Home Berita PAS Wilayah

Program Finance Professional Talk Bentangkan Penyelesaian Kewangan Bagi Anak Muda

945
SHARE

KUALA LUMPUR, 18 Oktober 2017 – Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) dengan kerjasama Kluster Ekonomi & Kewangan, Jabatan Profesional Muda (JPro), Dewan Pemuda PAS Malaysia hari ini telah menganjurkan ‘Finance Professional Talk 1.0 (FPT)’ di Pejabat Agung PAS yang membincangkan solusi kewangan anak muda dan cadangan penyelesaian ekonomi negara melalui Dokumen Hijau. Program ini menampilkan Suzardi Maulan yang merupakan antara perancang kewangan terkenal khususnya dalam kalangan anak muda. Di samping itu, turut serta adalah Dr. Zuhdi Marzuki dan Ustaz Zaharuddin Mohamad daripada Pusat Penyelidikan PAS (PPP) bagi membincangkan masalah ekonomi negara dan mencadangkan beberapa solusi untuk memulih pertumbuhan ekonomi mengikut acuan Islam sepertimana yang dihuraikan dalam Dokumen Hijau.
  

Program ini dianjurkan selari dengan keperluan anak muda dalam menghadapi cabaran pengurusan kewangan peribadi. Slot Dokumen Hijau pula membincangkan cadangan penyelesaian daripada PAS untuk mengatasi masalah ekonomi negara di samping mendapatkan maklumbalas dan pandangan daripada peserta.

Program ini dirasmikan oleh Ustaz Mohd. Farkhan selaku Ketua Pemuda DPPWP. Program FPT mendapat sambutan yang amat baik dengan kehadiran penuh di Pejabat Agung PAS yang turut terdiri daripada bukan ahli PAS di mana 10 daripadanya mendaftar sebagai ahli PAS yang baru. Program FPT ini juga disiarkan di Facebook Jabatan Profesional Muda dengan lebih 14 ribu tontonan.

Suzardi dalam pembentangan beliau menekankan kepentingan mengingati kematian dalam mencari rezeki agar terhindar daripada segala bentuk kezaliman seperti riba’, rasuah dan penipuan. Beliau juga menggalakkan anak muda mencari rezeki alternatif seperti melibatkan diri dalam perniagaan dan pelaburan sebagai tambahan kepada sumber pendapatan daripada pekerjaan sekarang. Fasa anak muda juga merupakan fasa untuk merancang dan menyimpan supaya dapat memastikan kelangsungan hidup seharian, mampu memiliki tempat tinggal sendiri dan mencapai impian-impian lain seperti menunaikan haji, melanjutkan pelajaran dan mendapatkan perkhidmatan kesihatan yang terbaik.

Ustaz Zaharuddin dalam memperkenalkan Dokumen Hijau menyentuh tentang kepentingan mengkaji dan mengaplikasi ekonomi Islam seperti sistem percukaian Islam selain daripada perbincangan tentang perbankan Islam, muamalat dan lain-lain yang sudah banyak diterangkan di luar sana. Katanya, prinsip asas ekonomi Islam ialah memastikan harta tidak hanya berlegar dalam kalangan orang kaya. Malah lebihan simpanan orang kaya harus dikenakan cukai untuk membantu mereka yang miskin dan memerlukan. Mengikut kajian Dokumen Hijau, hasil cukai 2.5% daripada lebihan harta mampu mencecah RM51.5 billion berbanding hasil kutipan GST 6% daripada rakyat yang hanya RM39 billion.

Dr. Zuhdi dalam ulasannya pula menyentuh tentang cukai yang tidak dikutip daripada lebihan harta orang kaya khususnya daripada simpanan syarikat dan korporat atau ‘fixed deposit’ serta perdagangan saham atau ‘share trading’. Jumlah simpanan ini adalah lebih kurang RM1.6 trillion dan kerajaan hanya perlu mengutip cukai sebanyak 2.5%. Tambahan beliau, ekonomi negara harus melalui fasa transisi kepada satu suasana ekonomi yang lebih baik dan bukannya hanya menyelesaikan masalah ekonomi negara dengan memperkenalkan pelbagai jenis cukai yang bersifat jangka pendek. Kerajaan juga harus menitikberatkan kepada pembangunan ekonomi rakyat dan tidak fokus kepada beberapa pihak berkepentingan sahaja kata beliau.