KENYATAAN MEDIA
Ahli Dewan Undangan Negeri Tepoh
14 Ogos 2017 | 21 Zulkaedah 1438H
PENUBUHAN MAJLIS PETROLEUM TERENGGANU : ROYALTI MINYAK DAN TUNTUTAN KEMBALI TELAGA MINYAK BERTAM PERLU DIJADIKAN AGENDA UTAMA
1. Cadangan penubuhan Majlis Petroleum Terengganu (TPC) yang akan berfungsi untuk melindungi hak dan kepentingan negeri dalam industri minyak dan gas di negeri Terengganu. Kami difahamkan juga, ia sebuah entity baharu yang akan bertindak sebagai platform bagi kerajaan negeri merencana, menyelaras dan memantau urusan yang berkaitan dengan industri petroleum di negeri ini. Di samping itu, ia turut mendapat mandat mengkaji kemungkinan dan mengenal pasti potensi manfaat untuk rakyat di sepanjang nilai rantaian industri berkenaan.
2. Justeru, kami mencadangkan agar TPC perlu diberikan sokongan oleh dewan undangan negeri Terengganu yang bersidang pada hari ini untuk mendapat mandat yang lebih besar bagi meletakkan keutamaan mengembalikan royalti minyak untuk rakyat negeri Terengganu dan bukan lagi hanya menerima atas nama ‘ehsan’ atau ‘dana khas persekutuan’. Malahan tuntutan kembali hak kawasan minyak di Blok PM 307 Bertam hendaklah diseiringkan bersama. Usaha kami membawa usul tergempar pada hari ini di bawah Peraturan Majlis Mesyuarat Fasal 30 Peraturan-Peraturan Dan Perintah Tetap Dewan Undangan Negeri Terengganu adalah untuk memperkukuhkan kedua kepentingan rakyat ini.
3. Inilah dua kes besar yang perlu untuk dibuktikan oleh pihak TPC dalam mengfungsikan hasrat penubuhannya. Amat malang kalau penubuhan ini hanya untuk membuktikan Terengganu tidak ketinggalan berbanding Sarawak dalam menuntut hak negeri melalui penubuhan syarikat petroleum negeri yang diasaskan oleh pihak kerajaan negeri Sarawak. Lebih malang juga, seandainya ia ditubuhkan untuk melunakkan perasaan rakyat demi mendepani PRU dalam tempoh terdekat.
4. Rakyat akan menilai perkembangan ini dengan lebih cermat dan meletakkan keutamaan yang dinyatakan ini sebagai komitmen yang mesti dibuktikan sepenuhnya oleh pihak TPC.
Sekian, terima kasih.
“Sejahtera Bersama Islam”
Y.B HISHAMUDDIN BIN ABDUL KARIM
Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Tepoh
Terengganu Darul Iman
{jathumbnail off}