RUU 355 DAN UNDANG-UNDANG TANPA ROH
Apabila adanya tindakan undang-undang terhadap sesuatu kesalahan dan salah laku, maka itulah sahaja yang dihebohkan dan menjadi berita hangat terkini. Kemudian hilang pergi seperti gas Pepsi Cola apabila dicabut penutup tanpa melakukan muhasabah terhadap kesan undang-undang itu secara menyeluruh dan melihat kejayaan atau kegagalan dalam mengatasi salah laku tersebut serta sejauhmana memberi kesan dalam mendidik masyarakat.
Masyarakat dilupakan bahawa perkembangan jenayah dan salah laku semakin meningkat, caranya makin licik dan lapangannya lebih meluas, sehingga gagal dibendung dan kesannya menjadi lebih parah walaupun ditangkap ikan jerung yang besar.
Hari ini, isu rasuah yang dihadapkan dengan tegas secara undang-undang menjadi berita utama dan berita perdana, sedangkan perkara jenayah dan maksiat juga semakin parah seperti diperkecilkan atau dilupakan.
Dahulunya rasuah sekadar duit angka ribu dan puluhan ribu, kini sudah mencecah angka juta dan kehilangan berbilion-bilion melibatkan semua peringkat, sama ada yang bergaji kecil kerana pendapatan yang tidak mencukupi dan memaksakan, sehingga yang bergaji sangat besar untuk menjadi kaya raya dan menambahkan kekayaan dengan kejahatannya.
Jenayah pula bukan lagi di tahap mencuri kecil-kecilan, menyelup saku dan merompak di rumah, tetapi sudah sampai merompak bank dan kedai mewah yang dikawal rapi dengan senjata dan berbilik kebal, merompak di waktu siang hari di tengah bandar sehingga melanun kapal besar di laut dan ada yang menyambar duit negara. Jenayah lebih parah lagi dengan kes membunuh ahli keluarga tersayang seperti ibu dan bapa.
Maksiat pula sehingga ke tahap membuang anak ke dalam tong sampah, mengedar dan menagih dadah di setiap lorong.
Ini menunjukkan bahawa tindakan undang-undang hari ini laksana hanya memukul nyamuk di badan sahaja bagi menjauhi penyakit yang berpunca daripadanya tanpa membersihkan longkang yang membiakkan nyamuk merbahaya itu, atau mencari ubat yang dapat membunuhnya dengan lebih berkesan.
Hanya dilihat tindakan undang-undang yang diwar-warkan sebagai salah satu daripada pendekatan bagi mengatasi masalah penyakit manusia dan masyarakatnya. Namun tidak dilihat pendekatan yang lain, di mana mencegah kemungkaran sebelum berlaku sepatutnya didahulukan dengan mendidik masyarakat berjati diri manusia dan berakhlak melalui pengajian yang berkesan dan media yang membantu.
Tidak dilihat juga bahawa undang-undang itu sendiri hendaklah munasabah dengan kejadian manusia mengikut fitrahnya, dan rantaiannya dengan aspek yang lain, seperti politik, ekonomi, pendidikan dan kemasyarakatan. Sehingga perkara ini bukan sahaja menjadi kewajipan kerajaan, bahkan melibatkan rakyat di semua peringkat.
Di sinilah perlu kembali kepada kebijaksanaan Allah Pencipta Alam termasuk manusia, namun dilupakan Ilmu Allah dan Kebijaksanaan-Nya. Betapa banyak Rahmat-Nya tidak terhingga sehingga dalam perkara di luar kotak kemampuan manusia. Mereka lupakan Allah kerana keangkuhan tanpa sedar dirinya masih banyak kelemahan, lalu mencipta undang-undang sendiri dalam perkara yang tidak diizinkan oleh Alllah walaupun banyak ruang yang diizinkannya, tetapi diputuskan pula hubungan mata rantainya dengan petunjuk Allah yang menyeluruh dan sempurna.
Dalam aspek undang-undang perlu dibuat perbandingan di antara syariat Allah dan undang-undang ciptaan manusia dalam perkara yang sama. Demi menyelesaikan masalah secara jujur, bukan sekadar menunjukkan kuasa tanpa kehaibatannya, bagi tujuan mengubati masalah untuk kebaikan semua.
Contohnya dalam mengatasi masalah yang nyata kemanusiaannya, iaitu perjuangan menentang amalan perhambaan sesama manusia, adanya persamaan konsep barat dan Islam, tetapi Islam berdasarkan aqidah atau iman yang tidak ada dalam undang-undang barat. Walaupun undang-undang barat ciptaan manusia mengharamkannya dengan keras dan tegas, namun gagal pada dasarnya sehingga bertukar cara perhambaan yang lebih parah dan kejam terhadap yang lemah khususnya kaum wanita
Abraham Lincoln, salah seorang Presiden Amerika yang menjadi kebanggaan dunia barat dan pengikutnya kerana memperkenalkan undang-undang baru bagi menghapus perhambaan di negaranya dengan tegas mengharamkan perhambaan, sehingga beliau mati dibunuh. Walaupun undang-undang baru itu diteruskan, tetapi amalan menghina warga bukan kulit putih masih berterusan sehingga kini, dan berleluasanya perhambaan secara moden yang lebih kejam dan ganas, daripada memperhambakan manusia kepada memperhambakan negara yang lemah.
Jenayah di negara itu juga makin meningkat sehingga membunuh kanak-kanak di sekolah, menunjukkan betapa sudah melampau sehingga di luar perikemanusiaan, berlakunya di negara besar yang paling maju, kaya dan lantang memperjuangkan hak asasi manusia dan kebebasannya. Mereka juga mempunyai undang-undang yang keras dan tegas terhadap pelakunya.
Sejarah Islam yang dilupakan telah berjaya mengatasi masalah perhambaan tidak secara mengharamkannya, tetapi melalui pendekatan mendidik dan menghukum, walaupun menghadapi masyarakat yang suka berperang dan merompak serta menculik.
Islam mengambil pendekatan mendidik dan mengenakan undang-undang takzir terhadap salah laku, bukan sahaja Hudud dan Qisas yang dikhususkan ke atas kesalahan jenayah yang berat dengan hukuman menggerunkan dengan syarat-syarat yang ketat dan banyak halangan untuk menjatuhkan hukuman sewenang-wenangnya.
Dalam usaha menghapuskan perhambaan, Islam mewajibkan layanan terhadap hamba yang diletakkan dalam kewajipan keluarga, memperkenalkan hukuman memerdekakan hamba terhadap kesalahan ibadat dan jenayah dan galakan pahala besar memerdekakan hamba serta berdosa besar kalau menzaliminya. Akhirnya amalan perhambaan tidak ada lagi dalam masyarakat Islam sehingga kedatangan Islam ke negara lain dikira penyelamat bukannya penjajah.
Perbezaan di antara syariat Islam dan undang-undang ciptaan manusia adalah syariat Islam mengandungi aspek rohani yang ada hubungannya dengan Allah dan Hari Akhirat serta kepercayaan kepada perkara yang ghaib seperti adanya dosa dan pahala dan para malaikat yang memantau, bukan sahaja Allah yang Maha Mengetahui, Mendengar dan Melihat. Adapun undang-undang ciptaan manusia dalam hubungan dengan manusia dan alam dunia sahaja, di samping tidak ada perhitungan dosa dan pahala.
Dalam syariat Islam ada hubungannya dengan Allah dalam aspek ibadah dan perhambaan kepada Allah. Berbeza dengan undang manusia yang sekadar hubungan kerakyatan dengan kerajaan di dunia sahaja tanpa kepercayaan kepada yang ghaib, tiada perhitungan dosa dan pahala, hanya pemantauan manusia secara zahir sahaja, menjadikan seseorang itu boleh rasa terlepas daripada undang-undang apabila di luar pandangan manusia. Adapun syariat Islam berwawasan dunia sehingga akhirat selepas meninggal dunia, menjadikan hukuman di dunia dibebaskan di Hari Akhirat dan tidak bebas daripada hukuman neraka sekiranya terlepas daripada hukuman dunia atau tidak bertaubat dan mendapat kemaafan daripada mangsa. Firman Allah:
“Kecuali orang-orang yang bertaubat sebelum kamu dapat menangkapnya, (mereka terlepas dari hukuman itu). Maka ketahuilah, bahawasanya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani” (Surah Al-Maidah: 34)
Kalau akhirnya dibawa ke Mahkamah, hukum syariat menetapkan syarat dan rukun yang ketat dalam Sistem Kehakiman Islam, sama ada dengan pengakuan secara insaf dan rela hati tanpa paksaan dan seksaan, atau penghakiman yang bersifat aqidah dan akhlak, bukan sahaja aspek undang-undangnya.
Islam meletakkan orang yang dituduh tidak bersalah selagi tidak dibuktikan. Maka amalan memalukan orang yang dituduh melalui media, seolah-olah dia sudah bersalah adalah bertentangan dengan konsep Islam. Cara begini hanya boleh mencari dosa percuma walaupun dia ternyata bersalah pada akhirnya, kerana masih dalam urusan Badan Kehakiman. Kalau dia tidak bersalah, maka dosanya lebih besar.
Akhirnya, Islam berjaya menghapuskan perhambaan dalam masyarakatnya dan mengatasi masalah jenayah besar dan kecil, walaupun tidak mungkin dihapuskan di alam dunia selagi adanya syaitan yang terus menggoda manusia sehingga akhir zaman.
Rahsia kejayaan syariat Islam adalah roh aqidah dalam perundangan dan keberkatan serta kehaibatannya menusuk ke dalam hati manusia. Kekuatannya terletak kepada kesempurnaan Islam yang tidak memisahkan urusan dunia dan akhirat dengan ajaran agama Islam yang menyeluruh. Kesempurnaannya pula merangkumi aspek fitrah manusia yang berjasad, roh, akal, berindividu dan bermasyarakat.
Konsep halal dan haram dalam Islam yang menjadi roh kepada syariat Islam itu juga membezakannya dengan undang-undang ciptaan manusia. Walaupun yang haram itu ternyata benar berdasarkan kajian sains terkini dengan menepati perhitungan manfaat dan mudaratnya kepada sakit dan sihatnya jasad, tetapi hanya dipandang dalam sempadan kehidupan di dunia sahaja, tanpa mempedulikan aspek roh selepas kematian dan alam akhirat. Namun syariat Islam itu kesannya lebih mendalam sehingga ke dalam aspek rohani dan hikmatnya melebihi jangkauan jasad dan pandangan lahiriah sahaja.
Islam menggabungkannya dengan pendidikan akhlak yang mendidik hati nurani yang mencetuskan pemerintahan kepada jasad diri masing-masing yang dipantau oleh Allah dan para malaikatnya, bukan sahaja undang-undang negara yang dipantau oleh kerajaan dan jenteranya.
Firman Allah:
“Kepunyaan Allah sahaja segala apa yang ada di langit dan apa yang ada di bumi. Dan jika kamu melahirkan apa yang ada di dalam hatimu atau kamu menyembunyikannya, nescaya Allah akan membuat perhitungan dengan kamu tentang perbuatan kamu itu. Maka Allah mengampuni sesiapa yang dikehendaki-Nya dan menyeksa sesiapa yang dikehendaki-Nya; dan Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu” (Surah Al-Baqarah: 284)
Sabda Rasulullah S.A.W.
“Sesungguhnnya yang halal itu terang dan nyata, yang haram juga terang dan nyata. Di antara keduanya perkara yang mengelirukan (tidak nyata halal dan haramnya). Sesiapa yang memelihara dirinya daripada yang mengelirukan itu nescaya dia dapat memelihara agama dan maruah dirinya. Sesiapa yang jatuh ke dalam perkara yang mengelirukan itu seperti juga jatuh ke dalam yang haram. Ingatlah bahawa bagi semua yang berkuasa memerintah (kerajaan) menetapkan sempadannnya, ingatlah bahawa sempadan Allah itu ialah perkara-perkara yang diharamkan-Nya. Ingatlah di dalam diri manusia itu ada segumpal daging, apabila baik maka baiklah dia dan apabila jahat jahatlah dia, segumpal daging itu ialah jantung (yang menggerakkan seluruh anggota jasadnya, termasuklah otak dan hati nurani yang mencetuskan akal fikirannya). Apabila baik hati nuraninya, maka baiklah dirinya dan apabila rosak maka jahatlah dia” (Muttafaqun ‘Alaih)
Aspek rohani yang ada dalam syariat Islam menyedarkan seseorang itu bahawa dia tidak terlepas daripada Mahkamah Allah secara langsung sekiranya dia bijak melepaskan diri daripada hukuman di dunia. Undang-undang ciptaan manusia yang dihayati tidak mampu menggerakkan hati kepada keinsafan ini sekiranya pandai melepaskan diri dengan pembohongan atau menggunakan kuasanya oleh pihak yang berkuasa. Di sini menjadikan undang-undang Islam (syariat) mempunyai kehaibatan yang tidak ada pada undang-undang ciptaan manusia.
Dalam aspek perundangan pula hanya sebahagian daripada jentera kerajaan yang berada di bawah kuasa politik yang mengurus seluruh kehidupan manusia. Siapa sahaja yang dipilih dari segi politiknya yang dipisahkan daripada Islam yang sempurna, akan tetap mengulangi kesilapan dan kesalahan yang sama dan gagal mengatasi masalah yang makin membarah, kerana politik hanya dianggap peluang diri dan kroni tanpa perhitungan selepas kematian, bukannya kewajipan seorang hamba terhadap Allah yang akan dihisab di Hari Akhirat.
Penekanan undang-undang sahaja mustahil dapat mengubati penyakit rasuah, jenayah, salah laku dan kesalahan-kesalahan lain yang boleh membarah itu, sekiranya semua mata rantai sistem masyarakat dan pemerintah tidak kembali kepada Islam yang menjalinkan semuanya.
PAS mengajak umat Islam khususnya supaya bersatu kembali kepada Islam yang sempurna dan mengajak seluruh rakyat masyarakat majmuk termasuk bukan Islam supaya memberi kepercayaan kepada syariat Islam untuk memerintah, setelah menyaksikan dan merasakan akibat kegagalan undang-undang tanpa roh.
Firman Allah:
“Telah timbul berbagai-bagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan-tangan manusia, kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)” (Surah Ar-Rum: 41)
RUU 355 adalah satu percubaan menilai sikap masyarakat umum, parti-parti politik dan semua pihak terhadap Islam keseluruhannya, bukan sekadar 355 sahaja. PAS melihat lebih jauh dan luas daripadanya untuk melihat siapa kawan, siapa lawan dan yang berpura-pura terhadap Islam.
Kalau mereka boleh berjuang bermati-matian bersama ideologi yang dianut oleh parti masing-masing yang bersumberkan daripada barat sehingga ada yang memberontak masuk ke dalam hutan rimba, sedangkan ianya bukan datang daripada timur dan bukannya asal usul mereka. Sila cuba berikan peluang kepada Islam yang pernah berjaya untuk kembali dilaksanakan melalui perubahan secara demokrasi:
Buah salak buah kedondong,
Sila diletak ke dalam baldi,
Bukan salah ibu mengandung,
Tetapi silap memangkah undi.
“Sejahtera Bersama Islam”
ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 1 Zulhijjah 1438H / 23 Ogos 2017