Oleh: Muhamad Nur Azmi Yusuf
Wangsa Maju, 3 Februari 2018 – PAS Kawasan Wangsa Maju terus mendekati penduduk setempat dengan program ceramah kelompok di Unit Peti Undi (UPU) Danau Kota.
Majlis yang bermula jam 9.30 malam itu merangkumi sesi penerangan dan soal jawab bersama ahli dan penduduk sekitar kawasan tersebut.
Naib Yang Di Pertua PAS Kawasan Wangsa Maju, Ustaz Abdul Rani Mohamed Daud menekankan perlunya semua ahli PAS menyantuni masyarakat berbilang kaum menerusi Budaya Politik Matang Sejahtera (BPMS).
Yang Di Pertua PAS Kawasan Wangsa Maju, Razali Tumirin pula berjaya menarik perhatian hadirin dengan pembentangan Dokumen Hijau sebagai penyelesaian masalah ekonomi negara secara menyeluruh.
Ujar beliau, “Buat julung kalinya PAS akan bertanding di Parlimen Wangsa Maju dan sangat mengharapkan sokongan daripada segenap lapisan penduduk bagi merealisasikan kemenangan”.
Ketua Penerangan PAS Wilayah Persekutuan, Ahmad Khuzzaini pula hadir dengan kupasan berkenaan Wawasan Induk Negara Sejahtera (WINS 2051).
Semasa sesi soal jawab, seorang hadirin mengajukan soalan berkenaan tawaran PAS kepada anak muda.
“Manifesto PAS sangat menarik terutamanya kepada anak muda dan tunggu sehingga ianya dibentangkan oleh Tuan Guru Presiden pada 11 Mac 2018 nanti”, jelas beliau.
“Kami yang hadir sangat teruja dengan makluman tersebut dan tidak sabar menantikan tawaran yang bakal dinyatakan”, ujar salah seorang yang mengikuti rapat akan sesi soal jawab di akhir ceramah pada malam tersebut.