AJARAN SABAR NABI YA’QUB & NABI YUSUF.
Setelah abang-abang Nabi Yusuf menjalankan makar, mereka kembali dalam keadaan menangis palsu teresak-esak di khalayak ramai untuk menagih simpati. Menyatakan kononnya betapa sedihnya mereka. Sedangkan merekalah pelaku onar yang sebenar.
Walaupun taktik mereka lapuk dan kelihatan kebudak-budakan lagi memualkan, ia kekal efektif sampai bila-bila dipraktikkan oleh pelaku fitnah.
Nabi Yusuf yang menjadi mangsa, dibuang dan dibiarkan bersendirian tanpa pembelaan sewajarnya. Sementara ayah mereka, Nabi Ya’qub menangis keseorangan hingga buta kerana menanggung kesedihan seorang diri.
Kesedihan orang-orang yang soleh diajukan kepada Allah. Mereka tidak memerlukan simpati manusia dengan sandiwara yang menjentik emosi.
Sementara abang-abang Nabi Yusuf yang jahat mengiklankan tangisan buaya mereka. Guna untuk memperdaya serta mengeksploit emosi orang ramai.
Jika difikirkan apalah salah Nabi Yusuf yang hanya mahu ikut bermain bersama abang-abangnya. Gara-gara iri hati dan merasa terancam, abang-abang Nabi Yusuf sanggup cuba membunuh adik mereka sendiri. Apatah lagi setelah adik mereka menyaksikan peristiwa yang tidak disaksikan oleh mereka.
Inilah panduan Surah Yusuf, yang mengajar kita mengenali akalan jahat manusia. Sememangnya fitnah memakan masa yang cukup lama untuk dizahirkan bahawa fitnah adalah fitnah. Bahkan selalunya pelaku fitnah pandai menzahirkan watak baik dan sayu di pandangan mata manusia.
Persoalannya, adakah kita mampu bersabar seperti Nabi Yusuf dan Nabi Ya’qub bersabar?
فَصَبْرٌ جَمِيلٌ ۖ وَاللَّهُ الْمُسْتَعَانُ عَلَىٰ مَا تَصِفُونَ
“Maka kesabaran yang baik itulah sikapku. Dan Allah jualah Tuhan yang diminta pertolongan terhadap apa yang kamu ceritakan” Yusuf – 18.
Ust Abdul Mu’izz Muhammad
Ketua Urusan Ulamak
PAS Kawasan Klang