Home Kenyataan Media Presiden PAS

Golongan Yang Bertuhankan Diri Sendiri

1095
SHARE

GOLONGAN YANG BERTUHANKAN DIRI SENDIRI


Allah SWT berfirman:

أَفَرَءَيۡتَ مَنِ ٱتَّخَذَ إِلَٰهَهُۥ هَوَىٰهُ وَأَضَلَّهُ ٱللَّهُ عَلَىٰ عِلۡمٖ وَخَتَمَ عَلَىٰ سَمۡعِهِۦ وَقَلۡبِهِۦ وَجَعَلَ عَلَىٰ بَصَرِهِۦ غِشَٰوَةٗ فَمَن يَهۡدِيهِ مِنۢ بَعۡدِ ٱللَّهِۚ أَفَلَا تَذَكَّرُونَ ٢٣ الجاثية

“Bagaimana fikiranmu (wahai Muhammad S.A.W.) terhadap orang yang menjadikan hawa nafsunya: Tuhan yang dipatuhinya dan dia pula disesatkan oleh Allah kerana diketahui-Nya (bahawa dia tetap kufur ingkar) dan dimeteraikan pula atas pendengarannya dan hatinya serta diadakan lapisan penutup atas penglihatannya? Maka siapakah lagi yang dapat memberi hidayah (Petunjuk) kepadanya sesudah Allah? Oleh itu, mengapa kamu (wahai orang-orang yang ingkar itu) tidak ingat dan insaf?” (Surah Al-Jathiah: 23)

Allah Maha Mengetahui bahawa dalam dunia ini tetap ada kalangan orang yang sombong seperti makhluk bernama Iblis yang lebih mengenali Tuhan sehingga berdailog dengannya. Begitulah diceritakan dalam Al-Quran, namun Iblis tidak layak mendapat hidayah (petunjuk) ke jalan yang benar, kerana sombongnya sehingga mengangkat diri sendiri. Biarkan dia terjun dengan labu-labu kesombongannya, merasa syok sendiri, merasa dia sangat bijak, sehingga dia mati dengan kesombongannya, disebabkan menjadi kufur menentang Allah.

Iblis dibiarkan bebas mencari pengikut dan bala tenteranya sehingga akhir hayatnya, khususnya mereka yang sombong hari ini seperti menafikan apa yang diceritakan selepas mati di Alam Ghaib yang tidak dapat dilihat dengan pancaindera akal, mata dan telinga. Berbeza dengan Iblis yang pernah menyaksikan pun kufur juga dengan sebab sombong.

Makhluk yang zahir nyata pun tidak diketahui semua, termasuk organ yang halus dalam jasad manusia itu sendiri, seperti urat dan saraf dalam biji matanya yang paling dekat.

Firman Allah SWT:

 وَفِيٓ أَنفُسِكُمۡۚ أَفَلَا تُبۡصِرُونَ ٢١ الذاريات

 “Dan juga pada diri kamu sendiri. Maka mengapa kamu tidak mahu melihat serta memikirkan (dalil-dalil dan bukti ketuhanan Allah)?” (Az-Dzariyat: 21)

Allah telah menyebut kalangan ini kepada orang yang beriman dan budiman. Firman-Nya:

وَلَقَدۡ ذَرَأۡنَا لِجَهَنَّمَ كَثِيرٗا مِّنَ ٱلۡجِنِّ وَٱلۡإِنسِۖ لَهُمۡ قُلُوبٞ لَّا يَفۡقَهُونَ بِهَا وَلَهُمۡ أَعۡيُنٞ لَّا يُبۡصِرُونَ بِهَا وَلَهُمۡ ءَاذَانٞ لَّا يَسۡمَعُونَ بِهَآۚ أُوْلَٰٓئِكَ كَٱلۡأَنۡعَٰمِ بَلۡ هُمۡ أَضَلُّۚ أُوْلَٰٓئِكَ هُمُ ٱلۡغَٰفِلُونَ ١٧٩الأعراف

“Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk Neraka Jahannam banyak dari kalangan jin dan manusia yang mempunyai hati (akal) tetapi tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah), dan yang mempunyai mata tetapi tidak mahu melihat dengannya (bukti keesaan Allah) dan yang mempunyai telinga tetapi tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat). Mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang yang lalai.” (Surah Al-A’araf: 179)

Ada kalangan mereka yang menolak adanya Tuhan (Allah), kerana tidak dapat dilihat dengan mata dan didengar dengan telinganya. Padahal dalam dirinya sendiri ada aspek akal dan roh yang ghaib tidak dapat dilihat dan didengar. Kadang-kadang ditunjukkan adanya aspek roh dan akal itu melalui pergerakan anggota jasad dalam melakukan sesuatu mengikut pilihannya, kecuali orang berpenyakit gila tidak dapat mengawal dirinya atau kanak-kanak yang belum matang kejadiannya. Namun ada kalangan yang berakal dan bijak tetapi bersifat sombong dan degil menolak perkara-perkara ghaib, kerana berlagak dia tahu segala-galanya.

Ada perkara yang tidak mampu dilihat dan dirasa walaupun adanya. Contohnya, dia menyaksikan adanya tenaga eletrik dengan dalil lampu bernyala, kipas berpusing, suaranya kuat luar biasa dan jentera bergerak tanpa dapat melihat tenaga eletrik dengan matanya. Namun percayalah dia tidak berani dan takutkan mati juga kalau lebih menyiasat dengan membelah wayar pembalut untuk disentuh bagi mendapatkan bukti yang nyata. Percayalah dia tidak berani melihat cahaya yang sangat kuat kerana boleh membutakan matanya. Adapun Allah S.W.T tiada terbanding dengan makhluk ciptaannya.

Kalangan seperti ini di zaman dahulu ada yang bergelar ahli falsafah yang menolak adanya Tuhan. Apabila dia terdesak menghadapi bahaya tiada penyelamat, lalu fitrahnya percaya adanya Tuhan dan berdoa. Namun setelah selamat dia kembali sombong lagi.

Kalangan mereka menolak para Rasul A.S pilihan Allah yang bijak dan mulia akhlaknya. Kalangan ini juga menolak Kaabah sebagai tanda kiblat yang dibina oleh Nabi Ibrahim A.S. yang disanjung oleh penganut semua agama dengan kepercayaan dan sebutan masing-masing. Namun mereka bersedia menyembah binatang yang bodoh dan menyembah patung batu yang dipahat wajahnya sangat buruk, bahkan wajah dirinya sendiri lebih cantik daripada patung yang dipahat dan diukirnya. Patung itu tidak boleh bergerak sehingga diusung ke sana dan ke mari, jauh sama sekali memberi manfaat dan mudarat.

Kalangan ini menolak halal dan haram dalam makanan dan minuman berpandukan akal semata-mata, sehingga semuanya dimakan dan diminum mengikut akal sahaja. Tiba-tiba ternyata kajian saintifik hari ini menunjukkan yang haram itu menjadi punca berbagai penyakit.

Kalangan ini juga menolak hukum menutup aurat yang diwajibkan oleh Islam, tiba-tiba meletakkan solekan dan hiasan diwajahnya supaya berwarna seperti binatang yang dikira cantik seperti monyet dan burung-burung yang tidak berakal.

Ternyata juga bahawa hubungan tanpa perkahwinan yang diharamkan oleh Islam menjadi sebab berlakunya berbagai penyakit. Adapun yang berhubung melalui pernikahan yang sah mendatangkan berkat kalau mengikut adab dan akhlak.

Selain itu, kalangan ini menolak hukum jenayah Islam (Qisas, Hudud dan Takzir) yang syarat-syaratnya sangat ketat tetapi menakutkan bagi tujuan menentang keganasan secara mendidik dengan ilmu Allah. Mereka tidak sedar bahawa tindakan mereka menentang hukum Allah itu membela pengganas. Padahal mereka boleh menerima segala jenis pembedahan anggota jasad bagi menyelamatkan jasad seorang manusia yang sakit. Sedangkan hukuman jenayah Islam adalah pembedahan bagi menyelamatkan masyarakat yang ramai jumlahnya.

Kalangan ini juga menolak ayat-ayat Al-Quran dan menolak Hadis Rasulullah S.A.W khususnya perkara yang hikmahnya tidak mampu dicapai oleh akal mereka yang tetap mempunyai kelemahan. Mereka menolak Isra’ Mikraj dan menolak cerita Nabi Ibrahim sedia mengorbankan putera kesayangannya, Nabi Ismail kerana mentaati perintah Allah sebagai satu ujian yang kemudian dibatalkan.

Al-Quran mendedahkan banyak aspek yang lain dalam sejarah silam yang benar, seperti adanya negara yang membina tamadun di atas kezaliman memperhambakan rakyat yang tidak disentuh oleh pengkaji barat, tetapi tamadun yang dibina berkonsep kezaliman inilah yang dibangga dan dipuja. Kejadian alam angkasa lepas yang dibuktikan benarnya oleh para saintis terkini, sehingga ada saintis yang bertugas di NASA USA, Rusia dan Eropah menganut Islam setelah mengkaji terjemahan Al-Quran berkenaan Isra’ Mikraj dan Lailatul Qadar.

Ada juga yang mengkaji Al-Quran dan perbandingan dengan kitab-kitab agama lain, sehingga akhirnya mengisytiharkan menganut Islam. Para ahli undang-undang yang bersidang di Belanda selepas Perang Dunia Pertama menjadikan Al-Quran rujukan penting bagi menggubal undang-undang antarabangsa dan beberapa Piagam sehingga menjadi contoh kemudiannya mengikut perkembangan dan perubahan.

Ada pun kalangan yang bercakap besar menghina Islam itu loyar buruk sahaja atau ilmuan syok sendiri. Sila siasat latar belakang pengajian dan akhlaknya walaupun berjela ijazahnya?

Apa sangat mereka yang kerdil di Malaysia ini yang mengaku Islam kerana takutkan masyarakat umum, tetapi mahukan Islam tunduk kepada kemahuan akalnya yang lemah dan ilmunya masih sedikit kalau dibandingkan dengan tokoh yang lebih besar telah menerima Islam seperti, Muhammad Asad dan Maryam Jamilah yang asalnya Yahudi, seniman Yusof Islam dan lain-lain yang mengkaji secara perbandingan dengan mendalam dan ikhlas.

Perlu diketahui bahawa banyak ayat-ayat Al-Quran dan Hadis dahulunya ditolak kerana tidak dicapai oleh akal manusia dan ternyata salahnya akal manusia dan kajiannya. Setelah adanya penemuan terkini, nyatalah benarnya Al-Quran Kitab Allah daripada Ilmu dan Kalam-Nya yang sempurna setelah memakan masa dan generasi. Di sinilah arahan Allah kepada orang-orang yang beriman supaya menyerah diri secara mutlak kepada Allah yang Maha Suci daripada kelemahan dan kekurangan dan Rasulullah S.A.W pilihan Allah dan tidak mutlak kepada yang lain.

Firman Allah:

 إِنَّمَا كَانَ قَوۡلَ ٱلۡمُؤۡمِنِينَ إِذَا دُعُوٓاْ إِلَى ٱللَّهِ وَرَسُولِهِۦ لِيَحۡكُمَ بَيۡنَهُمۡ أَن يَقُولُواْ سَمِعۡنَا وَأَطَعۡنَاۚ وَأُوْلَٰٓئِكَ هُمُ ٱلۡمُفۡلِحُونَ ٥١ النور.

“Sesungguhnya perkataan yang diucapkan oleh orang-orang yang beriman ketika mereka diajak kepada Kitab Allah dan Sunnah RasulNya, supaya menjadi hakim memutuskan sesuatu di antara mereka, hanyalah mereka berkata: Kami dengar dan kami taat: dan mereka itulah orang-orang yang beroleh kejayaan.” (Surah An-Nur: 51)

Firman Allah:

وَمَا كَانَ لِمُؤۡمِنٖ وَلَا مُؤۡمِنَةٍ إِذَا قَضَى ٱللَّهُ وَرَسُولُهُۥٓ أَمۡرًا أَن يَكُونَ لَهُمُ ٱلۡخِيَرَةُ مِنۡ أَمۡرِهِمۡۗ وَمَن يَعۡصِ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُۥ فَقَدۡ ضَلَّ ضَلَٰلٗا مُّبِينٗا ٣٦ الأحزاب

“Dan tidaklah harus bagi orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan apabila Allah dan Rasul-Nya menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara (tidaklah harus mereka) mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka. Dan sesiapa yang tidak taat kepada hukum Allah dan Rasul-Nya maka sesungguhnya dia telah sesat dengan kesesatan yang jelas nyata.” (Surah Al-Ahzab: 36)

Allah mengajar hamba-Nya yang beriman dan budiman termasuk Rasul supaya berdoa memohon hidayah setiap rakaat solatnya.

اهدنا الصراط المستقيم (الفاتحة)

“Wahai Tuhan Kami! Tunjuklah kepada kami jalan yang betul”

Adapun mereka yang sombong itu jauh sekali daripada bersolat. Namun Allah memerintah konsep tidak ada paksaan dalam agama dengan firman-Nya:

لَآ إِكۡرَاهَ فِي ٱلدِّينِۖ قَد تَّبَيَّنَ ٱلرُّشۡدُ مِنَ ٱلۡغَيِّۚ فَمَن يَكۡفُرۡ بِٱلطَّٰغُوتِ وَيُؤۡمِنۢ بِٱللَّهِ فَقَدِ ٱسۡتَمۡسَكَ بِٱلۡعُرۡوَةِ ٱلۡوُثۡقَىٰ لَا ٱنفِصَامَ لَهَاۗ وَٱللَّهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ ٢٥٦ ٱللَّهُ وَلِيُّ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ يُخۡرِجُهُم مِّنَ ٱلظُّلُمَٰتِ إِلَى ٱلنُّورِۖ وَٱلَّذِينَ كَفَرُوٓاْ أَوۡلِيَآؤُهُمُ ٱلطَّٰغُوتُ يُخۡرِجُونَهُم مِّنَ ٱلنُّورِ إِلَى ٱلظُّلُمَٰتِۗ أُوْلَٰٓئِكَ أَصۡحَٰبُ ٱلنَّارِۖ هُمۡ فِيهَا خَٰلِدُونَ ٢٥٧  البقرة

“Tidak ada paksaan untuk (memasuki) agama (Islam); sesungguhnya telah jelas jalan yang benar daripada jalan yang sesat. Kerana itu barangsiapa yang ingkar kepada Thaghut (pelampau sempadan Allah) dan beriman kepada Allah, maka sesungguhnya ia telah berpegang kepada buhul tali (simpulan) yang amat kuat yang tidak akan putus. Dan Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. (256) Allah Pelindung orang-orang yang beriman; Dia mengeluarkan mereka dari kegelapan (kekafiran) kepada cahaya (iman). Dan orang-orang yang kafir, pelindung-pelindungnya ialah syaitan, yang mengeluarkan mereka dari cahaya kepada kegelapan (kekafiran). Mereka itu adalah penghuni neraka; mereka kekal di dalamnya. (257)” (Surah Al-Baqarah: 256-257)

Allah juga berfirman:

وَقُلِ ٱلۡحَقُّ مِن رَّبِّكُمۡۖ فَمَن شَآءَ فَلۡيُؤۡمِن وَمَن شَآءَ فَلۡيَكۡفُرۡۚ إِنَّآ أَعۡتَدۡنَا لِلظَّٰلِمِينَ نَارًا أَحَاطَ بِهِمۡ سُرَادِقُهَاۚ وَإِن يَسۡتَغِيثُواْ يُغَاثُواْ بِمَآءٖ كَٱلۡمُهۡلِ يَشۡوِي ٱلۡوُجُوهَۚ بِئۡسَ ٱلشَّرَابُ وَسَآءَتۡ مُرۡتَفَقًا ٢٩ الكهف

“Dan katakanlah (wahai Muhammad): Kebenaran itu ialah yang datang dari Tuhan kamu, maka sesiapa yang mahu beriman, hendaklah dia beriman dan sesiapa yang mahu kufur ingkar, biarlah dia mengingkarinya. Kerana Kami telah menyediakan bagi orang-orang yang berlaku zalim itu Api Neraka, yang meliputi mereka laksana khemah; dan jika mereka meminta pertolongan kerana dahaga, mereka diberi pertolongan dengan air yang seperti tembaga cair yang membakar muka; amatlah buruknya minuman itu dan amatlah buruknya Neraka sebagai tempat bersenang-senang.” (Surah Al-Kahfi: 29)

Namun Allah membuat keputusan yang Maha Adil pada Hari Kiamat melalui Mahkamah-Nya yang dinyatakan:

ٱلۡيَوۡمَ نَخۡتِمُ عَلَىٰٓ أَفۡوَٰهِهِمۡ وَتُكَلِّمُنَآ أَيۡدِيهِمۡ وَتَشۡهَدُ أَرۡجُلُهُم بِمَا كَانُواْ يَكۡسِبُونَ ٦٥ يس

“Pada waktu itu Kami meteraikan mulut mereka (sejurus) dan (memberi peluang kepada) tangan-tangan mereka memberitahu Kami (kesalahan masing-masing) dan kaki mereka pula menjadi saksi tentang apa yang mereka telah usahakan.” (Surah Yasin: 65)

Terkini kita menyaksikan dengan sedikit ilmu kurniaan Allah manusia dapat mencipta alat-alat rakaman suara dan filem bergerak (video). Maka Ilmu dan Kuasa Allah tiada bandingan.

Terpulang kepada mereka yang merasa dirinya sangat bijak supaya muhasabah diri sekarang atau mahu menunggu sehingga tibanya hari kematiannya dan perkara yang dijanjikan itu betul atau tidak.

Kepada orang-orang yang beriman dan budiman cukup dengan para Rasul yang wajib bersifat benar, amanah berakhlak mulia, berani menyampaikan dan sangat bijak yang disaksikan oleh kaum di zaman masing-masing.

Firman Allah:

۞قُلۡ إِنَّمَآ أَعِظُكُم بِوَٰحِدَةٍۖ أَن تَقُومُواْ لِلَّهِ مَثۡنَىٰ وَفُرَٰدَىٰ ثُمَّ تَتَفَكَّرُواْۚ مَا بِصَاحِبِكُم مِّن جِنَّةٍۚ إِنۡ هُوَ إِلَّا نَذِيرٞ لَّكُم بَيۡنَ يَدَيۡ عَذَابٖ شَدِيدٖ ٤٦ سبأ

 “Katakanlah (wahai Muhammad S.A.W): Aku hanyalah mengajar dan menasihati kamu dengan satu perkara sahaja, iaitu: Hendaklah kamu bersungguh-sungguh berusaha mencari kebenaran kerana Allah semata-mata (dengan ikhlas), sama ada dengan cara berdua (dengan orang lain) atau seorang diri; kemudian hendaklah kamu berfikir sematang-matangnya (untuk mengetahui salah benarnya ajaran-Ku). Sebenarnya tidak ada pada (Muhammad S.A.W.) yang menjadi sahabat kamu sebarang penyakit gila (sebagaimana yang dituduh); dia hanyalah seorang Rasul pemberi amaran kepada kamu, sebelum kamu ditimpa azab yang berat (di akhirat).” (Surah Saba’: 46)

Seterusnya Allah mencabar dengan amaran:

وَإِن كُنتُمۡ فِي رَيۡبٖ مِّمَّا نَزَّلۡنَا عَلَىٰ عَبۡدِنَا فَأۡتُواْ بِسُورَةٖ مِّن مِّثۡلِهِۦ وَٱدۡعُواْ شُهَدَآءَكُم مِّن دُونِ ٱللَّهِ إِن كُنتُمۡ صَٰدِقِينَ ٢٣ فَإِن لَّمۡ تَفۡعَلُواْ وَلَن تَفۡعَلُواْ فَٱتَّقُواْ ٱلنَّارَ ٱلَّتِي وَقُودُهَا ٱلنَّاسُ وَٱلۡحِجَارَةُۖ أُعِدَّتۡ لِلۡكَٰفِرِينَ ٢٤ البقرة

 “Dan kalau kamu ada menaruh syak tentang apa yang Kami turunkan (Al-Quran) kepada hamba kami (Muhammad S.A.W.), maka cubalah buat dan datangkanlah satu surah yang sebanding dengan Al-Quran itu dan panggilah orang-orang yang kamu percaya boleh menolong kamu selain dari Allah, jika betul kamu orang-orang yang benar. (23) Maka kalau kamu tidak dapat membuatnya dan sudah tentu kamu tidak dapat membuatnya, maka peliharalah diri kamu dari api Neraka yang bahan-bahan bakarannya: Manusia dan batu-batu (berhala), (iaitu Neraka) yang disediakan untuk orang-orang kafir. (24)” (Surah Al-Baqarah: 23-24)

Ayat ini menegaskan bahawa Al-Quran adalah mukjizat ilmu bagi semua bidang, lapangan dan jurusannya yang tidak mampu dicipta sepertinya oleh manusia dan Nabi Muhammad S.A.W adalah pilihan dan perlantikan Allah. Hukuman yang keras kerana balasan tidak mengikut petunjuk Allah Pencipta Alam menyebabkan kemusnahan alam, termasuk manusia sendiri yang menjadi makhluk perosak alam semesta.

Firman Allah:

ظَهَرَ ٱلۡفَسَادُ فِي ٱلۡبَرِّ وَٱلۡبَحۡرِ بِمَا كَسَبَتۡ أَيۡدِي ٱلنَّاسِ لِيُذِيقَهُم بَعۡضَ ٱلَّذِي عَمِلُواْ لَعَلَّهُمۡ يَرۡجِعُونَ ٤١ الروم

“Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan-tangan manusia; (timbulnya yang demikian dialam dunia ini) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).” (Surah Ar-Rum: 41)

“Sejahtera Bersama Islam”

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS

Bertarikh:  22 Zulhijjah 1438 / 13 September 2017