Home Berita PAS Pahang

Adun Jengka bangkitkan isu harga sawit, getah rendah

663
SHARE
Shahril, dua kanan, bersama Adun PAS yang lain

 

Adun Jengka Ustaz Shahril Azman Abdul Halim menggesa Kerajaan Negeri Pahang berusaha setidak-tidaknya di peringkat kerajaan negeri menyumbang bagaimana untuk memulihkan harga sawit dan getah ke tahap yang selesa kepada peneroka Felda.

 

Berucap dalam perbahasan menyokong Titah Diraja di sidang Dewan Undangan Negeri semalam, beliau berkata kedudukan harga semasa sawit dan getah yang rendah pada masa ini, sangat terkesan kepada kehidupan harian mereka dengan kos hidup yang telah sedia tinggi.

 

Shahril sebelum itu menarik perhatian dewan kawasan beliau dikelilingi oleh Felda di mana Pahang sendiri memiliki tanah rancangan yang paling luas di negara ini iaitu seluas 319,145 hektar dengan 115 rancangan dan 43,124 keluarga peneroka.

 

“Dalam PRU14 yang lalu kira-kira 200,000 pengundi terbesar datang dari komuniti Felda termasuk generasi kedua dan ketiga. Justeru saya melihat, ini adalah suatu masyarakat yang sangat penting kepada Pahang dari sudut ekonomi dan pembudayaan mereka,” ucapnya.

 

Shahril turut mendesak kerajaan negeri menyelesaikan masalah perumahan bagi generasi kedua Felda di mana sebahagian besarnya masih terbengkalai.

 

“Generasi kedua Felda khususnya di kawasan saya yang bekerja sendiri, membina rumah di atas tanah ayahanda mereka namun setelah bertahun-tahun mereka berusaha untuk mendapatkan bekalan elektrik ke rumah dan kedai atau tahfiz mereka, melalui jalan buntu.

 

“Beberapa isu lain di kawasan saya antaranya masalah gejala sosial, perjudian dan jenayah seperti mencuri masih tidak terkawal. Baru-baru ini saya bersama orang ramai telah berjaya menutup sebuah pusat perjudian haram di Jengka.

 

“Selain daripada itu, usaha-usaha memperbaiki pendidikan kepada golongan tua dan muda masyarakat Felda sangat perlu dilipatgandakan bagi mengatasi gejala tidak sihat yang telah disebutkan,” ucapnya lagi.

 

Dengan demikian, katanya, kerajaan negeri perlu membuat perancangan dalam usaha-usaha untuk menjadikan Pahang sebuah negeri yang benar-benar aman makmur daripada gejala kerosakan yang menyebabkan masyarakat tidak harmoni di Felda2 khasnya dan di seluruh Pahang amnya.

 

Dalam ucapan yang sama, turut menarik perhatian dewan apabila Shahril memberitahu satu seminar falak di Maran yang dihadiri seorang pakar dari Johor iaitu Haji Hanafiah Abd Razak. Beliau mengatakan telah pergi ke 38 pelantar minyak untuk kerja-kerja ukur arah dan kedalaman.

 

“Apa yang beliau dapati, sepatutnya Pahang paling banyak mendapat royalti petroleum kerana plantar minyak tersebut banyak berada di perairan Pahang. Jadi jika ini dapat diurus dan ditangani insyaallah hutang Pahang yg hampir RM3 bilion akan dapat diselesaikan sedikit demi sedikit.”

 

Beliau turut mencadangkan Adun-Adun diberi peluang menganggotai mesyuarat majlis daerah agar dapat bekerjasama dalam meningkatkan ekonomi negeri, menyelesaikan masalah setempat dan mendidik masyarakat ke arah yg lebih baik.