Home Pedoman Haraki

Kisah Sahabat – Uthman Bin Affan

52871
SHARE

SAHABAT DI SISI RASULULLAH
(SIRI 28)

UTHMAN BIN AFFAN
Pemilik Dua Cahaya 

Beliau berasal dari keturunan bangsawan dan hartawan Quraisy. Antara yang terawal memeluk Islam. Umurnya muda enam tahun daripada Nabi SAW.

Ketika Nabi SAW diperintahkan menyampaikan Islam secara terang-terangan, bapa saudaranya Abu Lahab menjadi orang paling kuat menentang Islam. Kebencian beliau terhadap Nabi SAW sehingga sanggup mengarahkan anaknya Utbah menceraikan isterinya, Ruqayyah yang merupakan anak Nabi SAW.

Apabila Uthman mendapat tahu tentang perkara tersebut, beliau terus ke rumah Nabi SAW dan meminang Ruqayyah. Kesedihan baginda segera terubat. Baginda sangat gembira dengan kesediaan Uthman memperisterikan anaknya.

Ketika umat Islam diizinkan berhijrah ke Habsyah, Uthman telah berhijrah dengan Ruqayyah. Nabi SAW bersabda:
“Semoga Allah mengiringi kamu berdua. Semoga Allah mengiringi kamu berdua. Kamulah orang pertama berhijrah bersama keluarga selepas Nabi Allah Lut.”

Ketika umat Islam menghadapi perang Badar, Nabi SAW memerintahkan Uthman untuk tidak ikut serta. Ini kerana waktu itu Ruqayyah sedang sakit tenat. Uthman perlu menjaga beliau.

Sekembalinya Rasulullah SAW dari perang Badar, baginda menerima berita sedih bahawa anaknya itu telah meninggal dunia. Namun baginda tahu Uthman lebih bersedih. Baginda segera menenangkan menantunya itu, dengan memberitahu bahawa beliau juga tergolong di kalangan ahli Badar, mendapat pahala seperti ahli Badar dan menerima bahagian dari ghanimah Badar. Paling bertuah, baginda mengahwinkan Uthman dengan seorang lagi anaknya, Ummu Kalthum.

Kerana itulah Saidina Uthman digelar Zun-Nurain, bermaksud pemilik dua cahaya, iaitu cahaya mata Rasulullah SAW Ruqayyah dan Ummu Kalthum. Dengan ikatan ini, martabat beliau menjadi sangat tinggi, kerana sejarah tidak pernah mencatatkan mana-mana orang yang memiliki dua anak mana-mana Nabi sekaligus selain beliau.

Kedudukannya sebagai pembesar Quraisy menjadikan diri beliau hebat berpolitik. Selain itu beliau juga pakar dalam bab ekonomi. Beliaulah arkitek yang berjaya menghapuskan monopoli Yahudi terhadap ekonomi Madinah.

Walaupun kaya hasil kepakarannya berniaga, Saidina Uthman turut terkenal dengan sikapnya yang sangat pemurah. Ketika Rasulullah SAW naik ke mimbar berucap menggesa para sahabat berinfaq, Saidina Uthman pantas menyahut:
“Aku akan berikan 100 ekor unta, lengkap dengan segala barangan di atasnya.”

Nabi SAW gembira dengan janji Uthman. Baginda turun satu anak tangga. Tetapi masih lagi mengulang gesaan untuk berinfaq. Saidina Uthman sekali lagi menyahut:
“Aku akan berikan lagi 100 ekor unta, lengkap dengan segala barangan di atasnya.”

Wajah Nabi SAW menampakkan kegembiraannya. Baginda turun satu lagi anak tangga, dan masih terus menggesa. Dan Saidina Uthman sekali lagi bangun berkata:
“Aku akan berikan tambahan 100 ekor unta, lengkap dengan segala barangan di atasnya.”

Saat itu Nabi SAW terus bersabda:
“Tiada lagi apa-apa mudarat bagi Uthman, walau apa pun yang dia lakukan selepas hari ini.” Memberi maksud bahawa dia telah diampunkan dari sebarang dosa.

Saidina Uthman juga terkenal dengan sikap pemalu. Oleh kerana pemalunya itu, malaikat juga malu kepadanya. Bahkan Nabi SAW juga malu. Pernah baginda SAW duduk di rumah, terselak kainnya menampakkan peha. Datang Abu Bakar, baginda SAW membiarkan sahaja kain itu. Datang Umar, juga Nabi SAW membiarkan sahaja. Tetapi apabila tiba Uthman, pantas baginda SAW menutupnya. Sabda baginda:
“Tidakkah aku perlu malu kepada orang yang malaikat malu kepadanya?”

Saidina Uthman menjadi Khalifah ketiga selepas Abu Bakar dan Umar. Tempoh pemerintahan beliau adalah 12 tahun, paling lama di kalangan Khulafa’ Rasyidin. Boleh dikatakan pada zaman beliaulah Islam berada di puncak kegemilangan, apabila berjaya meningkatkan kuasa politik umat Islam dengan pembukaan wilayah-wilayah baru yang sangat banyak, dan juga meningkatkan ekonomi sehingga umat Islam berada dalam keadaan yang sangat mewah.

Namun ada sahaja manusia yang tidak senang dengan kejayaan Uthman. Dicari kesalahan-kesalahan lalu diperbesarkan. Dalang kepada permasalahan ini adalah seorang Yahudi bernama Abdullah bin Saba’. Dicampur aduk antara fakta dan auta. Di akhir pemerintahan, fitnah dan kekacauan meletus sangat dahsyat. Ramai menerima maklumat salah dan mula berkempen untuk menjatuhkan Uthman.

Kemuncak krisis, Pada musim haji tahun 33 hijrah, Madinah ditawan oleh sekumpulan pemberontak yang terpedaya dakyah Yahudi munafik. Rumah saidina Uthman dikepung. Mereka memaksa Uthman meletak jawatan atau beliau dibunuh. Namun Uthman dengan tegas menjawab:
“Jawatan Khalifah adalah pakaian yang Allah pakaikan kepada aku. Aku tidak akan mencabutnya selama-lamanya.”

Para sahabat besar seperti Abu Hurairah, Abdullah bin Abbas, Abdullah bin Umar, Hasan dan Husain cucunda Rasulullah ingin memerangi kumpulan tersebut. Tetapi Saidina Uthman tidak membenarkan. Beliau tidak mahu melihat pertumpahan darah sesama Islam. Beliau tidak sanggup melihat orang lain mati kerana dirinya.

Pada satu malam, Uthman telah bermimpi bertemu Rasulullah SAW, di sampingnya adalah Saidina Abu Bakar dan Umar. Ucap Rasulullah SAW:
“Marilah berbuka bersama kami..”

Uthman mengerti itu adalah petanda ajalnya. Beliau pun berpuasa pada hari esoknya. Beliau memakai seluar yang labuh, supaya auratnya tidak terbuka jika dibunuh. Memang itulah Uthman. Pemalu hingga ke akhir hayat.

Hari itu adalah Jumaat tanggal 18 Zulhijjah tahun 33 hijrah. Saidina Uthman menerima takdir Allah. Dalam keadaan sedang membaca al-Quran dan bersembahyang, beliau diserbu dalam jumlah yang ramai. Uthman yang berusia 82 tahun ketika itu sudah terlalu lemah. Tambahan pula tidak makan dan minum kerana rumah dikepung.

Beliau ditetak di kepala. Terus jatuh tersungkur ke bumi. Darah di mukanya menitis membasahi al-Quran yang dibaca, tepat pada ayat:

Maka cukuplah Allah yang akan menyelesaikan urusan kamu terhadap mereka. Dia Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.
[Al-Baqarah:137]

Berakhirlah riwayat seorang sahabat yang sangat berjasa kepada Islam dan ummah. Umat Islam di seluruh wilayah bersedih dan sangat menyesal kerana tidak sempat pulang ke Madinah menyelamatkan khalifah mereka dari pemberontak itu.

Menjadi satu pengajaran yang sangat penting buat umat ini, supaya sentiasa berwaspada dengan orang-orang Yahudi dan munafik. Al-Quran senantiasa meriwayatkan kisah-kisah mereka, agar kita sedar tipudaya mereka. Ayat-ayat tersebut tidak pernah dinasakh.

Uthman juga mengajar kita suatu sikap, agar tidak mudah tunduk kepada propaganda musuh. Walaupun terpaksa mengorbankan nyawa, kita tidak boleh sekali-kali mengalah. Ibn Umar mengatakan kalau Uthman tunduk kepada kemahuan pemberontak untuk menyelamatkan nyawanya, nescaya khalifah selepasnya akan mengikut budaya tersebut. Mudahlah musuh Islam menjatuhkan kepimpinan Islam. Hilanglah izzah khalifah.

Semua yang berlaku adalah takdir Ilahi. Peristiwa pembunuhan Uthman perlu diambil pengajaran oleh umat Islam terutama pejuangnya. Ia sebagai langkah waspada dalam mengurus konflik dalaman. Kegemilangan yang dijulang bukan bermakna kita boleh berehat dari ancaman musuh yang sentiasa mencari ruang dan peluang.

28 Ramadhan 1438
23 Jun 2017

(Alang Ibn Shukrimun)

{Jathumbnail off}