1.Ameerah Malaysia melahirkan rasa khuatir dan membantah penganjuran program Better Beer Festival yang bakal dianjurkan pada bulan Oktober nanti bertempat di sebuah pusat membeli belah di Kuala Lumpur.
Penganjuran tahun ini digembar-gemburkan sebagai yang terbesar dengan 250 craft beer oleh 43 pembuat beer dari 12 negara.
2. Penganjuran Better Beer Festival oleh My Beer yang telah berlansung sebanyak tiga kali semenjak tahun 2012 merupakan tamparan hebat buat Malaysia yang mempunyai rakyat berbilang kaum, majoritinya adalah Muslim. Malah Malaysia disebut oleh banyak pihak sebagai negara Islam.
3. Di saat kita bersungguh-sungguh menghapuskan dadah yang merosakkan akal,adakah wajar kita biarkan festival arak berlangsung, walhal natijahnya kepada akal adalah sama?
4. Ameerah Malaysia menghormati kebebasan beragama sepertimana termaktub dalam tuntutan agama dan perlembagaan, justeru bantahan Ameerah bukanlah bermaksud melarang masyarakat bukan Islam melakukan sesuatu yang tidak dilarang oleh agama mereka.
Tetapi bantahan Ameerah Malaysia adalah kepada penganjuran festival itu sendiri yang dilihat sebagai ancaman kepada moral dan keselamatan rakyat.
5. Adalah sangat ironi apabila di saat negara-negara yang majoriti rakyatnya bukan beragama Islam seperti Thailand telah menghadkan pembuatan beer secara besar-besaran, Singapura menguatkuasakan undang-undang melarang minum arak secara terbuka dalam tempoh tertentu, Ireland turut mempunyai larangan jualan arak pada hari-hari tertentu, Canada Chille, South Korea mempunyai peraturan yang melarang minum arak secara terbuka, Malaysia kelihatannya membuka ruang seluas-luasnya tanpa menghiraukan impak keselamatan dan sensitiviti masyarakat.
6. Siapakah yang akan bertanggungjawab jika pemandu-pemandu mabuk memandu lalu menyebabkan
kemalangan ?
Bahaya arak bukan sahaja terkena pada peminumnya, tetapi juga membahayakan orang lain yang tidak minum arak.
7. Promosi arak secara terbuka adalah promosi cara hidup yang tidak sihat sekaligus tidak bermoral.
8. Ameerah Malaysia menggesa seluruh rakyat Malaysia yang cintakan kebaikan dan kesejahteraan bersatu menentang penganjuran program seperti ini.
Semestinya kita tidak mahu rakyat Malaysia hidup dalam budaya yang tidak sihat , berbahaya dan tidak bermoral.
Mari bersama kami membina Malaysia yg baru.
Husna Hashim
Pengarah Ameerah Malaysia
18 September 2017
27 Zulhijjah 1438H
#AmeerahMalaysia
#Muslimatmudapas
#sejahterabersamaislam