JELAJAH HIJAU SEMBOYAN “SEDIA MEMERINTAH” PRU14
Jelajah Hijau Dewan Pemuda PAS Malaysia sangat signifikan untuk dihadiri oleh seluruh teraju utama kepimpinan pemuda di setiap kawasan negeri Perak untuk mendengar amanat dan strategi dari pimpinan tertinggi pemuda dalam merencana gerak kerja PRU14 serta memastikan tema Sedia Memerintah yang diangkat dalam muktamar yang lepas dapat direalisasikan.
Kehadiran anda ke program ini menuntut pengorbanan yang besar. Kepentingan jemaah harus diutamakan mengatasi kepentingan peribadi.
Perniagaan, kuliah, ladang, kebun, sawah, isteri, anak-anak sayugianya tidak menjadi dinding penghalang untuk kita hadir dalam jihad politik ini.
Singkaplah sirah perang ahzab yang baru sahaja kita laung-laungkan dalam takbir Idul Adha baru-baru ini dalam menuntun jihad siyasi kita.
Para sahabat r.a sanggup meninggalkan pekerjaan harian mereka demi Islam. Sanggup menahan kelaparan yang melampau dalam usaha menggali parit sebagai benteng mempertahankan kesucian Islam.
Kita boleh mencipta alasan untuk tidak hadir sebagaimana kita juga boleh mencari alasan untuk hadir. Namun, adakah alasan ketidakhadiran kita diterima oleh Allah yang Maha Mengetahui semua perkara yang zahir dan tersembunyi, hakikat dan realiti?
Justeru itu, saya menyeru dan menagih tenaga, masa dan sedikit wang ringgit para pemuda PAS seluruh negeri Perak untuk sama-sama kita hadir dalam usaha memartabatkan Islam di atas bumi bertuah ini.
“SEJAHTERA BERSAMA ISLAM”
“MARA MENUJU CITA”
“SEDIA MEMERINTAH”
MOHD ZAHID BIN ABU BAKAR
Naib Ketua Pemuda,
Dewan Pemuda PAS Negeri Perak.