KOTA BHARU – Pas menganggap, DAP boleh menjadi penghibur dan memeriahkan lagi suasana PRU14 jika mereka bertanding di Dun Kota Lama melawan Pas nanti.
Adun Kota Lama, Datuk Anuar Tan Abdullah berkata, tidak menjadi masalah bagi Pas sekiranya DAP meletakkan calonnya, kerana bagi beliau lebih banyak parti yang bertanding ia menjadi semakin meriah.
“Lebih ramai bertanding lebih meriah, kedai kopi pun banyak laku, rakyat boleh dengar ceramah dengan macam-macam isu, rakyat pun suka.
“Siapa-siapa yang bertanding nanti jadi satu hiburan sahaja. Saya yakin masyarakat Cina akan bersama Pas,” katanya.
Beliau ditemui menghadiri Majlis Sambutan 27 Tahun Membangun Bersama Islam di Kompleks Kota Darul Naim yang dirasmikan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob.
Beliau mengulas keyakinan Pas untuk mempertahankan Dun Kota Lama ekoran kemungkinan berlakunya pertandingan empat penjuru apabila DAP berhasrat meletakkan calon.
Dalam pada itu, Anuar juga membayangkan DAP akan hilang deposit jika mereka bertanding memandangkan sokongan terhadap parti itu di negeri ini tidak sama di luar Kelantan.
“DAP akan hilang deposit kalau bertanding di Kelantan, Cina tak undi mereka, Melayu lagilah tak undi,” katanya.
Anuar yang menang sejak tahun 1999 di Dun tersebut juga yakin beliau dapat mempertahankan kemenangannya pada PRU14 nanti biarpun berdepan dengan banyak lawan.
“Cina di Kelantan ini unik, sebab mereka tidak terpengaruh dengan DAP. Kalau Cina luar mereka akan sokong Pakatan Harapan.
“Di Kelantan 80 peratus masih bersama Pas. Tengok pada program perasmian Pintu Gerbang Cheng Ho di Kota Bharu seramai 10, 000 orang Cina datang,” katanya.
Exco Kerajaan Kelantan itu juga percaya pengundi di kawasan tersebut akan terus menyokongnya pada PRU14 nanti memandangkan sepanjang empat penggal di situ beliau banyak berbakti kepada rakyat.
“Kelantan ini lain, bila kita berbudi orang ingat jasa kita, asalkan kita jangan menzalimi mereka.
“Rakyat boleh jatuhkan kerajaan jika dizalimi dan Pas tidak buat begitu. Kita berkhidmat untuk rakyat,” katanya. SINAR HARIAN 23/OKTOBER/2017