PERGOLAKAN dalam Umno sejak 1950 telah membawa perpecahan besar dalam parti nasionalis sekular itu pada 1951. Pertama, golongan ulamak yang bergiat dalam Bahagian Agama dan Pelajaran Umno yang tidak berpuas hati dengan kegagalan Umno membela agama telah bertindak menubuhkan Pertubuhan Ulamak Malaya (kemudian dikenali sebagai PAS) yang berasingan dari Umno; kedua, sekumpulan aristokrat Melayu yang mendukung cadangan Inggeris supaya Umno menyatukan semua bangsa dalam partinya bertindak menubuhkan Parti Kemerdekaan Malaya (IMP) setelah Umno menolak kemasukkan orang bukan Melayu ke dalam partinya. Lebih menarik, penaja Pertubuhan Ulamak Malaya, Tuan Guru Haji Ahmad Fuad Hassan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Agama Umno dikenali sebagai sekutu rapat kepada penaja IMP, Dato’ Onn Jaafar, bekas Yang Dipertua Agung Umno.
Para ulamak dalam Umno tidak berpuas hati dengan kegagalan Umno memberikan perhatian terhadap resolusi Persidangan Alim Ulamak Malaya di Muar pada 20-21 Februari 1950, terutama berkaitan penyatuan pentadbiran agama. Ekoran itu, Tuan Guru Haji Ahmad Fuad Hassan telah beberapa kali mengkritik menerusi Suara Umno, termasuk melahirkan kekesalan kerana suara ulamak “tidak didengari” dalam Umno dan beliau menggesa ulamak menubuhkan persatuannya sendiri. Lantaran itu, Umno bersetuju mengadakan Persidangan Alim Ulamak Malaya Kedua pada 23 Ogos 1951 di Kuala Lumpur. Dalam persidangan inilah, ulamak telah memutuskan untuk mewujudkan Pertubuhan Ulamak Malaya, seterusnya membentuk Jawatankuasa Penaja Pertubuhan Ulamak Malaya yang dipengerusikan oleh Tuan Guru Haji Ahmad Fuad Hassan.
Serentak dengan gerakan para ulamak untuk mengasingkan diri dari Umno ini, Dato’ Onn Jaafar selaku Yang Dipertua Agung Umno dan Ahli (Menteri) Dalam Negeri telah menubuhkan Jawatankuasa Hubungan Antara Kaum (CLC) dengan kehendak British pada 1949 yang membawa kepada cadangan membuka keahlian Umno kepada orang bukan Melayu. Dalam Persidangan Agung Umno pada 11 Jun 1950, Dato’ Onn Jaafar dikritik keras terutama tentang cadangan kerakyatan CLC dan membuka keahlian Umno untuk orang bukan Melayu, yang menyebabkan pemimpin Umno itu merajuk dan meletak jawatan keesokkannya. Pada 20 Julai 1950, Dato’ Onn Jaafar bersetuju memimpin semula Umno setelah wujud tolak ansur dalam soal kerakyatan dan menerima orang bukan Melayu sebagai ahli bersekutu Umno.
Pada Jun 1951, Dato’ Onn Jaafar telah mencadangkan pula supaya nama Umno ditukar kepada “United Malayan National Organization” dan memberi keahlian penuh kepada bangsa asing. Tetapi cadangan ini ditolak keras oleh ahli Umno yang menyebabkan Dato’ Onn Jaafar mengumumkan untuk tidak lagi memimpin Umno selepas Persidangan Agung Umno pada 25-26 Ogos 1951. Ekoran itu, beberapa nama telah dicalonkan sebagai Yang Dipertua Agung Umno termasuklah Tunku Abdul Rahman Putra, CM Eusoff Sheikh Abdul Rahman dan Tuan Guru Haji Ahmad Fuad Hassan. Turut dicalonkan ialah Engku Ismail Abdul Rahman, Yang Dipertua Jabatan Agama Islam Johor, tetapi beliau menolak pencalonan tersebut.
Ketika suasana dalam Umno sedang tegang kerana cadangan Dato’ Onn Jaafar tersebut, yang diikuti oleh pengunduran beliau, para ulamak pula mengkritik pemimpin Umno yang menganjurkan Loteri Umno, suatu aktiviti perjudian nombor ekor untuk membiayai pembinaan Pejabat Agung Umno di Kuala Lumpur, di samping cadangan penganjuran fun fair Umno. Para ulamak Umno mengeluarkan fatwa pengharaman aktiviti tersebut dan di Pulau Pinang ulamak Umno mendesak ditubuhkan sebuah parti Islam yang berasingan dari Umno. Turut mengkritik ialah Engku Ismail Abdul Rahman selaku calon Yang Dipertua Agung Umno. Beliau menganggap Umno telah tergelincir dari al-Quran dan Sunnah dan mendesak ulamak menubuhkan sebuah parti Islam yang bebas dari Umno.
Pada Persidangan Alim Ulamak Malaya Kedua pada 23 Ogos 1951, para ulamak telah bersepakat menubuhkan Pertubuhan Ulamak Malaya dan melantik Tuan Guru Haji Ahmad Fuad Hassan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Penajanya. Pada 25 Ogos 1951, selepas merasmikan Persidangan Agung Umno, Dato’ Onn Jaafar telah mengumumkan secara rasmi untuk mempertahankan jawatan Yang Dipertua Agung Umno sekali gus keluar dari Umno. Pada hari kedua Persidangan Agung Umno, 26 Ogos 1951, Dato’ Onn Jaafar melancarkan IMP. Dalam pemilihan pimpinan tertinggi Umno pada hari tersebut, Timbalan Yang Dipertua Agung Umno, Tunku Abdul Rahman Putra telah dipilih sebagai Yang Dipertua Agung Umno yang baru dengan mendapat 57 undi, sedangkan CM Eusoff Sheikh Abdul Rahman (Dato’ Bendahara Perak) mendapat tujuh undi dan Pengerusi Penaja Pertubuhan Ulamak Malaya, Tuan Guru Haji Ahmad Fuad Hassan mendapat 11 undi.
Ekoran kemenangan Tunku Abdul Rahman Putra ini, beliau menggantikan Dato’ Onn Jaafar sebagai pemimpin Umno. Sedangkan Umno telah berpecah tiga serentak dengan tertubuhnya Pertubuhan Ulamak Malaya (kemudian PAS) pada 23 Ogos 1951 dan IMP pada 26 Ogos 1951. Peristiwa ini juga menolak dakwaan sesetengah penulis bahawa PAS ditubuhkan kerana Tuan Guru Haji Ahmad Fuad Hassan kecewa dengan kekalahannya, sedangkan para ulamak sejak 1950 telah tidak berpuas dengan Umno yang berkemuncak dengan isu judi loteri yang memaksa ulamak berpisah dengan Umno lebih awal (23 Ogos 1951) daripada pertandingan jawatan tersebut (26 Ogos 1951).
Mohd Fadli Ghani
Head, House of Resources
Pusat Penyelidikan PAS
21 Mei 2017
{jathumbnail off}