Home Ensiklopedia Harian PAS

Ensiklopedia Harian PAS – 3 Mac 1924: Kejatuhan Khilafah Membangkit Gerakan Islam

2389
SHARE


ENSIKLOPEDIA HARIAN PAS

3 MAC 1924: KEJATUHAN KHILAFAH MEMBANGKIT GERAKAN ISLAM


KEKUATAN umat Islam yang dilindungi oleh kuasa politik kekhalifahan semenjak 632 Masehi telah berakhir dengan pembubaran Khilafah Othmaniyah pada 3 Mac 1924. Kejatuhan Khilafah Othmaniyah menandakan berakhirnya kekuasaan politik umat Islam selama 1,342 tahun semenjak Nabi Muhammad SAW berhijrah meninggalkan Mekah untuk mendirikan negara Islam yang pertama di Madinah pada tahun 622 Masehi. Dengan kejatuhan Khilafah Othmaniyah ini, para ulamak telah bangkit memimpin umat Islam dengan menubuhkan gerakan-gerakan Islam di tempat masing-masing bagi memperjuangkan tertegak semula kekhalifahan umat Islam.

Sepanjang sejarah umat Islam, setelah kewafatan Nabi Muhammad SAW pada 632, kepemimpinan umat Islam telah digantikan oleh Khulafa ur-Rasyidin sehingga 662. Setelah itu kekhalifahan Islam disambung oleh Daulah Umaiyyah (622-750), Daulah Abbasiyah (750-1512) dan Daulah Othmanitah (1512-1924). Pada zaman Daulah Othmaniyah, wilayah umat Islam terbentang dari barat Afrika hingga ke tenggara Asia, di mana terdapat empat kerajaan utama yang bernaung di bawah Daulah Othmaniyah iaitu Dinasti Saadi (1554-1659) di barat Afrika, Dinasti Safawi (1501-1736) bermazhab Syiah di Parsi dan Asia Tengah, Dinasti Mughal (1526-1857) di Asia Selatan dan Kesultanan Aceh (1496-1903) di Nusantara, selain Daulah Othmaniyah yang menguasai Afrika Utara, Semenanjung Arab, Syam, Anatolia, Balkan dan Eropah Timur.

Kejatuhan Granada pada tahun 1492 telah membuka ruang kepada penjajahan Barat pada abad ke-16 di mana wilayah-wilayah Afrika dan Asia mulai dijajah secara berperingkat terutama selepas penaklukan Portugis ke atas Goa di India pada 1510 dan Melaka pada 1511. Setelah itu, kuasa-kuasa Barat yang lain termasuk Belanda, Perancis, Itali, British dan lain-lain telah menguasai wilayah-wilayah Islam di seluruh dunia terutama wilayah yang jauh dari Istanbul bagi melaksanakan agenda “God, Glory and Gold,” yang pada hakikatnya mereka berusaha meruntuhkan kekuasaan politik Islam. Kemuncak kepada proses penjajahan ini, Barat bukan sahaja menguasai perdagangan Timur-Barat, tetapi telah menjatuhkan kerajaan-kerajaan Islam yang wujud di seluruh dunia selepas berjaya menjatuhkan Granada (1492), Goa (1510) dan Melaka (1511).

Kesan dari gerakan melumpuhkan kekuasaan politik Islam ini, menjelang abad ke-20, kuasa-kuasa politik Islam mulai runtuh bermula dengan runtuhnya Daulah Mongol di India pada 1857, diikuti oleh kejatuhan kerajaan-kerajaan Islam di Afrika antara 1850 hingga 1900 seperti Toro (1861), Gomma (1886), Harrar (1887), Kong (1894), Jallon (1896), Wassoulou (1898) dan lain-lain. Di Nusantara, Perjanjian Inggeris-Belanda 1824 telah berjaya memecahkan Kesultanan Johor Riau dan Kesultanan Aceh, sebelum Kesultanan Maguindanao dilumpuhkan pada 1888. Kekuasaan politik Islam di Nusantara berakhir dengan jatuhnya Kesultanan Pattani (1902), Aceh (1903), Tidore (1904) dan Banjar (1905). Kemaraan Revolusi Bolsheviks pada 1917 pula meruntuh saki-baki kerajaan Islam di Asia Tengah apabila Kerajaan Khiva dan Bukhara jatuh pada 1920.

Di wilayah Arab, pendudukan British di Mesir pada 1882 menggantikan Perancis dan penaklukan wilayah Utara Afrika oleh Itali pada 1911 dan Perancis pada 1912 telah melumpuhkan wilayah Khilafah Othmaniyah di Afrika, sedangkan kekuasaan Islam di Afrika Barat berakhir dengan jatuhnya Kerajaan Dendi (1901) dan Sokoto (1903). Kemuncak penguasaan mereka adalah berlakunya perjanjian Sykes-Picot pada 1916 yang memecahkan wilayah Syam dan Iraq sehingga membawa kepada terbentuknya kesultanan baru yang pro Barat dalam usaha memecahkan Khilafah Othmaniyah seperti Hashimiyah Jordan dan Iraq (1921) serta Saudiyah di Semenanjung Arab (1932). Keupayaan Barat menguasai wilayah Arab ini berkait rapat dengan peranan golongan sekular yang melakukan Revolusi Turki Muda pada 1908 sehingga membawa kepada kejatuhan Sultan Abdul Hamid II.

Pemecatan Sultan Abdul Hamid II sebagai khalifah pada 1909 telah mengubah dasar Khilafah Othmaniyah menjadi sekular pada era tiga pemerintah terakhirnya. Disebabkan penglibatan Khilafah Othmaniyah dalam Perang Dunia Pertama (1914-1918), berlakunya Perjanjian Sykes-Picot 1916 yang memecahkan wilayah Arab dan Perjanjian Belfour 1917 yang memulakan pembentukan negara Yahudi di Palestin. Pada 1923, menerusi Perjanjian Lausanne, Sultan Abdul Majid II dipaksa menerima Persyaratan Curzon untuk menghapuskan kekhalifahan dan seterusnya menghapuskan perlembagaan negara berasaskan al-Quran dan Sunnah. Bertolak dari Perjanjian Lausanne 1923 ini, pada 3 Mac 1924, Mustafa Kamal Atarturk telah membubarkan kekhalifahan Othmaniyah yang berdiri sejak 1299, sekali gus meruntuhkan kekuasaan politik Islam di seluruh dunia.

Antara faktor utama pecah dan runtuhnya kekhalifahan Islam adalah kerana penyebaran fahaman sekular (pemisahan politik dari agama) dan nasionalisme (kebangsaan) di kalangan orang Islam. Menangani perpecahan ini, pada 1870-an, Sultan Abdul Hamid II telah melancarkan Pan-Islamism (al-Wehdah al-Islamiyah) untuk menyatukan umat Islam di bawah negara Islam yang dipimpin oleh khalifah. Semangat Pan-Islamism di Nusantara digerakkan oleh Jam’iyatul Khairiyah yang ditubuhkan di Jakarta pada 1905, diikuti oleh Pergerakan Khalifat di India pada 1919 ekoran kemerosotan Khalifah Othmaniyah. Lebih menonjol dari pergerakan ini ialah munculnya gerakan politik Islam yang memperjuangkan tertegak semula khilafah Islamiyah dengan munculnya Sarekat Islam di Indonesia (1905) dan All Indian Muslim League di India (1906), Tanzhim Ittihad Muhammadi di Istanbul (1909) dan Ikhwanul Muslimin di Mesir (1928). Setelah itu, berlaku metamorfosis dengan tertubuhnya Istiqlal di Maghribi (1937), Jamaat Islami di India (1941), Masyumi di Indonesia (1943), serta Hizbul Muslimin (1948) dan PAS (1951) di Tanah Melayu.

Mohd Fadli Ghani
Head, House of Resources
Pusat Penyelidikan PAS
3 Mac 2017

{jathumbnail off}