Home Pedoman Haraki

Deepavali: Hukum Menyambut Dan Mengucap Tahniah

61849
SHARE

Deepavali: Hukum Menyambut Dan Mengucap Tahniah

Oleh: Ahmad Mouhyideen bin Hasin
  Institut Kajian Islam dan Strategik (iKIS)

Perayaan Deepavali atau juga dieja dengan Divali, merupakan salah satu perayaan keagamaan yang terbesar kepada penganut Hindu. Ianya berlangsung selama 5 hari bermula daripada hari ke-13, pada pertengahan bulan Ashvina hingga dua hari pertama bulan baru Kartika dalam kalendar Lunar.

Nama ini berasal daripada istilah Sanskrit dipavali, yang bermaksud “sebarisan pelita” yang mana dinyalakan pada malam tahun baru untuk meraikan kehadiran Lakshmi, Dewa Kekayaan. Bagaimanapun, di Bengal, mereka menyembah dewi Kali. Di utara India, perayaan ini pula adalah untuk meraikan kembalinya dewa Rama, Sita, Lakshmana dan Hanuman ke bandar Ayodhya, dimana keadilan undang-undang Rama akan dilaksanakan (www.britannica.com).

Jelasnya, perayaan Deepavali adalah perayaan agama dan bukannya adat kaum India kerana ia berkaitan dengan dewa-dewa yang disembah oleh penganut agama Hindu. Islam mengharamkan penganutnya terlibat dengan amalan / perayaan bukan Islam yang berbentuk agama sepenuhnya. Ia berdasarkan kepada hadis Rasulullah s.a.w. yang melarang menyerupai orang bukan Islam.

Sabda Rasulullah s.a.w. yang maksudnya: “Sesiapa yang meniru sesuatu kaum maka ia termasuk daripada kalangan mereka” (Riwayat Abu Daud). Rasulullah s.a.w juga bersabda yang maksudnya: “Bukan daripada kalangan kami orang yang meniru golongan yang lain” (Riwayat Tirmizi).

Berkaitan mengucapkan tahniah kepada orang kafir pada perayaan mereka, terdapat perselisihan pendapat di kalangan ulama. Syeikh Ibn Taimiyyah dan Syeikh Ibnu Qayyim al-Jawziyyah adalah antara Ulamak yang mengharamkan ucapan tersebut. Imam Ibn Qayyim al-Jawziyyah dalam kitabnya Ahkam Ahli-Azzimmah berkata: “Dan adapun ucapan tahniah terhadap syiar yang telah dikhususkan kepada orang kafir adalah haram secara sepakat, seperti ucapan tahniah terhadap perayaan dan puasa mereka dengan ucapan Eid Mubarak ‘Alaika / tahniah atas perayaan ini atau sebagainya.”

Golongan ulamak salafi yang terkemudian seperti Syeikh Ibn Baz, Syeikh Soleh Utsaimin dan Syeikh Ibrahim bin Muhammad al-Huqail juga telah mengharamkan ucapan tahniah ini dengan mengambil dalil-dalil yang diberikan oleh Syeikh Ibnu Taimiyyah dan Imam Ibnu Qayyim. Syeikh Ibrahim al-Huqail contohnya telah mengeluarkan fatwa bertajuk “Perayaan-Perayaan Kuffar Dan Kedudukan Muslim Terhadapnya” sebagaimana yang dikeluarkan di laman web Al- Islam Al-Yaum (www.islamtoday.net).

Mereka mengharamkan ucapan tahniah kepada bukan Islam pada perayaan keagamaan mereka kerana perayaan-perayaan tersebut adalah dari syiar-syiar keagamaan mereka dan Allah tidak redha kepada hambanya yang kufur. Mengucapkan tahniah kepada mereka adalah salah satu tasyabbuh yang dilarang (www.onislam.net).

Walaubagaimana pun, Dr Yusuf al-Qaradawi dalam fatwanya mengharuskan ucapan tahniah kepada bukan Islam dalam perayaan agama mereka selagi mana tidak menyambut perayaan tersebut dan sekadar ucapan tahniah kepada mereka sebagai tanda hubungan kemasyarakatan (www.qaradawi.net).

Ucapan tersebut adalah kepada orang bukan Islam yang yang tidak bermusuh dengan Islam, khususnya kepada seseorang yang mempunyai ikatan tertentu seperti kaum kerabat, jiran tetangga, teman-teman pengajian, kawan-kawan sekerja dan sebagainya (www.qaradawi.net).

Beliau berpandangan bahawa ucapan tahniah ini adalah salah satu daripada kebaikan (al-birr) yang tidak dilarang oleh Allah, bahkan Allah menyukainya sepertimana Allah menyukai orang-orang yang berbuat adil kepada mereka (www.qaradawi.net). Firman Allah S.W.T yang maksudnya:

Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampong halaman kamu; Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil. [Surah Al-Mumtahanah : 60, 8].

Namun, perlu diingat bahawa ucapan yang ditujukan kepada mereka adalah suatu ucapan yang bukan digambarkan dengan keredhaan kita terhadap agama mereka tetapi semata-mata ingin menjaga hubungan dan berbuat baik kepada mereka. Sikap ini dari satu sudut menunjukkan Islam merupakan agama yang mengamalkan sikap toleransi dengan penganut agama lain dengan menjaga batasan syara’ yang telah ditetapkan.

Majlis Fatwa dan Penyelidikan Eropah juga mengharuskan ucapan tahniah dan selamat ini jika mereka bukan termasuk orang-orang yang memerangi kaum muslimin khususnya dalam keadaan di mana kaum muslimin minoriti seperti di negara-negara Barat dan tidak menampilkan simbol mereka atau ucapan-ucapan keagamaan yang bertentangan dengan prinsip-prinsip Islam seperti tanda salib.

Begitu juga Syeikh Muhammad AsSayyid Dasuki, pensyarah di Universiti Qatar mengharuskannya dengan sebab mujamalah dan menjaga hubungan yang baik (islamicfatwa.wordpress.com).

Sementara itu Fadhilah al-Syeikh Mustafa Zarqa’ Rahimahullah Taala berkata: “Sesungguhnya ucapan tahniah seorang muslim kepada kenalannya yang bukan beragama Islam (kristian) ketika perayaan mereka pada pandanganku adalah bersifat mujamalah kepada mereka dan berbuat baik dalam pergaulan sesama mereka” (www.onislam.net).

Berdasarkan pandangan para Ulamak tersebut, Majlis Penyelidikan & Tafaqquh (MPT), DUPP berpandangan bahawa adalah harus bagi orang Islam mengucap tahniah kepada penganut agama Hindu sempena perayaan Deepavali. Walaubagaimana pun ucapan tersebut mestilah tidak mengganggap dan mempercayai bahawa agama Islam adalah sama dengan agama Hindu. Ia juga mestilah tidak menggunakan sebarang simbol atau lambang keagamaan dalam ucapan mereka.

PAS yang mempunyai kelebihan memiliki Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) akan menyesuaikan keadaan ini demi untuk mempastikan sambutan Deepavali berjalan lancar. DUPP akan cuba sedaya upaya mungkin agar perayaan ini tidak terganggu dan janggal disebabkan adanya penghormatan luar yang kadang kala membosankan penganut agama Hindu sendiri. DUPP sedar adanya beberapa keadaan yang tidak disenangi oleh masyarakat Hindu jika dicampuri urusannya oleh penganut-penganut agama lain.