Oleh: Noor Sara Mashitoh
KANGAR: Generasi yang ada pada hari ini adalah hasil dari perjuangan orang terdahulu yang bersungguh-sungguh dalam perjuangan mereka pada ketika itu.
Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Perlis, Ustaz Yusainee Yahya memberi peringatan itu ketika merasmikan Himpunan Muslimat Muda Muslimat PAS Perlis pada 14 Oktober yang lalu di Kompleks PAS Perlis (KOMPAS).
Beliau berkata, generasi yang ada pada hari ini berperanan meneruskan kelangsungan perjuangan, maka dengan ini tiada alasan untuk tidak menjalankan amanah perjuangan ini sehingga bertemu dengan Allah kelak.
“Maka untuk meneruskan kelangsungan perjuangan ini, empat perkara yang perlu menjadi bekal adalah ilmu, bersahabat dengan orang soleh, Al Quran dan mengambil iktibar dari sirah Nabi Muhamad SAW ,” ujarnya.
Katanya lagi, dengan menghayati dan mengamalkan empat perkara berkenaan, individu yang berjuang akan sentiasa bersemangat dan mampu untuk menghadapi apa jua cabaran yang bakal dihadapi.
Ujarnya, ilmu menjadi perkara utama yang mesti diterapkan kerana perjuangan PAS adalah seiring dengan perkembangan ilmu.
Beliau memberi contoh, Budaya Politik Matang dan Sejahtera yang diperkenalkan oleh pimpinan PAS pada hari ini adalah hasil dari sejarah perjuangan Nabi yang telah diterjemahkan untuk digunapakai.
Katanya lagi, perkara kedua ialah bersahabat dengan orang soleh yang mana orang soleh inilah yang akan menjadi pemandu kepada perjalanan perjuangan ini.
Perkara yang seterusnya ialah Al Quran, meskipun Al Quran yang dibaca tidak difahami namun dengan melazimi Al Quran, keimanan akan sentiasa bertambah.
“Ujian di dalam perjuangan ini tidak akan pernah putus, maka imanlah yang akan menjadi benteng pertahanan untuk memperkukuhkan lagi aqidah perjuangan ini,” tegasnya di hadapan para peserta yang hadir.
Perkara terakhir ialah mempelajari dan mengambil ibrah dari sirah perjuangan Nabi Muhammad SAW.
Secara berseloroh beliau mengatakan, Nabi dahulu berjuang terpaksa mengikat batu pada perut, tetapi pejuang hari ini bukanlah mengikat batu pada perut tetapi batu ada di dalam perut kerana penyakit yang dihidapi.
Akhirnya Ustaz mengingatkan agar memperbanyakkan berselawat ke atas Nabi supaya mendapat kekuatan terus dari Nabi seterusnya mendapat kemanisan di dalam perjuangan.
Himpunan tersebut turut dihadiri oleh Pengarah Ameerah Malaysia Husna Hashim, Pengarah Briged Muslimat Malaysia, Nuri Mohammad, Setiausaha Nusaibah Malaysia, Nurul Atiqah Nasurudin dan Ketua Dewan Muslimat PAS Negeri Perlis, Ustazah Latifah Mat.