Sentul – Dewan Pemuda PAS Kawasan Batu (DPPKB) menyatakan tekad mencapai kemenangan dalam Pilihanraya Umum ke-14 bagi kawasan Parlimen Batu. Ini dicapai susulan berakhirnya Mesyuarat Agung Tahunan Pemuda PAS Kawasan Batu pada Jumaat yang lalu.
Mesyuarat Agung tersebut dirasmikan oleh Ketua Pemuda DPPN Selangor, Ustaz Syarhan Humaizi dan turut dihadiri oleh pemerhati daripada DPP Wilayah Persekutuan.
Kali pertama dianjurkan di bangunan baru Pejabat Pemuda PAS Kawasan Batu di Bangunan Maxim Citylight, ia berjaya menarik perwakilan dari pelbagai latarbelakang untuk sama- sama menyumbang pandangan dan muhasabah bagi gerak kerja yang lebih padu menjelang PRU ke-14 kelak.
PAS akan meletakkan calonnya bagi Parlimen Batu dan dijangka memberikan persaingan yang sengit terhadap lawannya.
“Menyertai pilihanraya setelah sekian lama bukanlah sesuatu yang mudah. Namun, itu tidak mematahkan semangat kami untuk taat dan wala’ dengan kepimpinan. Kami bersedia untuk bekerja lebih kuat bagi memastikan PAS mencapai kemenangan di sini,” ujar Ketua Pemuda DPPK Batu, Ustaz Norhan Hamsi.
Tambah beliau lagi, dengan kehadiran golongan anak muda yang semakin ramai menyertai perjuangan PAS, ia akan menguatkan lagi tugasan gerak kerja pilihanraya. “Fokus kami ketika ini hanyalah tertumpu kepada gerak kerja pilihanraya dan insyAllah sudah sampai masanya para pengundi terutamanya Parlimen Batu memilih PAS sebagai wakil rakyat mereka”, katanya lagi.