Home Artikel PAS Sabah

ADUN PAS Sabah adakan lawatan sehari di Keningau

383
SHARE

Armain Juhari
31 Oktober 2020

KENINGAU: Ahli Dewan Undangan Negeri Sabah, YB Dr. Aliakbar Gulasan telah mengadakan lawatan sehari di Keningau pada hari Khamis yang lalu. Lawatan tersebut merupakan siri jelajah ADUN tersebut ke seluruh Sabah.

Lawatan beliau ke Keningau tertumpu di beberapa kawasan antaranya Kampung Gasabon dan Kampung Pangas Laut, Apin-Apin. Pasukan Sukarelawan Bomba Zon Apin-Apin antara yang menerima sumbangan berupa generator untuk mengepam air, topi dan jaket keselamatan serta beberapa barangan lain yang bernilai RM4,000 Sumbangan telah diterima oleh Encik Geoffrey selaku Pengerusi Persatuan Bomba Sukarela Zon Apin-Apin.

Dr. Aliakbar turut menyampaikan sumbangan barangan keperluan kepada penduduk Kampung Gasabon dan menziarahi dua orang penduduk yang sakit. Seorang pesakit strok menerima bantuan susu untuk kegunaan selama 3 bulan manakala wang tunai sejumlah RM550 disumbangkan kepada pesakit buah pinggang bagi membiayai kos rawatan beliau bagi tempoh tiga bulan.

Dr. Aliakbar dalam ucapannya menekankan tentang salah faham masyarakat terhadap PAS. Beliau yang dilahirkan Kampung Kota Ayangan dan dibesarkan di Tenom cukup memahami situasi kepelbagaian kaum dan agama di Sabah.

“Dalam keadaan kami menjadi sebahagian kerajaan sekarang, saya sebut dengan rakan-rakan dalam kerajaan, apabila kita sudah jadi kerajaan jangan tanya lagi rakyat undi siapa. Apabila jadi kerajaan kita wajib bagi jika tiada air. Jika tiada jalan raya kita wajib bagi (membantu rakyat tanpa mengira kaum, agama dan fahaman politik),” ujarnya.

Beliau turut menyeru agar masyarakat di Sabah hidup secara bersatu padu dan berbaik sangka di antara satu sama lain agar lebih harmoni.

Pada program berasingan, seramai 29 orang penduduk di Kampung Pangas Laut turut menerima sumbangan barangan keperluan harian. Sumbangan tersebut diterima oleh Puan Alycia Tony selaku wakil penduduk dan merupakan Ketua Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) Cawangan Kg. Ranggom. Majoriti penerima sumbangan di kedua-dua buah kampung tersebut beragama Kristian. Sumbangan ini jelas membuktikan keterbukaan PAS dalam menyantuni semua masyarakat tanpa mengira agama dan bangsa. Persepsi dan tuduhan liar yang mengatakan PAS parti rasis dan tidak relevan di Sabah harus ditolak oleh masyarakat.

Sementara itu, Pegawai Khas (Hubungan Antara Kaum) kepada Dr. Aliakbar, Herman Obi dalam ucapannya menyatakan bahawa beliau tertarik dengan PAS kerana slogan “PAS Untuk Semua” semasa PRU-13.

“Pada masa itu saya tertarik dengan slogan PAS untuk semua. Bila saya bersama PAS memang terbuktilah yang PAS menyampaikan sumbangan tanpa kira agama, atau bangsa,” katanya.

PAS Keningau akan mengambil tanggungjawab untuk terus membantu meringankan beban penerima sumbangan yang terlibat. Turut mengiringi Dr. Aliakbar Gulasan ialah Yang Dipertua PAS Kawasan Keningau Abdul Hisham Othman dan Timbalan Yang Dipertua PAS Keningau Sahmain Hassim serta pimpinan pemuda dan muslimat.

Lawatan tersebut diakhiri dengan kunjungan Dr. Aliakbar ke Sekolah Rendah Islam Tahfiz Al Ilmi, Keningau iaitu sebuah sekolah yang menerapkan pendidikan akademik, pendidikan agama dan tahfiz yang mempunyai 13 orang guru dan 122 orang pelajar.