yang terdiri daripada penerbit universiti, agensi kerajaan, swasta dan persendirian melibatkan lebih 500 judul buku.