Home Artikel PAS Selangor

Malam Ribat Amal Selangor Perkukuh Ukhuwah

514
SHARE

Oleh : Muhammad Faiz Mukmin

Bangi, 8 September 2017 – Jabatan Amal Malaysia Kawasan Serdang telah berjaya menganjurkan Malam Ribat Amal Negeri Selangor. Program yang dihadiri lebih 130 orang peserta telah diadakan di Surau Al-Kauthar Seksyen 4 Bandar Baru Bangi.

Program dimulai dengan kuliah maghrib oleh Prof Madya Dr Muhammad b Ibrahim dengan tajuk Pemakanan Sihat Dari Perspektif Islam. Usai solat isya’, para peserta dijamukan dengan nasi putih, sup kambing dan daging goreng.

Para peserta kemudian berkumpul di dewan Surau Al-Kauthar bagi meneruskan acara Malam Ribat Amal. Majlis dimulakan dengan ucapan Tuan Mohd Nazree Mohd Aris selaku Pengarah Jabatan Amal Pusat. Beberapa pesanan beliau kepada peserta menyentuh soal anggota amal harus menekankan keikhlasan ketika bertugas, meningkatkan ilmu pengetahuan sehingga sebaris dengan badan beruniform lain seperti Bomba dan JPAM.

Selain itu Tuan Nazree juga sangat menitik beratkan soal ibadah khusus yang perlu dilakukan oleh anggota amal seperti membaca al-Quran setiap hari dan beberapa amalan sunat yang lain. Hal ini bagi membentuk anggota yang bukan sahaja hebat dari sudut gerak kerja dan fizikalnya malah hebat dari sudut sahsiah dan rohaninya, sesuai dengan imej Islam yang dibawa oleh PAS.

Slot seterusnya kemudian diisi oleh Al-Fadhil Ustaz Hazmi Dibok, Pengerusi Lajnah Akademik Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Pusat, juga Ketua Pemuda PAS Pahang. Al-Fadhil Ustaz telah mengupas di bawah tajuk ‘Inilah Jalan Kita’. Tajuk ini dipilih bagi menjelaskan dan memurnikan fikrah ahli Jabatan Amal dalam keadaan suasana politik yang penuh dengan tohmahan dan fitnah.

Al-Fadhil Ustaz menarik perhatian para hadirin bahawa jalan perjuangan yang dilalui ini dipandu oleh para ulama yang mencontohi sirah Rasulullah. Para ulama ini bukan sahaja mengamalkan Sunnah dari sudut pakaian ataupun sekadar memberi kuliah harian malah lebih holistik dengan keterlibatan di dalam politik seperti yang dilakukan oleh Rasulullah.

Mengaitkan Jabatan Amal dan jihad Al-Fadhil Ustaz meletakkan Jabatan Amal bukan sekadar memahami secara teori di dalam usrah tetapi turun kelapangan dan menterjemahnya dalam masyarakat.

Sebelum program ditangguhkan, para peserta dihidangkan dengan bacaan puisi oleh Saudara Baharuddin, puisi yang direka khas itu berjaya menghidupkan suasana program pada malam tersebut.

Pihak penganjur jelas teruja dengan kehadiran yang memberangsangkan dan mengucapkan ribuan terima kasih kepada peserta yang sudi hadir dan bermalam di Surau Al-Kauthar.

 

{jathumbnail off}