PUTRAJAYA, 17 Oktober 2017 – Jabatan Penerangan Dewan Pemuda PAS Kawasan (DPPK) Putrajaya dengan kerjasama Jabatan Profesional Muda (JPro), hari ini telah mengadakan satu program berbentuk penerangan kepada masyarakat di Putrajaya. Program berkonsepkan santai ini menampilkan dua (2) orang tokoh pimpinan sebagai panelis iaitu Sdr Kamaruzaman Mohamad (AJK PAS Pusat) dan Ir. Hj. Khairil Nizam Khirudin (Timbalan Ketua Pemuda PAS Malaysia), bagi mengulas topik berkenaan Wawasan Induk Negara Sejahtera (WINS) 2051 yang telah dilancarkan pada Himpunan Fastaqim 2.0 di Pantai Tok Jembal, Kuala Nerus, Terengganu, 30 September lalu.
Kedua-dua panel jemputan telah menyentuh beberapa teras utama dalam WINS 2051 di mana teras urus tadbir negara, pendidikan dan ekonomi menjadi antara topik yang paling banyak diulas serta menerima soalan-soalan daripada hadirin. Bertepatan dengan lokasi program iaitu di Putrajaya sebagai pusat pentadbiran kerajaan persekutuan, selain kebarangkalian sebahagian hadirin adalah dari kelompok penjawat awam, Kamaruzaman bijak memberi komentar betapa penjawat awam di Malaysia adalah merupakan penjawat awam antara yang terbaik di dunia. Buktinya, walaupun kerajaan ketika ini gagal merangka dasar yang baik, para penjawat awam katanya telah menjadi badan pelaksana yang mampu menyerap segala kegagalan tersebut dengan memberikan satu tahap perkhidmatan urus tadbir yang sangat berkualiti.
Selain itu, menurut Kamaruzaman, permasalahan sosio-ekonomi dan budaya di Malaysia yang berlaku pada masa ini bukanlah disebabkan kegagalan pelaksanaan daripada para penjawat awam, tetapi ianya berpunca daripada dasar yang dipandu oleh parti politik yang menguasai tampuk pemerintahan tanpa meletakkan panduan syariat sebagai teras dalam setiap urusan pentadbiran Negara. Sehubungan itu, PAS hadir memberi satu jaminan baru kepada masyarakat dengan meletakkan pematuhan prinsip dan penyelesaian Islam di setiap teras pembangunan Negara Sejahtera.
Ir. Hj. Khairil Nizam dalam ulasannya pula, telah menyentuh betapa pendidikan wajar diberi keutamaan dalam membentuk Negara sejahtera. WINS 2051 meletakkan pendidikan sebagai teras utama bagi memastikan sistem pendidikan di Malaysia bukan sekadar melahirkan generasi bijak pandai dalam bidang tertentu, bahkan generasi tersebut perlu dipersiapkan dengan akhlak yang terpuji. Di peringkat Dewan Pemuda PAS sendiri telah berjaya menghasilkan model pendidikan berkualiti yang menjadi pilihan utama masyarakat di Malaysia. Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) sudah pastinya tidak perlu diperkenalkan lagi hasil dan kualitinya. Malah katanya, di Putrajaya sendiri melalui laporan yang diterima, saban tahun tidak mampu menampung jumlah permintaan yang tinggi oleh masyarakat setempat walaupun mereka mengetahui bahawa PASTI adalah entiti pendidikan di bawah kelolaan PAS.
Tambah Ir. Hj. Khairil lagi, Dewan Pemuda PAS bersedia untuk menyediakan model pendidikan di setiap tahap bagi memastikan masyarakat Malaysia mampu menerima sistem pendidikan lanjutan selepas PASTI di semua peringkat. Sekolah Rendah Integrasi Teras Islam (SRITI) sebagai contoh, telah mula diperkembangkan di seluruh Negara sebagai pilihan masyarakat dalam menentukan hala tuju pendidikan anak-anak di peringkat sekolah rendah. Selain itu, DPPM juga komited untuk merangka sistem pendidikan di peringkat sekolah menengah bagi melengkapkan kitaran persekolahan dari peringkat awal sehingga ke menara gading.
Di akhir program ini, para hadirin dapat berinteraksi dengan panel dengan mengajukan beberapa persoalan untuk mendapatkan penjelasan lanjut. Pihak penganjur juga memaklumkan, terdapat banyak juga persoalan yang diutarakan melalui facebook apabila program ini disiarkan secara langsung di facebook live page Pemuda Pas Putrajaya. Di atas faktor masa yang terhad, masih banyak soalan tidak dapat dijawab oleh panel dan DPPK Putrajaya memberi satu komitmen tinggi bahawa program sebegini akan diadakan lagi pada masa akan datang.
Di kawasan sekitar program pula, beberapa petugas daripada Ameerah Putrajaya telah mengadakan sesi edaran risalah berkenaan Dokumen Hijau kepada masyarakat setempat yang sedang bersantai di sekitar Kompleks Perbadanan Putrajaya dan Istana Kehakiman di Presint 3, Putrajaya. Akhbar harakah juga diberikan secara percuma kepada pengunjung untuk dijadikan bahan bacaan ilmiah serta berita-berita berkaitan politik Negara. Kira-kira 10 orang petugas dari Ameerah Putrajaya dibantu Unit Pengundi Muda JPrK Putrajaya dilihat telah berjaya menyantuni masyarakat selain menarik perhatian mereka untuk sama-sama hadir ke program sembang santai WINS 2051 di hadapan Istana Kehakiman.
Program turut dihadiri oleh Timbalan Yang DiPertua Pas Kawasan Putrajaya, Sdr Kamarul Arif Ambak dan Pengarah Jabatan Profesional Muda DPPM, Prof. Dr. Hairul Azhar. Secara keseluruhannya, program ini diakui telah berjaya membuka mata masyarakat bahawa PAS, khususnya PAS Putrajaya bersedia menghadapi Pilihanraya Umum ke-14 (PRU14), dengan membawa tawaran-tawaran penyelesaian yang lebih baik kepada pembangunan Negara yang lebih sejahtera.