Home Rencana PAS Selangor

Ada apa pada anak muda? – TPJ 1 PAS Selangor

8
SHARE

May be an image of one or more people, people standing and text that says "00 BELIA 18- 20 TAHUN BERHAK UNTUK MENGUNDI UNDILAPANBELAS x www.undilapanbelas.my BH ONLINE"

Laman Timbalan Pesuruhjaya 1 PAS Selangor Us Shafie Ngah | Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor

Oleh : Shafie Ngah

Timbalan Pesuruhjaya 1 PAS Selangor

Ada dua perkembangan terkini yang berkait rapat dengan anak muda di tanah air kita. Pertama, anak muda sudah menggunakan hak mereka sebagai pengundi dalam pilihanraya. Kedua, jumlah anak muda akan mencecah 50% pengundi Malaysia.

Dalam PRU-14, anak muda dilihat ada di semua tempat mengundi. Sekalipun suasana tempat mengundi agak kurang selesa seperti penuh sesak dan berbaris panjang sehingga di tengah panas mentari, namun anak-anak muda pelbagai bangsa sanggup menunggu hingga dapat masuk di bilik mengundi. Keputusannya rekod Barisan Nasional memerintah negara selama 60 tahun dapat dipecahkan. Benarlah dakwaan yang mengatakan bahawa undi anak muda adalah undi penentu.

Kedua, menjelang PRU-15, Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) melaporkan pengundi muda yang akan layak mengundi adalah berjumlah 18.8 juta. Jumlah tersebut adalah 48% daripada jumlah keseluruhan pengundi Malaysia. Ini sekiranya tarikh pilihanraya diadakan pada tahun 2023 dan dasar undi 18 tahun dan pendaftaran otomatik dimuktamadkan. Fakta ini mengesahkan bahawa undi anak muda benar-benar undi penentu.

Kedua-dua fakta di atas tidak cukup sempurna untuk menyatakan undi anak muda sebagai penting dan penentu. Satu lagi fakta yang mesti diterima ialah anak muda hari ini menguasai media komunikasi alam maya.

Apabila mereka menguasai dunia komunikasi alam maya bermakna hampir ‘segala-galanya’ berada di tangan anak muda.

Semangat berada pada anak muda. Keberanian berada pada anak muda. Kekuatan berada pada anak muda. Kelincahan berada pada anak muda. Kekentalan berada pada anak muda. Cita-cita berada pada anak muda. Dan kini, media komunikasi alam maya.

Cuma persoalannya; apa cita-cita anak muda kita, siapakah ikutan anak muda kita, dan bagaimana cara berfikir anak muda kita?

Inilah yang sentiasa difikirkan oleh PAS dalam menekuni dunia anak muda. Justeru, PAS dan anak muda bukan asing sebenarnya. Bukan sekadar untuk meraih undi anak muda, malah lebih dari itu PAS bercita-cita supaya generasi masa depan negara punya jatidiri agama dan kasihkan bangsanya, biar di medan mana mereka beraksi dan berkarya.

PAS ada institusi PASTI yang mendidik kanak-kanak sejak dari kecil lagi supaya jatidiri Islam tertanam dalam benak sanubari mereka. Tidak sedikit pencapaian anak-anak yang dididik di PASTI, sama ada di peringkat local mahupun antarabangsa. Malahan sudah sampai ke litar lumba motorsikal dunia.

PAS ada institusi Amal yang mendedahkan anak-anak muda kepada aktiviti-aktiviti khidmat sosial. Khidmat anak-anak muda Amal memang terkenal di seluruh pelusuk negara. Malah tidak keterlaluan jika disebut bahawa ‘tentera semut merah’ ini sentiasa ada apabila kesusahan melanda.

Banyak lagi institusi anak muda yang PAS ada; kelab permotoran, kelab kesenian, kelab rekreasi, kelab memancing dan sebagainya. Semua itu, sama ada secara langsung atau tidak secara langsung, berkait rapat dengan anak muda.

Namun, cabaran masa kini tidak cukup dengan apa yang PAS ada. PAS perlu memerah otak lagi, lagi dan lagi, supaya boleh berada bersama anak muda dan mampu sama-sama bergelumang dengan mereka. Tidak mudah untuk PAS masuk ke dalam jiwa anak muda Malaysia sekalipun.

Cabaran.

13 Oktober 2021 | 6 Rabiul Awal 1443H

Lajnah Penerangan & Media Baru

Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor