Kerahan Membuat Laporan Polis Kenyataan Siti Kassim dan Solat Hajat
Siti Kasim sekali lagi mengeluarkan kenyataan biadap dan menghina Islam dengan menyatakan mimpi Nabi Ibrahim mengorbankan anaknya Nabi Ismail adalah bukan dari Tuhan. Beliau yang kini cukup sinonim dengan kutukan ke atas agama berkata demikian dalam ucapan Hari Raya Aidil Adha minggu lalu.
Katanya, Quran tidak pernah nengatakan bahawa Tuhan menyuruh Nabi Ibrahim membunuh anak lelakinya Nabi Ismail. Katanya lagi, Quran tidak pernah mengatakan bahawa mimpi tersebut adalah dari Tuhan. Rujuk tulisan dari facebook yang dipercayai milik Siti Kasim melalui pautan berikut : https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=10214229724239844&id=1317155576. Tulisan tersebut dimuat naik pada 1 September jam 9:47 pagi.
Manakala pada 10 September pula melalui pautan https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=10214308850777958&id=1317155576. Juga telah membawa tafsiran dan pengertian menyimpang dan menyesatkan mengenai pengorbanan, yakni merujuk kepada tindakan yang dilakukan Nabi Ibrahim A.S dan anaknya, Nabi Ismail A.S.
Penulis telah menyebut orang-orang Melayu mengikuti sahaja suruhan dari pemimpin agama mereka merujuk terhadap amalan ibadah korban seolah-olah cuba menggambarkan bahawa ia dilaksanakan secara membuta tuli. Beliau secara sewenang-wenangnya dalam tulisan itu telah menyangkal bahawa mimpi Nabi Ibrahim daripada Allah S.W.T. Malah, secara songsang mengaitkan korban dengan pembunuhan, sedangkan ia dua perkara yang jauh berbeza melibatkan antara ibadah dengan jenayah. Beliau juga memberi kesimpulan bahawa tindakan Nabi Ibrahim adalah satu pelanggaran (dosa) dan bertentangan al-Quran.
Kenyataan dibuat beliau itu jelas bertentangan dengan apa yang diajar oleh Islam.Sedangkan Allah S.W.T merakamkan peristiwa tersebut secara jelas melalui surah As-Saffat yang bermaksud:Ibrahim berkata : “Hai anakkku sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahwa aku menyembelihmu “Maka fikirkanlah apa pendapatmu? Ismail menjawab: Wahai bapakku kerjakanlah apa yang diperintahkan kepadamu. InsyaAllah engkau akan mendapatiku termasuk orang yang sabar.” (As-saffat: 102)
Aidil Adha disambut bagi memperingati peristiwa tersebut sebagai pengorbanan Nabi Ibrahim demi membuktikan cintanya kepada Allah Maha Esa.Sebagai umat Islam yang memandu hidup dengan pegangan al-quran, tidak timbul lagi keraguan di setiap lafaz suci yang terakam. Memanipulasi sendiri maksud dan intipati ayat al-quran mengikut kehendak dan kejahilan merupakan satu kesalahan besar umat Islam. Oleh itu, kami begitu kesal dengan tindakan melampau beliau yang semakin hari semakin mencabar kesucian agama.
Justeru, Dewan Muslimat PAS Malaysia menyeru semua Dewan Muslimat PAS Negeri, NGO dan seluruh pertubuhan mahupun individu membuat aduan kepada pihak berkuasa di atas kenyataan yang menghina ajaran Islam dan mendesak pihak bertanggungjawab tidak membiarkan ideologi songsang itu terus merebak. Tindakan serius perlu difikirkan dan diambil segera.
Marilah sama-sama kita mengadakan solat hajat dan mendoakan semoga Siti Kasim memperoleh hidayah dan sedar akan perbuatan yang dilakukan beliau itu.
“Sejahtera Bersama Islam”
“Muslimat Memacu Kemenangan”
USTAZAH NURIDAH MOHD SALLEH
Ketua,
Dewan Muslimat PAS Malaysia
20 Zulhijjah 1438
11 September 2017