SURAH AL KAHFI: AYAT 9-12: MUQADDIMAH KISAH ASHAB AL-KAHFI
? Firman Allah serta terjemahannya:
اَمْ حَسِبْتَ اَنَّ اَصْحٰبَ الْـكَهْفِ وَالرَّقِيْمِ ۙ كَانُوْا مِنْ اٰيٰتِنَا عَجَبًا ٩
Adakah engkau menyangka (wahai Muhammad), bahawa kisah “Ashabul Kahfi” dan “Ar-Raqiim” , mereka termasuk tanda-tanda kekuasan Kami yang menghairankan?
اِذْ اَوَى الْفِتْيَةُ اِلَى الْـكَهْفِ فَقَالُوْا رَبَّنَاۤ اٰتِنَا مِنْ لَّدُنْكَ رَحْمَةً وَّهَيِّئْ لَـنَا مِنْ اَمْرِنَا رَشَدًا ١٠
(Ingatlah) ketika pemuda-pemuda itu mencari tempat berlindung ke gua, lalu mereka berdoa, “Wahai Tuhan kami! Kurniakanlah kami rahmat dari sisiMu, dan sempurnakanlah bagi kami petunjuk yang lurus dalam urusan kami (ini)”
فَضَرَبْنَا عَلٰٓى اٰذَانِهِمْ فِى الْـكَهْفِ سِنِيْنَ عَدَدًا ١١
Lalu Kami tutup telinga mereka beberapa tahun dalam gua itu
ثُمَّ بَعَثْنٰهُمْ لِنَعْلَمَ اَيُّ الْحِزْبَيْنِ اَحْصٰى لِمَا لَبِثُوْۤا اَمَدًا ١٢
Kemudian Kami bangkitkan mereka (dari tidurnya), untuk Kami menguji siapakah dari dua golongan di antara mereka yang lebih tepat kiraannya, tentang lamanya mereka tinggal (dalam gua itu).
? Tafsir ringkas:
1. Ayat 9-12 ini diturunkan bagi menceritakan kisah pelik namun benar tentang pemuda-pemuda yang telah ditidurkan oleh Allah selama ratusan tahun.
2. Allah SWT menceritakan kisah pemuda Al-Kahfi bagi membuktikan tidak ada perkara pelik yang berlaku, termasuk kejadian siang dan malam, penciptaan langit dan bumi, melainkan semuanya di bawah pengetahuan dan kekuasaan Allah SWT.
3. Pemuda Al-Kahfi telah bersembunyi di dalam gua bagi tujuan berlindung dan memisahkan diri daripada kaum mereka yang telah sesat.
4. Dengan kuasa Allah, pemuda-pemuda ini telah ditidurkan oleh Allah selama ratusan tahun. Kemudiannya Allah telah membangkitkan semula mereka untuk merungkaikan persoalan tentang berapa lama tempoh mereka tidur.
? Pengajaran:
1. Orang muda berjiwa kental seharusnya tegas memperjuang kebenaran dan menolak kebatilan.
2. Orang muda bertanggungjawab menyeru kepada kemakrufan dan mencegah kemungkaran dengan bersungguh-sungguh kerana orang muda mempunyai kelebihan tubuh badan yang sihat dan jiwa yang berkobar-kobar.
3. Tugas dakwah terletak di bahu semua tidak kira golongan muda mahupun tua. Kita tidak seharusnya menunggu sehingga diri sudah sempurna baru hendak berdakwah. Yakinlah bahawa Allah berkuasa memberi hidayah dan petunjuk kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya.
4. Doa itu senjata orang mukmin. Teruskan berdoa agar diberi rahmat dan petunjuk serta dijauhi daripada kesesatan sebagaimana pemuda Al-Kahfi berdoa memohon perlindungan dari Allah SWT.
? Rujukan:
Sahih Tafsir Ibnu Katsir
Disusun oleh:
Lajnah Dakwah DMPM dengan kerjasama Ameerah dan Lajnah Dakwah DMPK Gombak.
Tarikh: 25.8.2017 / 3 Zulhijjah 1438
{jathumbnail off}