Home Tadabbur Al-Quran

Tadabbur Al Quran Siri 03/2017

1174
SHARE

Surah Al Kahfi : ayat 6-8: MOTIVASI BUAT NABI MUHAMMAD KETIKA MENGHADAPI CABARAN BERDAKWAH

Firman Allah serta terjemahannya:

Maka jangan-jangan pula engkau (wahai Muhammad), membinasakan dirimu disebabkan menanggung dukacita terhadap kesan-kesan perbuatan buruk mereka, jika mereka enggan beriman kepada keterangan Al-Quran ini. (6)

Sesungguhnya Kami telah jadikan apa yang ada di muka bumi sebagai perhiasan baginya, kerana kami hendak menguji mereka, siapakah di antaranya yang lebih baik amalnya. (7)

Dan sesungguhnya Kami akan jadikan apa yang ada di bumi itu (punah-ranah) sebagai tanah yang tandus. (8)

Tafsir ringkas:

1. Ayat ini diturunkan bagi menghiburkan Rasulullah s.a.w yang sedang bersedih terhadap orang-orang musyrik, lantaran mereka tidak beriman serta menjauhi baginda s.a.w.

2. Allah s.w.t memujuk Rasulullah s.a.w agar tidak berterusan berada dalam keadaan bersedih hati tetapi perlu meneruskan dakwah Islam, kerana hidayah Allah akan menjadi milik orang-orang yang mengikut petunjuk Allah.

3. Seterusnya, Allah s.w.t memberitahu bahawa Dia menjadikan dunia ini sebagai negeri yang fana (sementara) dan juga sebagai tempat ujian.

4. Allah juga memberitahu bahawa Dia akan menghancurkan serta membinasakan dunia ini sehingga menjadi tanah yang tandus lagi kering, yang tidak dapat menumbuhkan tanaman dan juga tidak dapat dimanfaatkan.

Pengajaran:

1. Jangan bersedih atau kecewa andai ada yang masih belum dapat menerima apa yang kita sampaikan.

2. Tanggungjawab kita adalah menyebarkan dakwah dengan bersungguh-sungguh. Samada orang yang diseru itu akan menerima ataupun menolaknya, ia merupakan kehendak daripada Allah s.w.t.

3. Allah mengganjari pahala bukan berdasarkan kemenangan yang kita perolehi, tetapi berdasarkan sebanyak mana usaha dakwah yang kita telah usahakan.

4. Jadikan dunia ini sebagai ladang Akhirat kita, dengan bersama-sama mengajak masyarakat sekeliling untuk meningkatkan amal ibadah serta menjauhi segala laranganNya.

5. Teruskan berdoa agar kita semua sentiasa mendapat hidayahNya dalam apa jua yang kita lakukan serta Islam benar-benar dapat ditegakkan dalam negara kita.

Rujukan:
Sahih Tafsir Ibnu Katsir

Disusun oleh:
Lajnah Dakwah DMPM dengan kerjasama Ameerah dan Lajnah Dakwah DMPK Gombak
Tarikh: 18.8.2017 / 25 Zulqaedah 1438

{jathumbnail off}