KANGAR : Dewan Pemuda PAS Negeri Perlis (DPPNPs) membuat laporan polis terhadap Siti Kasim dan David Orok berhubung penghinaan dan fitnah mereka terhadap Nabi Ibrahim a.s. dan Nabi Ismail a.s. melalui akaun Facebook mereka.
Laporan polis telah dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kangar oleh ketuanya, Ustaz Azmir bin Azizan pada 11 September lepas. Turut hadir mengiringi beliau ialah exco-exco DPPNPs.
Ustaz Azmir menegaskan tindakan mereka berdua ternyata berniat jahat dan bertujuan menimbulkan kekeliruan serta kemarahan umat Islam.
Beliau turut memberi amaran kepada Siti Kasim dan David Orok agar menarik balik kenyataan biadab mereka di samping membuat permohonan maaf kepada umat Islam, atau berhadapan dengan tindakan undang-undang.
“Kita menegaskan bahawa Siti Kasim dan David Orok mesti menarik balik status Facebook mereka dan memohon maaf kepada seluruh umat Islam serta bertaubat kepada Allah S.W.T., atau berhadapan dengan tindakan undang-undang.”
“Status Facebook mereka jelas menghina Nabi Ibrahim a.s. dan Nabi Ismail a.s. dan sebagai umat Islam, kita wajib bangkit menyuarakan bantahan sebagai tanda kecintaan kita kepada para Nabi dan Rasul a.s.,” ujar beliau.