10 Julai 2017, Labuan : Program Seindah Syawal anjuran Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan (LKK) Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM) sebelum ini, telah diadakan dengan jayanya di Hospital Kuala Lumpur (HKL) dengan meraikan pesakit kanak-kanak dan juga petugas di Institut Pediatrik HKL. Seterusnya, pada Sabtu yang lepas iaitu tanggal 6 Julai 2017 bersamaan dengan 15 Syawal 1438H, LKK DMPM telah menjejaki Wilayah Persekutuan Labuan bagi meneruskan misi Seindah Syawal yang diraikan bersama golongan MOSWAY (Miskin, OKU, Sakit, Warga Emas, Armalah dan Yatim) di sana.
Pihak LKK DMPK Labuan sebelumnya telahpun menjejaki seramai 10 orang yang layak menerima sumbangan yang telah dikenalpasti tergolong dalam golongan MOSWAY dan yang benar-benar memerlukan bantuan. Lima di antara mereka adalah dari keluarga miskin, dua orang anak OKU, seorang ibu tunggal dan dua orang tergolong dalam kategori sakit.
LKK DMPM telah menerima sumbangan daripada beberapa orang penyumbang yang dermawan dan prihatin khas untuk program Seindah Syawal buat MOSWAY di Labuan ini. Sumbangan tersebut kemudiannya diserahkan kepada 10 orang penerima yang disebut tadi oleh Ustazah Nuridah Bt Mohamad Salleh selaku Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat yang turut hadir pada Program Seindah Syawal tersebut.
Beberapa orang pimpinan PAS Kawasan Labuan juga turut hadir memeriahkan lagi program ini, iaitu Tn Hj Hamir Zahari, Yang Di Pertua PAS Kawasan Labuan (YDP PKL), Al-Fadhil Ustaz Ahmad Junid Mohd Aling, Timbalan YDP PKL, Tn Hj Abdul Rahim Mohd Salleh, Naib YDP PKL dan Puann Hajjah Jarinah Awang Jaafar selaku Ketua Muslimat DMPK Labuan. Program di akhiri dengan Jamuan Hari Raya Eidulfitri Dewan Muslimat PAS Kawasan Labuan.
Alhamdulillah, atas limpah Rahmat Allah SWT, program Seindah Syawal tersebut diraikan dengan jayanya dan penuh kesyukuran. Rata-rata kedengaran luahan dari para penerima sumbangan tersebut, mereka amat terharu dan berterima kasih atas keprihatinan dan sumbangan tersebut.
Dengan kesempatan ini juga, pihak LKK DMPM juga ingin meluahkan rasa bersyukur dan ucapan jutaan terima kasih kepada para penyumbang yang dermawan serta budiman atas sumbangan yang telah dihulurkan dan telah memberi kepercayaan kepada pihak LKK DMPM bagi menyampaikan sumbangan tersebut kepada mereka yang memerlukan.
Jutaan terima kasih juga kepada semua pihak yang tidak pernah jemu untuk terus memberi sokongan kepada pihak LKK DMPM dalam menjayakan misi Kemanusiaan dan Kebajikan serta Kemasyarakaratan.
Semoga dengan sumbangan, sokongan serta doa dari kalian akan mendapat ganjaran pahala yang besar di sisi Allah SWT. Sekali lagi, Jazakumullah Khair Katheera.
Siiru ‘ala Barakatillah.
“Sejahtera Bersama Islam”
“Muslimat Memacu Kemenangan”
{jathumbnail off}