Home Berita PAS Pahang

Sungai Cemperah, Lipis tercemar

745
SHARE

 

KUALA LIPIS: PAS Lipis menggesa pihak berkaitan menangani masalah pencemaran dari aliran air larut resap (leachate) di pusat pembuangan sampah di Kampung Tempoyang.

 

Timbalan Yang Dipertua PAS Lipis, Roslan Zainal berkata, aliran leachate mengalir ke longkang besar dan seterusnya ke Sungai Cemperah dan akhirnya masuk ke Sungai Lipis.

 

Menurutnya, aliran leachate yang tidak dirawat tersebut berkemungkinan berpunca daripada kerosakan loji rawatan pusat tersebut yang tidak dibaiki atau dibiarkan tanpa penyelenggaraan yang betul.

 

“Ini menyebabkan berlakunya pencemaran di Sungai Cemperah dan Sungai Lipis selain gangguan ekosistem sungai.

 

“Air sungai yang tercemar juga mengakibatkan bacaan nephelometic (NTU) menjadi tinggi serta menyebabkan loji air ditutup kerana kekeruhan air mentah daripada sungai,” katanya di sini, kelmarin.

 

Beliau yang juga Setiausaha Perhubungan PAS negeri berkata, terdapat juga longgokan sampah di Sungai Cemperah yang mengalir di hadapan pintu masuk ke pusat pembuangan sampah tersebut.

 

Tambahnya, sampah tersebut sewajarnya dipungut dan dilupuskan dengan betul oleh pihak berkaitan.

 

“Kami berharap pihak bertanggungjawab mengambil tindakan segera menangani masalah tersebut dan memastikan pihak operator pusat pembuangan sampah berkenaan mematuhi prosedur standard yang ditetapkan.

 

“Ini bagi memastikan pencemaran tidak lagi berlaku sekali gus dapat menjadikan alam sekitar bersih dan sihat,” katanya.