Sibuti, 24 Julai 2017: Sambutan Ramah Tamah Aidilfitri PAS Kawasan Sibuti mendapat sambutan yang amat menggalakkan dengan kehadiran kira-kira 150 orang masyarakat sekitar Sibuti.
Majlis ini telah berlangsung di Gelanggang Futsal Kpg Kelapa Sibuti, Ahad lepas menerima kunjungan tetamu daripada pelbagai latar belakang dan usia.
Majlis tersebut telah dihadiri oleh Yang Di Pertua (YDP) PAS Sibuti, En Butir Bakar, Pesuruhjaya PAS Sarawak, Hj Jofri Bin Jaraiee, Ketua Pemuda PAS Sarawak, En Arifiriazul Paijo serta wakil Dewan Pemuda PAS Malaysia, En Muhtar Suhaili.
“Kita sebagai ibubapa seharusnya menekankan ilmu agama untuk bekalan di dunia dan akhirat anak-anak. PAS telah mewujudkan PASTI sebagai satu alternatif pendidikan Islam awal anak-anak di Malaysia.
Di Miri, kini terdapat 6 buah cawangan dan kita dalam perancangan membuka satu lagi di Kawasan Sibuti ini,” ujar En Muhtar Suhaili dalam ucapan beliau.
Menariknya, majlis ini turut diceriakan dengan sesi penyerahan sumbangan duit raya kepada kanak-kanak yang hadir.
Selain itu, majlis turut dimeriahkan dengan acara cabutan bertuah kepada tetamu sebagai tanda penghargaan atas kehadiran mereka semua.
Pemenang cabutan bertuah, En Yusuf bin Adnan, yang merupakan penduduk tempatan melahirkan rasa gembira kerana bertuah mendapat hadiah utama pada majlis tersebut.
Kemeriahan majlis ramah tamah yang diadakan membuktikan bahasa PAS kian diterima oleh masyarakat setempat di Sibuti khususnya dan seluruh negeri Sarawak umumnya.
{jathumbnail off}